BAB 41

361 22 0
                                    

BAB 41

"Sayang tengok apa?" Tan Sri Omar menegur. Berdiri di sisi isterinya yang sejak tadi terjenguk ke arah taman mini di luar rumah.

"Saya tengok anak perempuan kita tu la. Dia jarang sangat duduk kat situ...kecuali...

"Kecuali dia ada masalah," sambung Tan Sri Omar. Sudah tahu apa yang cuba isterinya sampaikan. Puan Sri Jamelah mengangguk. Sekali lagi dia terjenguk melihat Aafiya yang sedang termenung di buaian kayu yang ada di taman. Tempat kegemaran anaknya kalau dia mahu bersendiri dan tidak mahu diganggu. Dia dan suami cukup faham, begitu juga dengan adik-adik Aafiya.

"Abang pergi la tanya...dia kalau bab-bab nak mengadu ni dia lebih suka luah pada abang."

"Biasanya kalau dia nak mengadu dia akan cari abang...ini dia diam je. Mungkin dia tak nak kongsikan dengan sesiapa la tu," jelas Tan Sri Omar.

"Ala...abang pergilah tanya. Saya risau la bang. Dia jarang macam ni," Puan Sri Jamelah dah paut lengan suaminya. Risau dia tengok keadaan Aafiya. Biasanya anak perempuan dia tu agak susah sikit nak tunjuk sikap begitu. Kebiasaan Aafiya, kalau dia marah, dia geram, atau ada masalah sekalipun dia akan lepaskan pada sesiapa yang ada dalam rumah ni. Biasanya adik-adik dia la yang jadi mangsa.

"Yalah...nanti saya pergi tanya. Sayang pun tak payah bimbang sangatlah. Macam sayang tak kenal anak kita tu. Dia dah matang. Dia dah boleh fikir baik buruknya. Kalau dulu ya...abang cukup bimbangkan dia kalau dia tiba-tiba buat perangai macam tu. Malam dia nampak tenang la...esok ada la benda yang bukan-bukan dia buat. Adik-adik dia la yang jadi mangsa. Bingit telinga dengar jeritan dia. Ataupun kasut-kasut adik dia dekat rak dia pergi campak kat luar pagar...konon-konon bersepah, tindih kasut dia!" bila teringat semua tu mesti bibirnya merekah dengan senyuman. Lucu bila diingatkan semula. Tapi yang buat dia lega, sejak dulu Aafiya tak pernah berkasar dengan orang luar walaupun sebesar mana masalah yang dia hadapi. Sekadar mulut Aafiya sajalah yang berapi. Kalau dengan adik-adik, semua orang dalam rumah ni dah sedia maklum. Kena lebih berhati-hati kalau mood anak perempuannya itu tak elok. Kena bersiap sedia, manalah tahu pasu bunga ke, kasut ke, selipar ke melayang secara tiba-tiba.

"Tapi saya tahu...walaupun dia macam tu, dia paling sayangkan adik-adik dia. Adik-adik dia pun sayang sangat dengan satu-satunya kakak yang mereka ada," sambung Puan Sri Jamelah. Itu dia boleh nampak. Dalam garang Aafiya, kebajikan adik dia paling dia jaga. Keselamatan adik-adik dia paling dia ambil berat. Adik-adik dia pun sama. Waktu kecil-kecil dulu nampak macam seteru, tak sebulu tapi bila dah besar ni, nampaknya hubungan mereka semua semakin erat. Semua terjadi secara semulajadi. Alhamdulillah itulah yang dia dan suami harapkan selama ini.

"Dah...sayang pergilah tidur dulu. Dah lewat malam dah ni. Abang nak pergi jenguk anak kita tu sekejap," arah Tan Sri Omar.

"Anak kesayangan daddy buat apa kat luar malam-malam ni. Nak kata bulan penuh, nampak pun tidak. Bintang-bintang pun tak ada satu pun yang muncul. Nak hujan ada la," tegur Tan Sri Omar sambil labuhkan punggung di sisi Aafiya. Menunjal kakinya sedikit agar buaian yang diduduki mereka berayun perlahan.

Aafiya hanya senyum segaris. Dia paut erat lengan daddynya lalu melentokkan kepala ke bahu lelaki itu. Dah lama sangat tak bermanja. Dah lama juga dia tak buat sesi luah perasaan. Entahlah. Masalah kali ni sedikit sukar untuk dia berkongsi. Dalam masa yang sama tak tahu benda ni sesuai ke tidak dia nak kongsikan dengan daddy macam selalu. Benda pertama kali yang terjadi dalam hidup dia. Perkara yang dia sendiri tak sangka akan mengganggu emosinya sehingga begini sekali.

"Kenapa ni?" perlahan Tan Sri Omar mengucup ubun-ubun anaknya. Dia mengaku, dia paling manjakan Aafiya. Anak sulong dalam keluarga. Anugerah pertama buat dia dan isteri.

"Daddy rasa Fiya dah bersedia ke nak kahwin?" tiba-tiba terpancul juga soalan tersebut. Direct. Itu yang mengacau ketenteraman dia sebenarnya. Sejak kehadiran lelaki itu.

ZER & FIYA [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now