Bab 29

7.7K 319 3
                                    

Aku memusing-musingkan cincin tunang yang tersarung di jari manisku. Bagai tidak percaya yang aku sudah menjadi tunangan Umar! Segala-galanya umpama mimpi indah yang bersambungan semenjak Umar datang ke rumah bertemu mummy dan daddy sebulan yang lepas. Aku sendiri pun tak sangka yang segala-gala berlaku dalam masa sepantas ini!

Majlis pertunangan aku berjalan dalam keadaan yang ringkas tapi meriah. Persekitaran rumahku dihias ringkas dengan tema warna putih gading dan peach. Kebanyakan hiasan dibuat sendiri oleh aku dan beberapa orang teman sekolejku, Nora dan Kina. Kami bertiga menjadi semakin rapat semenjak acara hijab styling yang aku adakan tempoh hari. Aku, Nora dan Kina gemar akan aktiviti kreatif dan DIY. Jadi, suka benar la kami membuat hiasan untuk majlis pertunangan aku ni. Daripada hiasan hantaran ke hiasan meja jamuan, semuanya diberi sentuhan tangan kami sendiri. Dan hasilnya sangat menarik! Baju tunang aku adalah dress labuh berwarna peach lembut dihias dengan manik-manik halus, digayakan dengan selendang daripada rona yang sama.

Daddy nampaknya suka benar kepada Umar. Walaupun mereka berdua mempunyai karakter yang jauh berbeza, daddy seorang yang agak moden dan kebaratan, Umar agak tradisional dan Islamik – entah bagaimana bagai ada keserasian antara mereka berdua. Mummy sebenarnya masih tidak dapat menerima hakikat yang aku telah bertunang dengan Umar, dan bukan Carl. Sebenarnya, sebelum majlis ini berlangsung, sudah berapa kali mummy dan daddy bertengkar. Mummy tetap berkeras tidak mahu menerima Umar manakala daddy pula bermati-matian mempertahankan pilihannya. Aku yang di tengah-tengah selalu dihimpit rasa serba salah. Namun, kerana daddy berada di pihak aku dan sentiasa mendengar pendapatku – akhirnya berlangsung juga majlis ini walaupun penuh dengan cabaran.

Setelah daddy membuat keputusan yang dia hendakkan majlis ini berlangsung, dia telah memanggil kakak sulungnya, Aunty Jaminah daripada kampung untuk membantu menguruskan majlis. Mummy dengan Aunty Jaminah memang tidak sebulu daripada dulu. Tapi, disebabkan Aunty Jaminah adalah kakak kepada daddy, mummy terpaksa mengalah. Nasib baikla ada Aunty Jaminah. Dialah yang banyak membantu menguruskan hal pertunangan aku. Mummy langsung tidak campur tangan. Daripada urusan membeli hantaran, hinggalah ke urusan katering makanan, semuanya diuruskan oleh Aunty Jaminah. Mummy hanya mengangguk-angguk bila ditanyakan pendapat dan tersenyum tawar. Aku tahu mummy sebenarnya memendam saja rasa marahnya kerana segan dengan Aunty Jaminah. Bijak jugak daddy aku ni mencari taktik agar mummy lebih mudah dikawal menjelang majlis.

Masih aku teringat detik Ibu Umar, Puan Rahmah menyarungkan cincin di jari aku. Ibu Umar berperwatakan tenang, setenang anaknya juga. Senyum manis tidak penah lekang di wajahnya. Walaupun Ibu Umar lebih kurang sebaya dengan mummy, dia nampak jauh berusia. Tangannya terasa kasar, bukti kerja keras seorang ibu membesarkan anaknya seorang diri. Datuk dan nenek Umar juga turut ada bersama. Walaupun sudah jauh berusia, keduanya nampak masih sihat dan bertenaga. Terasa kehangatan kasih sayang orang tua apabila neneknya memeluk aku dengan mesra dan mengucup dahiku. Aku memang sudah tidak ada datuk dan nenek. Ayah dan ibu daddy meninggal dunia ketika aku masih kecil lagi. Ayah dan ibu mummy pula memang tidak pernah aku kenali. Gembira rasa hatiku dapat menumpang kasih datuk dan nenek Umar.

Dan hujung minggu ini, Umar datang lagi ke rumahku untuk menziarahi aku dan keluargaku. Setiap kali dia datang, dia sentiasa membawa buah tangan. Kali ini sebungkus buah strawberry segar daripada Cameron Highland. Mummy hanya menerima buah tangan itu dengan senyum hambar. Umar meminta izin untuk berbual-bual dengan aku di ruang santai di luar, tempat aku dan Carl berbual-bual bersama tempoh hari. Setelah mendapat keizinan daddy, aku menuruti Umar keluar laman dengan berdebar-debar. Pertama kali aku akan berbual-bual dengan Umar, tunanganku!

Nak Kahwin Imam Muda!Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang