Bab 22- Ikhlas Atau Dendam?

51 5 0
                                    

RAFEEZAL termenung lama di hadapan TV yang sedang terpasang. Dia bukan sedang menonton rancangan TV itu. Tetapi lebih kepada termenung mengingati pertemuan dengan Daiyan di pejabat tadi.

"Eh, awak ada balik sini?" Tegur Nurashikin sedikit terkejut melihat Rafeezal berteleku duduk di sofa sambil menonton TV. Dia baru sahaja balik dari melakukan kerja di luar pejabatnya.

"Awak tak suka saya balik rumah ini ke?" Soal Rafeezal malas.

"Bukan tak suka. Hanya terkejut. Iyalah, awak kan buat rumah ini macam hotel. Check in and out ikut suka hati awak aje." Sindir Nurashikin.

"Kau nak minum tak? Saya tolong buatkan." Pelawa Nurashikin. Meskipun mereka berdua berkahwin tanpa cinta, tapi Nurashikin sentiasa berusaha untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Namun usahanya itu tidak pernah dipandang oleh Rafeezal.

"Kalau tak menyusahkan awak." Balas Rafeezal.

Nurashikin lalu pergi ke dapur untuk membuat minuman mereka berdua.

"Nah. Ini kopi untuk awak. Maaf saya letak terlebih susu." Kata Nurashikin.

"Tak apa." Rafeezal mencapai air kopi panas buatan isterinya itu lalu diminumnya perlahan.

"Awak betul-betul nak bantu Daiyan dalam kes saman dia?" Tanya Rafeezal tiba-tiba.

Nurashikin turut meneguk air kopi panas miliknya sendiri. Dia angguk kepala.

"Sebenarnya alasan saya tak boleh menolak kes Daiyan kerana saya tak mahu memalukan Uncle Khalid dan Uncle Kaer. Daiyan itu seorang selebriti terkenal. Mungkin dengan menang kes saman dia nanti akan menaikkan nama baik firma kita?" Ujar Nurashikin.

"Awak yakin boleh menang kes itu?" Soal Rafeezal kurang yakin.

"INSHAALLAH. Awak tak percayakan saya ke? Awak ingat kes sebelum-sebelum ni? Siapa peguam yang selalu menang kes saman sivil di firma kita kalau bukan saya." Ujar Nurashikin bangga.

Rafeezal mengeluh kecil. Dia tidak mempertikaikan kepakaran Nurashikin itu. Meskipun isterinya itu hanya peguam muda yang belum mempunyai banyak pengalaman. Sama juga seperti dirinya.

"Saya harap awak boleh menang kes itu nanti. Bak kata awak juga, tak elok malukan Uncle Kaer dan Uncle Khalid jika menolak kes Daiyan. Kita berdua banyak terhutang budi dengan mereka berdua tu." Kata Rafeezal.

Nurashikin terangguk kepala. Benar kata suaminya itu.

"Hujung minggu ni mungkin saya akan balik dengan Natrah ke kampung. Awak tak ikut sekali?" Tanya Nurashikin.

"Berapa lama?"

"Barangkali dalam dua malam."

"Tak kut. Kirim salam pada mak dan mak ngah aje."

Nurashikin mengeluh kecil.

"Awak sudah lama tak balik kampung. Nanti saya nak jawab apa kat mak?"

"Jawab ajelah apa-apa. Selama ini awak memang pandai backup masalah kita dari mak, kan?" Sindir Rafeezal.

Nurashikin merengus geram.

"Takkanlah saya nak aibkan suami sendiri di hadapan mak mentua saya? Seburuk-buruk pun diri saya, tapi saya masih mahu menjaga aib suami sendiri. Meskipun si suami tak pernah menghargai diri saya sebagai seorang isteri." Dalam maksud Nurashikin itu.

"Tapi dengan Natrah, tak ada pun awak selindung apa-apa dari dia tentang masalah rumah tangga kita. Bukankah itu sama aje awak buka aib suami sendiri?" Tempelak Rafeezal.

Bukan PendosaWhere stories live. Discover now