💜 Lepak perpustakaan 💜

646 55 3
                                    

Perpustakaan, tempat yang paling digemari oleh lima orang sahabat yang sememangnya terkenal di Akademi Dary sendiri. Jika hadir ke sana sewaktu rehat ataupun masa-masa yang terluang, pasti dapat terlihat sekumpulan gadis itu sedang duduk di sebuah meja bulat yang besar. Kalau bernasib baik, boleh berjumpa sekali dengan pelajar-pelajar baharu yang berpengalaman merasai sekolah pelajar biasa.

Empat orang pelajar berkain biru cair sedang sibuk melakukan kerja sendiri, seorang lagi pula sudah hilang entah ke mana. Di sekeliling mereka pula dapat dilihat beberapa orang pelajar perempuan berkain ungu dan pelajar lelaki.

"Maya, bukan kira macam itulah." Suara Umi meletus di dalam kesunyian perpustakaan itu. "Mana pula X tambah Y jadi Z?" Sambungnya lagi sambil mengetuk buku tersebut dengan pen beberapa kali. Wajahnya terlihat marah.

"Eh?!" Terus sahaja Maya melihat bukunya semula. Sejak bila pula dia tulis seperti itu?

Fazli dan Ahnaf yang berada di meja sebelah sekadar menggelengkan kepala dengan senyuman terhibur. Hanif, Hanani dan Hana pula sudah galak ketawa tidak jauh dari mereka.

Kedengaran Syahirah memetik lidahnya. Apabila semua memandang, dia melakukan beberapa bahasa isyarat yang tidak mereka ketahui maksudnya.

"Syahirah suruh perlahankan suara, jangan bising sangat." Tegur Umi sambil membetulkan kaca matanya. Mereka yang lain mengangguk faham.

Suasana kembali sepi. Tidak jauh dari mereka, Yazmin dapat dilihat sedang enak bernasyid kecil sambil bermain dengan sebuah kiub di tangannya, Aisyah ligat melukis di atas kertas, Aineen bertungkus-lumus menyiapkan tugasan yang diberikan oleh ustazah kelasnya manakala Niysa khusyuk membaca buku. Keadaan aman itu dapat dikekalkan buat beberapa minit sehinggalah bunyi seseorang sedang berlari menangkap gegendang telinga mereka.

"Eh kejap, itu Hanie ke?" Soal Aineen, lantas mengangkat kepala. Dia mencari-cari punca bunyi tersebut.

"Dia je yang tak ada kat sini, dialah tu." Jawab Yazmin yang turut mencari kelibat gadis kecil itu. Kiub yang telah disiapkan mengikut warna itu diletakkan ke atas meja.

Semakin lama, semakin kuat bunyi derapan tapak kaki tersebut. Namun kelajuannya berkurang, menandakan dia mendekati. Tidak lama kemudian, muncullah seorang gadis kecil yang berkaca mata bersama beberapa buah buku di tangan.

"Hanie, apa semua tu-"

"Buku baru sampai! Semua ni buku baru yang ada dekat perpustakaan." Potong Hanie terhadap soalan Niysa. Anak matanya bersinar bagaikan gadis yang baru sahaja menerima hadiah bernilai.

Kerusi kosong ditarik, Hanie lantas melabuhkan punggung ke atasnya. Buku-buku tersebut ditilik bagi mengenal pasti yang manakah harus dia baca terlebih dahulu.

"Macam mana awak tahu buku-buku ini buku baru?" Tanya Aisyah, menghentikan sekejap aktivitinya bagi memerhatikan Hanie.

Gadis yang ditanya itu tersenyum senget. "Novel dan novela apa sahaja yang saya tidak tahu di dalam perpustakaan ini? Hampir semua sudah saya baca jadi saya tahu bila terlihat yang baru. Nombor tag pada tulang buku juga baharu semuanya." Balasnya lalu mencapai sebuah novel tebal.

Sahabat-sahabatnya sekadar mengangguk faham. Biarlah si Hanie itu, asal dia bahagia.

"Saya nak tengok juga boleh?" Niysa menyoal. Menarik pula tatkala terlihat buku-buku yang masih segar dan cantik muka hadapannya.

Hanie menganggukkan kepala tanda memberi kebenaran. "Boleh, ambil sajalah." 

Buku-buku yang terdapat di atas meja itu Niysa lihat dengan penuh kagum. Matanya melilau ke sana-sini sehinggalah ia tertancap pada sebuah buku yang temanya kuning dan hijau. Buku tersebut terus dicapainya.

Akademi Dary : Sixth SenseWhere stories live. Discover now