"Order la dulu."

Iz menekan butang yang melekat di sudut meja. Tidak lama selepas itu, seorang pelayan restoran mamak itu datang ke meja mereka untuk mengambil pesanan. Tanpa berlengah, laju Iz memesan segelas teh o ais limau dan roti sardin.

"Aku terserempak dengan Husna haritu." Firhan memulakan mukadimah selepas pelayan tadi beredar.

"What?!" Iz yang tadinya elok bersandar di kerusi lantas menegakkan badannya. Tidak percaya dengan perkara yang baru sahaja diberitahu Firhan.

Firhan menyandarkan badannya ke kerusi. "Dia tinggal satu blok dengan aku. Senang cerita, kami jiran."

"What?!" Kali ini suara Iz lebih kuat berbanding mula-mula tadi. Membulat matanya memandang Firhan. Biar betul Firhan ini. Saja nak bagi gempak ke apa hari-hari minggu ni?

"Kau silap orang kot..." Iz buat andaian sendiri. Susah dia mahu percaya kata-kata Firhan. Maklumlah setahunya wanita bernama Husna itu sudah terbang membawa diri ke Australia. Itu apa yang diberitahu oleh kakak Husna kepada mereka beberapa bulan lalu.

"Silap orang apanya Iz. Dia siap tegur aku dah. Pulak tu bukan sekali aku terserempak dengan dia. Dua kali tau?"

"Damn..." Kali ini, mahu tidak mahu Iz perlu mempercayai kata-kata Firhan. Tapi... "Wait, wait. Apa kau kata tadi? Dia tegur kau? Budak Husna tu tegur kau? Biar betul?"

Firhan mengangguk. Sempat gelas teh tarik dibawa ke bibir lalu air yang masih banyak berbaki itu disisip.

"Gila." Iz menggeleng. "Dia hilang ingatan ke apa? Lupa dah kerja gila apa dia buat dekat kau?"

Firhan diam tidak membalas. Penyedut minuman di dalam gelas dipusing-pusingkan.

"Fatima tahu?"

Firhan pantas menggelengkan kepala. "Dia tak tahu. Waktu aku terserempak dengan Husna tu, Fatima tak ada sekali dengan aku."

Iz menghela nafas. Patutlah tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba sahaja Firhan mengajaknya keluar minum hari ini. Selalunya bukan main susah lagi dia mahu berjumpa dengan sahabat baiknya itu. Rupa-rupanya ada sesuatu yang sedang mengganggu ketenteraman emosi dan mental Firhan.

"Kau masih nakkan dia ke? I mean, Husna. Kau masih simpan perasaan dekat dia?" straightforward Iz menyoal walaupun dia seperti sudah dapat mengagak jawapan Firhan. Tentu lelaki itu masih mempunyai perasaan terhadap Husna. Kalau tidak, takkan kehadiran semula Husna mengganggu Firhan, kan?

"Aku tak tahu, Iz. Serius aku tak tahu. Aku tak faham perasaan aku sendiri tau." Firhan melepaskan keluhan. Buntu. Sumpah, dia buntu. "Awal-awal waktu dia tinggalkan aku dulu, aku kecewa gila. Tapi, sekarang ni, bila muncul semula..."

Iz mendecit. Senyuman sinis muncul pada bibirnya. "Kau jangan buat tak sedar diri, Fir. Kau tu suami orang tau." Iz mengemukakan hakikat. Hakikat yang sepatutnya sudah ditanam kemas di kepala Firhan. Firhan sudah beristeri. Isteri Firhan bukannya Husna, tapi Fatima.

"Aku tahu. Aku tahu, Iz." Firhan memejamkan seketika matanya. "Aku tahu perasaan ni salah."

"Dah tu?" Iz menjungkit kening. Pening dibuatnya dengan sikap Firhan ketika ini. Baru Iz mahu membuka mulut, hasratnya dibatalkan tatkala pelayan datang membawa pesanannya. Dia sempat mengucapkan terima kasih sebelum dia kembali menumpukan perhatiannya kepada Firhan.

"Aku tak tahu, Iz." Firhan meraup wajahnya. Serabut. Sudah hampir seminggu dia begini. Sudahnya, dia menghubungi Iz. Kalau sahabatnya itu tidak mempunyai jalan penyelesaian untuk masalahnya, sekurang-kurangnya terluah juga segala perasaan yang dipendamnya sendiri sejak minggu lepas.

"Terus-terang je lah dengan Fatima. Beritahu dia yang kau terserempak dengan Husna."

"Kau gila?" Firhan terkejut. Hampir sahaja tersembur air sirap cincau yang baru disisipnya sebaik mendengar cadangan Iz.

"Dah tu?" Iz memeluk tubuh sendiri. "Bayangkan kalau kau terserempak dengan Husna sekali lagi and kali ni ada Fatima sekali dengan kau. Tak ke Fatima akan fikir bukan-bukan bila dia tengok cara kau dengan Husna macam dah pernah jumpa sebelum ni?"

Firhan terdiam. Dia akui ada benarnya kata-kata Iz. Sumpah dia langsung tiada niat untuk mengkhianati Fatima.

"Husna tahu tak yang kau sebenarnya dah kahwin sekarang ni?" Tiba-tiba muncul persoalan itu dalam benak Iz. Tertanya-tanya juga akan hal itu. Hatinya kuat mengatakan Husna langsung tidak tahu-menahu tentang Firhan yang sudah pun berkahwin.

Firhan menggeleng. "Dia tak tahu."

Iz lepaskan keluhan. Dah agak..."Aku tak tahulah kalau perempuan tu still ada perasaan dekat kau atau tak. Tapi, yang pastinya aku harap kau jangan buat benda bukan-bukan. Don't you ever think to flirting with her behind Fatima." Tanpa sedar laju sahaja amaran itu keluar dari mulutnya.

"Ya Allah Iz! Kau ingat aku apa?" Firhan sudah tersandar di kerusinya. Rambutnya diraup kasar. Kata-kata Iz sebentar tadi dirasakan tidak ubah seperti satu tuduhan.

Iz mengukir senyuman. "Baguslah kalau kau tak ada niat macam tu. Aku kawan kau tapi kalau aku dapat tahu kau buat perangai tak semenggah macam tu, aku tak teragak untuk tumbuk kau, Fir."

OG | Cerita Ini Cerita KitaWhere stories live. Discover now