Bab 22

648 87 8
                                    

Kurenung sejadah tempat aku bersujud tadi. Lama. Nafas, kuhela perlahan. Amira Qarmilah. Hidup ini perlu diteruskan. Aku berbicara pada hati sendiri. Cuba menghidupkan jiwa yang kecundang dan terbunuh ditikam dengan fitnah yang tajam.

Mira tak ada di sisi mak, tapi doa Mira tak pernah hilang untuk mak dan Amar. Untuk arwah ayah juga. Setiap denyut nadi Mira, ada mak dan semua yang Mira sayang.

Doa!

Itu yang aku ada dalam kejauhan. Jangan sedih Mira. Jangan asyik menangis Mira. Aku khabarkan pada minda. Aku khabarkan pada jiwa. Biar ia terpatri kukuh dan membentuk satu jiwa yang lebih kental dan reda dengan ujian.

Aku capai telefon bimbit di atas katil. Menekan butang pada skrin sekadar untuk melihat masa. Ada lagi 45 minit untuk aku tiba di padang. Cepat-cepat aku lipat dan gantung telekung pada penyidai dalam almari baju.

Baju silat sudah pun siap-siap aku sarungkan ke badan. Lengkap. Tudung pun sudah elok terletak di kepala. Beg sandang yang berisi buku nota, alat tulis dan sebotol air mineral aku galas di bahu. Pintu bilik, aku rapatkan. Ida solat di surau dan hanya akan balik selepas isyak. Aku juga selalu begitu tetapi bila ada aktiviti silat, aku hanya bersolat di bilik.

Kaki, melangkah laju meninggalkan kolej. Berkejar ke padang tempat biasa di mana latihan silat diadakan. Kegelapan malam tidak kuhiraukan. Bau bunga kenanga yang kembangnya di waktu senja, yang banyak ditanam di sepanjang jalan ke padang juga tidak langsung mengganggu. Fikiran aku melayang jauh sambil kaki terus melangkah.

"Doktor, berapa kos untuk rawatan chemotherapy mak saya, kalau boleh saya tahu." Aku bertanya pada Doktor Camelia, seorang doktor berbangsa Cina yang nampak masih muda dan sangat fasih berbahasa Melayu.

Amar hanya memandang pada aku. Memang Amar tak biasa nak bertanya banyak dalam apa jua hal.

Doktor Camelia tersenyum, berat. "Amira, Amar ..." Nama aku dan Amar disebut mesra walaupun baru sahaja berjumpa dan berkenalan sebaik dia selesai membuat beberapa pemeriksaan ke atas mak dan di tangannya dia memegang keputusan ujian imbasan mak.

"Chemotherapy sudah tidak sesuai untuk Puan Zaharah, memandangkan umurnya sudah mencecah 50 tahun dan kondisi tubuhnya sangat lemah. Sebarang pembedahan juga tidak boleh dijalankan. Ianya hanya membawa kepada bahaya dan tiada gunanya memandangkan barah sudah berada di tahap empat."

Bulat mata aku pada ketika itu. Jadi? Aku menentang mata Doktor Camelia.

"Apa pilihan yang ada doktor?" Tanyaku penuh mengharap. Amar peluk bahu aku. Cuba buat aku bertenang. Takkan nak biarkan mak aku menanti ajal tanpa ada sebarang usaha? Tak!

Doktor Camelia pandang aku. Hanya pada aku. Tetapi tiada lagi bentuk bibir yang membentuk senyuman di wajah putih bersih Doktor Camelia. "Buat masa ini hanya ada satu pilihan sahaja dalam dunia perubatan moden bagi pesakit kanser hati seperti Puan Zaharah. Iaitu, Sorafenib."

"Sorafenib?"

"Program anti-barah secara oral. Tapi ..." Doktor Camelia memandang aku dan Amar silih berganti.

"Tapi apa doktor?" Aku memang kurang sabar. Semakin kejap pelukan Amar di bahuku. Minta aku bertenang.

"Akan ada kesan sampingan di awal rawatan."

Aku dan Amar menanti. Kesan sampingan yang bagaimana? Muka aku sudah penuh dengan kerutan.

"Antaranya ... pendarahan dalam perut, " sambung Doktor Camelia dengan sedikit keluhan.

Aku pejam mata. Ya Allah. Pendarahan dalam perut? Tentu sakit! Mak ...

"Mira?" Aku buka mata. Suara Kak Safiyah menghentikan ingatan aku pada bicara Doktor Camelia. Aku sudah sampai, tetapi masih berdiri di tepi padang tanpa mengambil tempat seperti ahli jemaah yang lain. Yang rata-rata sedang memandang aku sambil berbisik-bisik. Mungkin pelik melihat aku yang hanya berdiri kaku. Berkhayal tidak menentu.

Amar AmiraWhere stories live. Discover now