2 4

1.9K 101 4
                                    

Sering juga Talia berkunjung ke restoran ini. Hampir setiap hujung minggu dia akan datang untuk belajar memasak. Minggu ini genaplah kali yang keempat sesi memasaknya bersama Sayf.

Setiap kali itulah Aralyn akan ada untuk menjadi tukang pemerhati. Mahu sahaja dia menghalau wanita itu yang sepertinya mahu belajar semata-mata untuk mendekati kawan baiknya itu. Namun fikiran negatif itu dibiarkan berlalu, mungkin tekaannya itu salah belaka.

"Awak ni memang ada kemahiran memasaklah. Perlu lagi ke awak nak belajar dengan saya?" Pujian daripada Sayf membuatkan Aralyn menjulingkan matanya tanda tidak berpuas hati.

"Kalau nak dibandingkan dengan awak, apa sangatlah kemahiran yang saya ada," balas Talia yang merendah diri.

Aralyn bersandar pada dinding sambil tangannya disilangkan. Masa terasa lama berlalu. Cepatlah! Tidak mahu lagi dia menjadi penonton kepada aksi yang kononnya romantik ini.

Pulang sahaja di rumah, cepat-cepat dia menuju ke dapur. Apron yang tersangkut kemas di ambil lalu dipakai olehnya. Bahan-bahan yang digunakan untuk memasak lasagna dikeluarkan daripada peti ais.

"Setakat masak lasagna je, aku pun bolehlah. Kacang je ni!" ujar Aralyn yang yakin benar mampu menyediakan. Disebabkan perasaan tidak puas hatinya mendengar Sayf memuji Talia tadi, dia juga mahu menyediakan masakan yang sama.

Cendawan butang dipotong seperti yang pernah diajarkan oleh Sayf. Dia cuba mengingat kembali langkah-langkah memasak seperti yang diajarkan oleh Sayf kepada Talia.

Hampir setengah jam bertarung di dapur itu, akhirnya lasagna itu dimasukkan ke dalam oven. Tidak sabar untuk merasa sendiri masakan yang dimasaknya sendiri.

Bunyi sahaja oven itu, cepat-cepat Aralyn berlari anak menuju ke arah dapur bagi melihat hasil lasagna buatan sendirinya itu.

Kerana terlalu teruja untuk merasa makanan itu, Aralyn cuba mengeluarkan lasagna itu dengan tangannya yang tidak berlapik.

"Ouch!" Kedua belah tangannya diayun-ayunkan kesakitan.

Sarung tangan dipakai olehnya lalu dia mengeluarkan lasagna itu daripada perut oven. Sempat lagi bau masakan itu dihidu olehnya. Sunggu menyelerakan!

Lasagna itu dipotong kecil lalu dicucuk menggunakan garpu, masuk sahaja ke dalam mulut Aralyn menguyah perlahan makanan tersebut bagi menikmati setiap perisa lasagna itu.

"Puih! Puih! Puih!" Tidak dapat menelan makanan tersebut, lasagna itu diludahkan ke dalam tong sampah lalu cepat-cepat dia ke singki untuk berkumur.

"Apa ke pelik rasanya? Aku ikut kot resepi Sayf tu!" bebel Aralyn sendiri.

Cubaan memasak kali keduanya ini juga tidak berjaya, sama seperti bubur yang pernah dimasaknya untuk Sayf tempoh hari. Aralyn melepaskan keluhan lemah, mungkin dirinya dan dapur memang tidak sesuai bersama.

Tangannya yang sedikit melecur diperhati lama dengan perasaan hiba. Mungkin tiada langsung bakat memasak dalam dirinya.

****

"Haraplah perempuan tu tak datang hari ni," ujar Aralyn sendiri yang sedang berjalan kaki ke restoran Sayf petang itu.

Masuk sahaja ke dalam restoran itu terlihat Sayf yang sedang sibuk mengemop lantai. Melihat Sayf yang berseorangan bibir Aralyn mengukirkan senyuman nipis. Harapannya menjadi kenyataan tatkala susuk tubuh wanita itu tidak kelihatan pada hari ini.

Aralyn mengambil tempat di sebuah kerusi lalu meletakkan beg miliknya di atas meja.

"Nak makan? Saya boleh masakkan," pelawa Sayf.

Rindu Kita Yang Dulu ✔Where stories live. Discover now