Bab 50- Pencinta Terbaik

166 13 0
                                    

ELFIRA Awliya terkejut tatkala terserempak dengan Elias Zikry di bawah tangga.

"Aku nak bercakap dengan kau sebentar." Kata Elias Zikry sepintas lalu. Dia meninggalkan Elfira Awliya yang masih terkebil-kebil menerima arahannya itu.

"DOKTOR nak bercakap pasal apa?" Tanya Elfira Awliya sambil tangan bersilang ke dada. Malas nak melayan gamaknya.

Elias Zikry mendengus. Barangkali dia berasa malas juga mahu bercakap dengan adiknya itu.

"Aku nak hadiahkan sebidang tanah kita kat hujung kampung kepada Imam Haron. Aku nak balas jasa dia kerana telah menjaga tanah-tanah, rumah dan kubur arwah mak dan ayah di kampung. Sekurang-kurangnya itu yang dapat aku buat untuk balas jasa dia." Beritahu Elias Zikry tanpa berbasa-basi.

Elfira Awliya sedikit terkejut. Barangkali dia seakan tidak percaya bahawa selama ini abangnya masih perduli akan harta, rumah dan pusara orang tua mereka di kampung.

Tiba-tiba Elfira Awliya berasa malu pada dirinya sendiri. Kerana selama lapan tahun dia meninggalkan kampung, dia tidak pernah ambil tahu semua itu. Dia membawa diri lalu membuang segala-galanya.

Namun, ternyata alongnya itu tidak seteruk dirinya. Along masih perdulikan semua itu. Hanya dirinya yang 'dibuang' oleh alongnya. Sedih hati Elfira Awliya mengenang semua itu.

"Kerana itulah aku berjumpa dengan Ikin tempoh hari. Dia yang menguruskan hal-hal tukar nama tanah itu. Bukannya kerana kami ada hubungan sulit seperti yang kau sebarkan pada Riya." Beritahu Elias Zikry separuh geram nadanya.

Elfira Awliya berdehem kecil. Cuba mengawal reaksi wajahnya agar terus pamer riak bersahaja.

"Aku tak sangka, pandai pula kau sebarkan rumor iya?" Sindir Elias Zikry.

"Saya beritahu Riya kerana saya rasa dia nak tahu khabar suaminya yang telah menghilang selama dua minggu." Balas Elfira Awliya selamba. Walhal dalam hati sudah berasa menyesal dengan perbuatan sendiri. Nak mengenakan seteru, tak pasal-pasal dia telah menyebarkan fitnah.

"Kau sengaja nak buat Riya marah kan? Kau suka bangkitkan kemarahannya? Kau tak takut dia akan mengapa-apakan kau?"

"Sejak bila doktor mula risaukan saya?" Soal Elfira Awliya sarkastik.

"Oh, sekarang doktor sudah percaya bahawa kemarahan isteri doktor itu boleh bangkitkan monster dalam dirinya?" Elfira Awliya sudah tergelak sinis.

Sakit hati Elias Zikry menengoknya! Dia pandang wajah sinis adiknya itu sambil menggeleng. Tiba-tiba Elias Zikry teringat pada kata-kata Faizul padanya tempoh hari.

"Doktor tak rasa pelik, kenapa Fira dan Riya saling bermusuhan sampai sekarang?"

"Pada malam Fira dirogol, Riya.. Dia adalah saksi sebenar kejadian pada malam itu."

Elias Zikry telan liur. Lidah yang kaku itu cuba digerakkan untuk bertanya soalan yang membelenggu dirinya.

"Aku nak tahu, betul Riya ada masa malam kau kena rogol itu?" Tanya Elias Zikry perlahan.

Riak wajah Elfira Awliya pantas berubah. Dia mendongak memandang wajah alongnya itu dengan bingung.

"Macam mana.."

"Fira? Zik?"

Aidan Adhwa tiba-tiba datang mencelah perbualan mereka.

"Korang berdua sedang bincang pasal apa?" Tanya Aidan Adhwa sedikit hairan melihat dua beradik itu seakan sedang berbincang mengenai perkara serius.

Aidan Adhwa bukan suka-suka mahu menyampuk. Tetapi dia tidak mahu Riya Zahra melihat dua beradik itu berdua-duaan lagi. Tak pasal-pasal akan menimbulkan kekecohan lagi di villa mereka.

Bukan PendosaDove le storie prendono vita. Scoprilo ora