Bab 49 (TW)

1.2K 96 18
                                    

TW: Penderaan fizikal

PINTU utama yang ditutup dengan begitu kuat menyebabkan Zinnirah yang mengacau minumannya di dapur terperanjat. Bahunya ternaik seketika sebelum mengurut dadanya perlahan.

Zinnirah menjeling sedikit ke arah ruang tamu dan terlihat gerangan baba yang mundar-mandir di situ.

Tiga hari babanya tidak pulang ke rumah.  Tiba-tiba fikirannya melayang tentang pengakuannya pada Atiya tiga hari lalu. Jantung mula berdegup kecang.

Cerek di atas dapur gas yang berbunyi kuat itu ditutup apinya sebelum dia mahu berlari masuk ke biliknya.

Belum sempat kaki itu melangkah keluar daripada dapur, dirinya sudah disekat oleh gerangan babanya.

Zinnirah menelan liurnya sendiri. Tangan mula berpeluh. Dia menggenggam erat mug kaca di dalam pegangannya itu. Kepala yang menunduk memandang hujung jari kakinya.

"Apa yang kau dah buat, Zinnirah? Kau buat apa, Zinnirah?!" Lantas, tangan kasar itu naik ke pipi Zinnirah tanpa kasihan. Badan menjadi tidak stabil sebelum Zinnirah terjelopok jatuh di tepi dan terlepas mug dalam genggamannya.

Pipinya terasa kebas, matanya terasa berpinar buat seketika. Tubuh mula menggeletar ketakutan.

Secara tiba-tiba, rambutnya ditarik kuat sehingga kepalanya terdongak memanjang wajah Encik Alwie yang sudah menyinga. Wajah itu telah merah menahan amarah terhadap anak sial di depannya ini.

Tangan kanan dibawa ke muka Zinnirah sebelum dicengkam kuat pipi itu. "Aku tanya kau, kau dah buat apa Zinnirah? Kau buat apa pada Atiya?! Kau memang nak hancurkan rumah tangga aku dengan Salwa ke?!" Jerkahan itu memenuhi ruang rumahnya.

"Ji--Ji min--minta maaf baba." Terketar bibir itu menjawab walaupun dicengkam kuat oleh babanya. Mata itu mula berkaca menahan takut dan sakit.

"Dengan maaf kau tu dapat kembalikan kepercayaan Atiya terhadap aku? Tak boleh! Dia dah tak percayakan aku! Anak aku sendiri tak percayakan aku disebabkan perempuan bodoh macam kau!" Cengkaman dilepaskan sebelum ditolak kuat kepala itu. Kaki dinaikkan sebelum menendang badan gadis itu berkali-kali.

"Sa--sakit baba." Zinnirah meringis kesakitan apabila diperlakukan sebegitu oleh babanya. Selama ini, lelaki tua itu hanya melibaskan dengan tali pinggang. Tapi kali ini, amarahnya dilepaskan dalam keadaan yang sangat kejam buat seorang anak.

"Sakit? Ni belum cukup sakit lagi lah!" Sepakan dihentikan sebelum ditarik kuat lengan gadis itu untuk berdiri. Rambut yang serabai itu dicengkam kuat.

"Sakit baba..." Zinnirah menggigit bawah bibir menahan kesakitan yang mencengkam segenap tubuhnya. Mata sudah kabur dengan air mata.

"Apa motif kau buat macam ni? Kau nak apa sebenarnya daripada aku dan Salwa? Kau nak apa daripada Atiya?!" Badan Zinnirah ditolak mendekati dapur gas tanpa sedar.

"Ji hanya mahu Atiya tahu hal yang sebenar. Ji mahu Ati tahu yang baba ada isteri selain ibu Salwa. Dan yang paling penting, Ji juga anak baba! Kenapa baba layan Ji macam ni? Kenapa baba tak pernah sayang Ji sama seperti Atiya? Kenapa hanya Atiya yang dapat kasih sayang baba, kenapa bukan Ji? Ji juga anak baba!" Zinnirah menaikkan suaranya di hadapan wajah itu. Entah dari mana datangnya keberanian itu untuk menyuarakan luahan hatinya yang dipendam selama ini.

Serentak itu pipinya mendapat tamparan kuat sekali lagi sebelum Encik Alwie mecurahkan air panas di dalam cerek itu ke tangan gadis itu.

Zinnirah terus menjerit kesakitan. Tangannya melecur. Bawah bibir digigit kuat sehingga berdarah.

Sakit baba, sakit!

"Kau pandai sangat menjawab sekarang, kan? Tu baru panas dunia, belum lagi panas neraka dengan perangai anak derhaka seperti kau ini!" Kepala itu ditujal sebelum meninggalkan Zinnirah yang kalut melalukan tangannya yang sudah merah di bawah air paip. Meleleh lagi air mata itu dengan esakan yang ditahan.

Dugaan apa lagi ni Ya Allah, salahkah aku menegakkan kebenaran? Bukan maksud aku mahu meruntuhkan kepercayaan Atiya kepada baba. Bukan kemahuanku untuk semua ini terjadi. Hanya sedikit bahagia yang ku pinta.

Dalam esak tangisnya, kedengaran suara mama dan baba bergaduh di ruang tamu.

Sebak menyerbu dada buat sekian kalinya.

Ini semua salah dirinya. Semuanya hancur disebabkan seorang Zinnirah yang dahagakan sebuah keluarga normal yang bahagia.

"Kenapa abang tipu saya. Abang cakap abang dah putuskan hubungan dengan Salwa, tapi apa ni? Siap ada anak dengan Salwa? Kenapa awak buat saya macam ni, Alwie." Suara mamanya yang menjerit berubah menjadi esakan menusuk masuk ke halwa telinga Zinnirah yang sudah terduduk di sudut dapur.

"Sebab aku cintakan Salwa." Jawapan pendek itu mampu melanyakkan hati Puan Khalidah yang masih terkedu dengan pergaduhan antara suaminya dan Zinnirah. Dia mendengar semuanya, dia cuma mahukan kepastian.

"Sejak bila?" Perit soalan itu keluar daripada bibir terketar menahan rasa.

"Lepas kau bersalinkan budak sial tu. Aku terus kahwin dengan Salwa." Berderai sehingga tinggal serpihan saja hati Puan Khalidah ketika itu.

Lama, sangat lama dia ditipu oleh suami sendiri. 19 tahun dia dimadukan tanpa pengetahuan. Peritnya, Ya Allah.

"Sampai hati abang..." Terus terlorot jatuh badan tua itu ke atas lantai sebaik saja mengetahui kebenaran itu.

Sakitnya hati ini bagai ditusuk dengan belati. Suami sendiri curang dan sudah berkahwin tanpa pengetahuannya.

"Abang dah tak sayang saya ke?" Matanya tunak memandang suaminya yang memandang dengan muka bersalah.

"Aku minta maaf, Idah." Seraya itu, kaki dilangkah ke pintu utama sebelum dia terus keluar daripada rumah itu.

Dengan itu, makin kuat bunyi esakan Puan Khalidah yang memenuhi ruang rumah mereka. Zinnirah hanya mampu menutup mulut menahan esakannya daripada terkeluar.

Hatinya turut sakit dengan pengakuan baba, apatah lagi mama yang menghadapnya.

Perut yang terasa senak ditekan kuat sebelum dia mula berdiri dengan rasa sengal di seluruh badan. Seketika, dia meringis kesakitan. Sakit, sungguh sakit.

"Mama..." Zinnirah duduk di hadapan mamanya yang masih terhinggut-hinggut melayan kesedihan.

Tangan tua itu dipegang dalam rasa takut-takut. "Mama...sabar mama."

"Sabar? Kau suruh aku sabar sedangkan masalah ini berpunca daripada kau!" Kepala gadis itu ditujal sebelum dia menampar badan itu dengan sekuat hati. Cuba melepaskan amarahnya pada anak yang hanya tahu membawa bala kepada dirinya.

"Sa-sakit ma."

"Hati aku lagi sakitlah! Aku benci ada anak bawa bala macam kau ni. Aku benci kau Zinnirah!" Serentak itu, Puan Khalidah terus jatuh ke lantai seperti gaya terkena renjatan elektrik. Urat didahi tua itu mula timbul.

Zinnirah yang terkejut terus meriba mamanya. "Mama, kenapa ni mama?" Setitis air mata jatuh pada wajah itu.

Tangan yang memerah akibat air panas tadi cuba mencapai telefon mamanya di atas meja kopi. Talian kecemasan didail.

Kondisi mamanya sudah parah. Zinnirah takut akan keadaan itu.

Semuanya berlaku kerana dirinya. Dia yang bersalah dalam semua masalah ini.

"Ji minta maaf mama." Tangannya menggengam erat tangan Puan Khalidah sementara menunggu kedatangan ambulans.

Dia tak tahu berapa banyak air mata yang hilang pada malam itu.

Apa yang dia tahu, semua yang terjadi berpunca daripada dirinya sendiri.

Betullah kata mama dan baba, dia anak pembawa bala di dalam keluarga ini.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now