Bab 33

5.1K 239 13
                                    

"Sumaiyyyah, ceritakan apa yang kamu nampak berlaku semalam" tanya Ustaz Harun kepada Sumaiyyah yang duduk di meja depan. Perjumpaan tertutup ini diadakan antara aku, Salman, Sumaiyyah dan dihadiri oleh Ustaz Harun, Ustazah Fauziah dan beberapa orang saksi termasuklah Umar. Selepas peristiwa semalam, aku dan Salman dibawa ke pejabat Ustaz Harun bagi urusan merekod kejadian. Namun, perbicaraan lanjut telah diadakan hari ini di bilik mesyuarat Surau Solihin.

"Semasa saya lalu di depan kelas itu saya terdengar suara 2 orang lelaki dan perempuan sedang bergelak ketawa. Saya intai daripada tingkap dan saya nampak Salman dan Hana sedang berdua-duaan dengan mesra di dalam kelas" Sumayyah menyampaikan cerita rekaannya.

Aku merenung Sumaiyyah yang begitu lancar berkata-kata bagaikan segalanya sudah direncana. Tak sangka sungguh aku yang Sumaiyyah boleh bertindak sampai begini. Sudah berapa lama agaknya di merancang ini semua. Betapa benci sunggguh dia kepada aku.

"Salman, benar apa yang Sumaiyyah katakan?" tanya Ustaz Harun kepada Salman.

"Ya" bohong Salman dengan bersahaja.

"Ceritakan kepada kami apa yang berlaku semalam" sambung Ustaz Harun.

"Saya menunggu Hana dalam bilik kelas semalam kerana sudah lama kami tidak berjumpa berdua. Apabila dia masuk saya menutup kedua-dua pintu untuk memberi kami sedikit privasi. Kami hanya berbual-bual sahaja semalam" Salman meneruskan lagi pembohongannya tanpa rasa bersalah sedikit pun.

"Ustaz, mereka berdua berbohong!" aku bangun dan bersuara dengan lantang. Tidak sanggup lagi aku mendengar maruah diri aku diperkotak-katik sebegitu rupa.

"Saya belum tanya awak lagi" Ustaz Harun menjawab acuh tidak acuh.

"Salman, awak tahu kan yang perbuatan berdua-duaan di tempat tertutup itu adalah salah di sisi agama?" tanya Ustaz Harun kepada Salman tanpa sedikit pun memandang kepada aku.

"Saya tahu Ustaz. Tapi saya rindukan kekasih saya" Salman menyambung lagi tanpa segan silu. Berdesing telinga aku apabila mendengar tohmahannya yang melampau itu.

"Saya bukan kekasih dia!" sekali lagi aku bingkas bangun mempertahankan diri aku. Umar yang duduk di situ memalingkan mukanya apabila mendengar Salman memanggil aku sebagai 'kekasih'nya.

"Hana, duduk dulu saya belum tanya awak lagi!" Ustaz Harun mula meninggi suara kepada aku.

"Ustaz, saya ada hak mempertahankan diri saya apabila saya difitnah begini" aku tidak mahu berdiam diri sekali lagi.

Aku menyesal kerana terlalu mengikut perasaan takut dan gementar semalam hingga tidak mampu bersuara. Sepanjang perjalanan ke pejabat Ustaz Harun dan ketika urusan merekod dilakukan, aku menangis teresak-esak. Sepatah kata pun tidak aku keluarkan.

Pulang sahaja ke bilik aku mendapatkan Nora dan Kina dan aku bercerita dan menangis kepada mereka semahu-mahunya. Mujurlah Nora dan Kina begitu memahami dan memberi sepenuh sokongan kepada aku. Nora menasihatkan agar aku menunaikan solat Sunat Taubat dan Hajat dan meminta pertolongan kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Katanya doa orang yang teraniaya adalah antara doa yang makbul. Maka sepanjang malam aku bersolat Sunat Taubat dan Solat Hajat. Menjelang pagi kekuatan dalam diri aku muncul kembali.

"Baiklah. Jadi apa yang Sumaiyyah cakap adalah salah?" Ustaz Harun bertanya kepada aku.

"Ya." Jawab aku dengan tegas.

"Apa yang Salman cakap juga salah?"

"Ya."

"Habis tu, apa yang berlaku sebenarnya?"

Aku menceritakan kejadian yang berlaku semalam daripada mula sampai akhir. Setelah tamat, aku lihat wajah Ustaz Harun berkerut-kerut. Sumaiyyah dan Salman masih diam membisu tanpa sebarang reaksi. Ustazah Fauziah mendengar dengan teliti. Umar masih tunduk membisu. Tidak sekali pun dia bertentang mata dengan aku walaupun beberapa kali aku cuba untuk menangkap anak matanya. Adakah dia tidak sudi memandang aku lagi?

"Awak nak saya percaya yang mereka berdua ni berkomplot untuk perangkap awak?" Ustaz Harun bertanya kepada aku dengan wajah yang sangsi.

"Itulah kebenarannya Ustaz!"

"Saya dah lama kenal Sumaiyyah. Dia adalah Naib Presiden Persatuan Pelajar Islam Kolej Kejora yang tekun dan berwibawa. Apa sebab dia nak fitnahkan awak?"

Aku tergamam sebentar. Patutkah aku ceritakan segala pertengkaran dan ugutan yang dibuat oleh Sumaiyyah kepada aku selama ini? Bagaimana dia sering mencari pasal dengan aku pada setiap perkara. Walaupun memang benar Sumaiyyah dan Salman yang memerangkap aku, aku tidak ada bukti!

"Saya tak pasti apa sebab dia nak perangkap saya - tapi itulah kebenarannya" aku mengambil keputusan untuk tidak bercerita tentang perkara yang sukar aku nak buktikan. Biarlah segala episod perbalahan aku dan Sumaiyyah menjadi rahsia kami berdua saja.

"Boleh saya cakap sesuatu Ustaz?" Sumaiyyah tiba-tiba bersuara dengan penuh sopan.

"Silakan Sumaiyyah," Ustaz Harun menganggukkan kepalanya.

"Saya tahu Hana marah kepada saya kerana membuat aduan kepada Ustaz. Mungkin kerana itu dia mereka cerita memfitnah saya. Tapi saya lakukan ini semua demi kebaikan dia juga. Saya tak mahu saudara se-Islam saya terus menerus melakukan dosa," Sumaiyyah meneruskan sandiwaranya.

Ternganga mulut aku mendengar tuduhan Sumaiyyah. Berani dia tuduh aku pulak yang reka cerita padahal sandiwara dia ni yang mengalahkan filem epik!

Ustaz Harun mengangguk-angguk kepalanya sambil menulis ke dalam buku catatannya. Tiba-tiba, Ustazah Fauziah bersuara.

"Boleh saya tanya sesuatu kepada mereka Ustaz?" pohon Ustazah Fauziah.

"Silakan," kata Ustaz Harun.

"Apa kamu buat di bangunan itu malam semalam Sumaiyyah?"

"Err..saya pergi mengulangkaji pelajaran di perpustakaan" jawab Sumaiyyah.

"Saya, Nora dan Kina juga mengulangkaji pelajaran di perpustakaan semalam. Tak nampak pun awak di sana?" aku menempelak Sumaiyyah yang tidak habis-habis menipu!

"Saya balik awal. Kemudian saya berpatah balik semula kerana tertingggal barang. Masa itu lah saya nampak Hana dan Salman" Sumaiyyah memandang tepat kepada aku tanpa berkelip. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala mendengar tohmahan demi tohmahan yang keluar daripada mulut Sumaiyyah.

"Salman, sudah berapa lama Hana menjadi kekasih kamu?" tanya Ustazah Fauziah kepada Salman pula.

"Semenjak awal tahun lagi Ustazah." Jawab Salman tanpa teragak-agak.

"Dia bohong! Saya tidak pernah ada apa-apa hubungan dengan dia. Ya, memang dia ada cuba merapati saya pada awal tahun ini tapi saya tidak pernah membalasnya. Saya ada bukti tentang hal ini!"

Alhamdulillah pada ketika ini aku teringat yang aku masih tidak memadam segala mesej pujuk rayu Salman di dalam whatsapp aku. Aku terus menunjukkan mesej-mesejnya kepada Ustazah Fauziah. Salman mula kelihatan serba salah.

"Itu tak membuktikan apa-apa." Kata Ustaz Harun yang nampaknya masih mahu menyebelahi Sumaiyyah dan Salman. "Mungkin perhubungan mereka berubah selepas itu. Biasala budak-budak ni. Mula-mula tak nak, lepas tu nak pulak.." Ustaz Harun tertawa terkekeh-kekeh.

Eee anginnya aku rasa dengan Ustaz Harun pada masa ni! Aku tak tahu kenapa Ustaz ni bermati-matian nak pertahankan Salman dan Sumaiyyah.

"Tidak Ustaz. Sekali lagi saya tegaskan. Saya tidak pernah ada hubungan dengan Salman." Aku ingin menambah yang aku adalah tunangan Umar. Tetapi aku takut yang Umar mungkin sudah tidak mahu mengakui akan hakikat itu lagi. Jadi aku diamkan saja dan terus menundukkan kepala.

Ustazah Fauziah terus mencatat kenyataan aku di dalam bukunya. Ustaz Harun masih menunjukkan muka sangsi.

"Kenapa kamu menolak bila Salman ingin menjalinkan hubungan dengan kamu pada awal tahun ini Hana?" tiba-tiba Ustazah Fauziah bertanya kepada aku.

"Sebab saya tidak mempunyai perasaan terhadap dia Ustazah. Saya.." Aku ingin meneruskan kata-kata, namun sekali lagi aku terhenti. Apakah wajar aku ceritakan perihal aku dan Umar di sini?


Pada ketika itu aku perasan tiba-tiba Umar bangun dan meninggalkan bilik. Aku hanya mampu memandang daripada tempat duduk aku dengan perasaan hiba. Begitu sekali dia sudah benci kepada aku. Apalah nasib aku..

Nak Kahwin Imam Muda!Onde histórias criam vida. Descubra agora