BAB 84

373 18 0
                                    

BAB 84

"Kenapalah aku boleh nak ikut kau hari ni," Aafiya mengeluh perlahan. Sebenarnya tak ada pilihan. Konon-konon nak jaga hati pelanggan. Izzati pula bersungguh-sungguh ajak. Siap ugut bagai. Kalau dia tak ikut, Izzati pun malas nak pergi. Akhirnya dia terpaksa mengalah. Lagipun ini majlis rumah terbuka. Macam tak elok pula kalau dia menolak.

"Beb! Aku tak selesa la. Kau tengok la. Dari tadi dia asyik duk pandang aku. Jelingan mata dia tu...Ya Allah. Geli weh!" Aafiya cuba berlagak tenang. Adui! Macam manalah bekas isteri dia dulu mampu bertahan dengan lelaki ni? Tiba-tiba terlintas perkara jahat dalam kepala Aafiya. Mungkin sebab tulah kut, bini dia lari! Itu gosip yang dia dengar sepanjang dia berurusan dengan lelaki ini.

"Aku tahu...aku pun perasan. Kalau tak fikir dia tu pelanggan kita, kita tengah settlekan job, tak adanya aku nak datang beb! Jom la kita makan. Lepas tu kita blah la!" Izzati tarik tangan Aafiya ke arah susunan makanan yang sedia terhidang.

"Boleh tahan kan pakcik ni kaya! Aku ingat dia tokey restoran je. Rupa-rupanya ada syarikat pemaju juga. Patut la daddy aku kenal dia!" Aafiya sekadar isi pinggan sendiri dengan salad buah. Oh! Seminggu saja lagi dia nak kahwin. Jangan cari pasal makan benda yang bukan-bukan. Tak muat baju pengantin nanti. Kalau ikutkan hati, dia nak saja terkam segala jenis masakan yang sinonim dengan musim perayaan ini. Macam-macam makanan tradisional yang terbentang depan mata dia. Kalau dilayan, memang sah-sah berat badan akan naik sekilo dua.

"Itu la pasal. Tak mustahil juga kalau bakal laki kau pun kenal dia!"

"Dunia dia orang...bidang dia orang. Mungkinlah kut!" Malas Aafiya nak layan. Selagi Kamil tak kacau dia, tak buat benda yang bukan-bukan dia akan terus bertahan. Tapi kalau lelaki tu cuba buat sesuatu yang tak baik, tahulah dia bagaimana nak mengajar.

"Tu je makan? Kenyang ke yang?" tiba-tiba! Aafiya tersentak. Terus dia menoleh. Batang tubuh Izzati dah hilang. Muncul pula 'abang sado' yang sedang merenung ke dalam pinggan dia sebelum tersenyum pandang wajah dia. Aafiya buat muka. Tak rasa nak balas pun senyuman Qaizer tu. Tapi sejak kepulangan Qaizer ke sini, dia perasan juga sebenarnya badan Qaizer terlebih 'sado' dari sebelumnya. Tambah-tambah bila dia terserempak dengan Qaizer di gym hari tu. Dengan baju tanpa lengan yang melekat kat tubuh macam nak tayang kat semua orang dia punyai dada yang bidang. Berseluar pendek di paras lutut, dengan ketinggian yang dimiliki oleh Qaizer, buat lelaki itu semakin tampak sempurna. Aih! Tak pasal-pasal dia nak puji bakal laki sendiri. Patut la dia perasan anak-anak gadis yang ada kat sana, tak jaga mata langsung bila Qaizer datang.

'Adeh! Macam payah je aku nak menang ni! Dia macam tahu-tahu je apa yang aku nak buat dengan dia nanti!' bisik Aafiya dalam hati.

"Sayang...I tahu you rindukan I. I pun rindukan you. Kenapa? Dah tak sabar nak peluk I ke apa? Jangan bimbang yang...dada bidang I ni untuk you seorang je lepas ni!"

Allah! Nasib baik pinggan kat tangan dia tak terlucut. Kantoi la pula. Macam mana pula dia boleh teralit sekejap ni! Rosak kau Aafiya. Buat malu diri sendiri je.

"Simpan perasan sikit tu boleh tak? Macam la hebat sangat. Buat apa kat sini?" soal Aafiya. Alang-alang dah jumpa. Kalau terus dia pergi macam tu saja, macam terlebih kejam pula. Izzati pun satu hal. Waktu macam ni jugalah dia hilang. Dahla mulut perempuan tu boleh tahan masinnya. Baru saja disebut pasal Qaizer, dah muncul depan dia.

"I yang patut tanya you sayang. Macam mana you boleh ada kat sini?" Fuh! Ada hikmah juga dia bersetuju dengan ajakan ayah sebentar tadi. Kalau tak, tak dapatlah dia berjumpa dengan bakal isteri dia ni. Lepas jugalah rindu dia walaupun sedikit.

"Encik Qaizer. Open house kut. Sesiapa saja boleh datang. Lagipun Encik Kamil tu salah seorang pelanggan saya. Tak salah kalau saya datang ke sini. Lagipun dia sendiri yang jemput saya!" Aafiya terpaksa ringankan mulut untuk menjawab. Kebetulan mata terpandang bakal bapa mentua sendiri yang seakan-akan sedang memerhatikan perilaku mereka dari jauh. Nak tak nak dia terpaksa juga menjaga hati bakal bapa mentuanya itu.

"Oh! You design cawangan restoran dia yang baru tu ke?"

"Macam mana awak tahu?"

"Dia salah seorang bussiness partner I. Duda. Bercerai. Tak ada anak. Tengah cari calon isteri baru!" Qaizer senyum. Terlebih beri maklumat. Sengaja. Biar Aafiya beringat. Dia pun bukan tak kenal dengan Kamil. Semua orang kenal dengan duda kaya ni. Sangat memilih dalam mencari calon isteri. Tiba-tiba dia dipagut rasa bimbang. Aihh! Macam mana Aafiya boleh berurusan dengan lelaki ni? Adeh! Lambat pula nak tunggu seminggu lagi. Lepas tu dia dah tak payah nak runsing apa-apa dah.

"Sayang? You dengar tak?" soal Qaizer apabila Aafiya tak bagi apa-apa respon. Sebaliknya, Aafiya tiba-tiba melangkah dan berdiri di belakang dia. Qaizer dah pelik. Dah kenapa? Dekat pula tu. Macam tengah bersembunyi pun ada. Bukan ke tadi Aafiya malas nak layan dia ke? Tapi sekarang ni?

"Sayang? Kenapa ni?" soal Qaizer apabila sebelah tangan Aafiya sudah memaut lengannya. Bila dia toleh, jelas wajah gadis kesayangannya itu seperti dalam ketakutan. Makinlah la berkerut dahi dia cuba nak mencerna apa yang sedang terjadi.

"Sayang..." sekali lagi Qaizer menyeru nama Aafiya. Belum sempat dia menyoal lanjut, seseorang datang menegur.

"Qaizer...bila you balik?"

"Oh! Encik Kamil. Dah dekat sebulan dah," jawab Qaizer. Sambil tu dia semakin merasakan pautan tangan Aafiya di lengannya semakin kemas. Apa kena dengan buah hati dia ni? Takkanlah sekali dia bagi peringatan, Aafiya dah takutkan Kamil. Tapi bagus juga. Dia pun suka kalau Aafiya nak jauhkan diri daripada lelaki ini.

"Berapa lama you balik ni?"

"Lama. Selama-lamanya mungkin. I tak ke sana dah kut. Kalau I ke sana pun I bawa bakal isteri I ni sekali. Lagipun I tak sedap hati tinggalkan buah hati I ni lama-lama."

"Bakal isteri?" wajah Kamil berubah.

"Ya. Oh! I kenalkan bakal isteri I! Aafiya. Tapi you dah kenal dia kan? Betul kan sayang?"

Aafiya sudah ke depan. Tayang senyum semanis mungkin. Saat ini dia tak fikir dah benda lain. Dia hanya fikir macam mana nak selamatkan diri saja. Tak sanggup dia nak berdepan dengan lelaki gatal depan dia ni lama-lama. Sungguh! Ini kali pertama dia jumpa lelaki gatal seperti Encik Kamil. Macam terdesak nak berbini sangat! Nasib baik panggilan dan segala mesej Kamil selama ini dia tak pernah layan.

"Really? You tak bergurau kan?" Wajah Kamil sedikit keruh. Tenung Aafiya tajam.

"Huh? Nak bergurau kenapa? Lagi seminggu kami nak kahwin. Sayang...you tak bagi kad jemputan pada Encik Kamil ke?"

"Huh...saya lupa."

Qaizer pandang Aafiya pelik. Kemudian dia pandang pula muka Kamil. Berubah terus muka duda kaya ni! Ok! Dia rasa ada sesuatu yang terjadi antara mereka berdua, yang dia tak tahu dan tak akan tahu sebab dia tak rasa Aafiya nak beritahu. Oh! Jangan nak kata lelaki depan dia sekarang ni dah jatuh hati dengan bakal bini dia! Woo...sila langkah mayat dia dulu ya! Tinggal seminggu saja lagi dia nak tukarkan status Aafiya tu jadi isteri dia. Tak sanggup dah dia nak hadap apa-apa kebarangkalian lagi.

"Oh! Congratulation. I ada urusan kat sana. Nanti kita berborak lagi," Kamil tinggalkan Aafiya dan Qaizer dengan wajah ketat. Senyuman lelaki itu pun tidak semanis tadi. Apabila Kamil sudah jauh meninggalkan mereka, Qaizer terus mengambil peluang itu merenung kekasih hati yang berada di sebelah. Kalau boleh, dia inginkan penjelasan dengan kadar yang segera.

"You sembunyikan sesuatu dari I kan sayang?" Entah mengapa. Sejak nak kahwin ni, memang panggilan sayang tak lekang dari bibir dia. Dah terbiasa pula. Dan dia suka. Aafiya tak suka pun dia peduli apa. Lagipun panggilan itu memang khas buat Aafiya seorang.

"Tak payah nak menyibuk sangatlah Encik Qaizer. Status kita ni belum sampai tahap semua benda saya nak kena cerita kat awak!" Giliran Aafiya pula pantas melangkah meninggalkan Qaizer dan berjalan menuju ke arah Izzati.

Qaizer merengus sendiri. Kan dah kata. Tak ada maknanya Aafiya nak buka cerita kat dia. Tak apa! Ada ubi ada batas. Dah kahwin nanti tahulah macam mana nasib Aafiya nanti. Aihhh! Kenapalah seminggu lagi tu bukan esok. Yalah! Esok la sangat. Banyak benda lagi yang dia nak kena uruskan ni. Ayah dia pula buat-buat tak faham. Dah tahu anak dia stress dengan hal nikah-kahwin masih nak anak dia ni datang sini teman dia. Ahh! Qaizer benar-benar tertekan.

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now