BAB 48

356 24 0
                                    

BAB 48

Mulut Aafiya dah ternganga sedikit. Dia macam tak percaya dengan apa yang ada depan mata. Wanita yang sedang tersenyum itu buat dia semakin yakin dia tidak tersilap orang. Ya Allah. Kecilnya dunia. Macam mana dia langsung tak tahu. Macam mana nak tahu kalau dia tak pernah bertanya apatah lagi nak menyoal siasat siapa sebenarnya wanita ini. Mereka berbual tentang isu semasa, mereka berbicara tentang apa saja tapi tidak pernah sekalipun mereka sentuh hal peribadi masing-masing.

"Ya...ini ummi Fi," Datin Farida sudah berdiri betul-betul di hadapan Aafiya. Menghadiahkan senyuman yang paling manis buat gadis yang berjiwa besar ini. Bayangkan sepanjang menjadi sukarelawan dan penderma di pusat asuhan anak-anak yatim yang diasaskannya tidak pernah sekalipun dia tahu yang Aafiya berasal dari keluarga berada. Anak Tan Sri Omar lagi. Kenalan suaminya. Aafiya terlalu biasa-biasa sewaktu di sana. Lebih mesra dengan panggilan 'Fi' atau 'Kak Fi' di kalangan anak-anak yatim. Datang pun hanya dengan menaiki kereta buatan Malaysia. Dia tahu identiti sebenar Aafiya pun secara tidak sengaja. Terdengar perbualan telefon Aafiya dengan seseorang secara formal. Saat itu kehadirannya memang tidak disedari langsung oleh Aafiya.

"Ya...saya Aafiya...Aafiya Tan Sri Omar. Kenapa ye?" itu pertama kali dia mendengar nama penuh gadis itu. Membuatkan dia terkedu seribu bahasa. Cepat-cepat dia pergi sebelum kehadirannya disedari oleh Aafiya.

"Ya Allah ummi. Fi tak tahu...sumpah Fi tak tahu," Aafiya panik. Adeh! Macam mana dia boleh tak kenal bakal mak mentua sendiri ni? Tapi tak boleh nak salahkan dia juga. Sewaktu mula-mula diperkenalkan dengan wanita itu, wanita itu hanya memperkenalkan diri sebagai Puan Farida, tidak sedikitpun menggunakan panggilan datin di pangkal namanya. Selepas itu, panggilan Puan Farida tu ditukar menjadi panggilan ummi atas arahan Puan Farida sendiri. Kata wanita itu, dia lebih selesa dengan panggilan tersebut apabila berada di situ. Dia pula bukannya selalu ke sana. Dia akan ke sana bila ada kelapangan. Sungguh! Tak pernah terdetik sekalipun wanita ini adalah ibu kepada Qaizer. Alahai!

"Wait...jadi yang ummi beritahu Zer hari tu..." Qaizer pula yang kalut sendiri. Tak mampu nak habiskan kata-katanya. Dia pelik melihat reaksi Aafiya. Bicara Aafiya pula macam dah kenal rapat sangat dengan ummi dia.

"Ya...Aafiya ni salah seorang sukarelawan dan penderma tetap kat Harapan Kasih," jawab Datin Farida. Menyebut salah sebuah rumah-rumah anak yatim yang diasaskan olehnya. Jawapan yang buat Aafiya semakin tak tahu nak beraksi macam mana. Alahai. Malu la pula. Dia buat benda tu pun bukan nak dapatkan nama. Dia buat semua tu sebab dia ikhlas. Kesedaran yang dia perolehi dalam beberapa tahun ini. Alhamdulillah. Allah buka hati dia untuk lakukan kebaikan. Kebaikan yang mungkin sebelum ini dia tidak pernah nampak betapa besarnya pahala dia berbakti kepada yang memerlukan.

"Dah lama ke?" soal Qaizer lanjut. Pandang Aafiya yang kelihatan masih terkejut.

"Dah lama...tapi ummi sendiri pun baru tahu yang dia ni gadis pujaan anak ummi," Datin Farida dah tersenyum lebar. Pandang Aafiya dan anak lelakinya bersilih ganti. Aafiya makin tak tahu nak tayang muka macam mana. Tapi muka Qaizer bercahaya tiba-tiba.

Akhirnya Qaizer mampu menarik nafas lega. Ummi dah kenal Aafiya. Dan Aafiya pun dah lama kenal ummi walaupun tak pernah tahu identiti sebenar ummi. Alhamdulillah. Di situ dia sudah mampu melihat betapa indahnya percaturan Allah. Ini baru benar-benar dikatakan jodoh.

"Ya Allah...jom la kita masuk. Boleh pula berborak kat luar rumah macam ni," ajak Datin Farida. Terus menarik tangan Aafiya dan sama-sama melangkah masuk ke dalam rumah. Qaizer sekadar mengikut dari belakang. Sungguh, bahagia dia melihat kemesraan antara ummi dan Aafiya. Dua wanita yang begitu istimewa dalam hidupnya. Sebagai seorang lelaki, tiba-tiba dia rasa sangat beruntung. Rasa sempurna. Dan kesempurnaan itu akan menjadi lebih sempurna sekiranya Aafiya menjadi haknya yang sah. Ya Allah. Semoga jodoh mereka panjang.

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now