Bab 36

1.1K 103 10
                                    

KERETA dihentikan betul-betul di hadapan rumah Zinnirah. Gadis yang asyik termenung itu terus tersedar apabila disergah oleh Atiya yang tersenyum lebar di kerusi sebelah pemandu.

Seraya itu, Zinnirah terus mengukir senyuman. Dia tidak tahu sama ada senyuman itu ikhlas atau tidak. Mindanya sangat bercelaru sejak berada di hospital selama 2 hari. Dia serabut.

"Terima kasih ibu hantarkan Ji sampai ke rumah." Tangan dihulurkan kepada Puan Salwa untuk menyalaminya. Senyuman kecil turut diberikan namun wajah itu tidak sanggup dipandang.

Zinnirah perlukan masa walaupun wanita itu yang menjaganya selama 2 hari di hospital.

"Akak tak nak ajak Ati masuk ke?" Soalan Atiya itu menyebabkan dirinya mendapat cubitan daripada Puan Salwa.

"Kenapa tanya macam tu? Tak baiklah." Tegur wanita itu atas tindakan kurang sopan Atiya.

Zinnirah hanya tergelak kecil. "Maaf, lain kali ya Ati?"

"Okaylah..." Terus muncung panjang mulut itu.

"Jangan merajuk, akak tak ada tenaga nak pujuk awak. Ibu, Ati saya keluar dulu ya. Terima kasih sebab hantarkan saya. Assalamualaikum." Seusai itu, pintu kereta dibuka sebelum dia melangkah keluar.

Tangan turut dilambaikan kepada mereka sehingga bayangan kereta itu hilang daripada pandangan mata.

Langkah longlai dilambatkan. Beg sekolah turut digalas malas. Zinnirah benar-benar tiada tenaga. Dia terasa malas mahu lakukan apa-apa pun.

Anak kunci dimaksukkan ke dalam tombol pintu sebelum dipulas. Salam diberi dan ditutup kembali pintu utama itu.

Dia tidak pasti sama ada mama dan babanya sudah pulang atau belum. Mereka tidak memaklumkan apa-apa pada dirinya.

Sebaiknya sahaja dia berpusing daripada terus menghadap pintu, dahinya sudah dijamah dengan sesuatu yang keras.

Prang!

Benda itu pecah. Zinnirah terkaku. Matanya terus tertancap pada mug yang sudah berkecai berdekatan kakinya. Terasa ada cecair yang turun dari dahi kirinya sehingga jatuh ke pipi.

Semuanya berlaku terlalu cepat. Otaknya tidak dapat memproses apa yang berlaku.

"Kau pergi mana sampai 2 hari tak balik rumah? Kau menyundal kat mana?!" Herdikan suara itu terus masuk ke dalam halwa telinganya. Kepala yang menunduk tadi terus diangkat untuk melihat wajah mamanya yang kemerahan menahan amarah.

"Mama..." Soalan tidak berjawab. Hanya wajah itu ditatap oleh Zinnirah dengan pandangan bersalah. Apa yang akan jadi jika mamanya mengetahui tentang kecurangan baba?

"Kau pekak ke? Aku tanya kau menyundal di mana?" Terus Puan Khalidah bangun daripada duduknya dan mendekati Zinnirah. Wajah itu ditatap dengan penuh perasaan benci.

"Ji... Ji kena tahan di wad."

"Kau jangan nak tipu aku ya, Zinnirah!"

"Betul ma, Ji tak tipu." Laju Zinnirah menjawab, cuba untuk membela dirinya sendiri.

"Kalau aku tahu kau gadaikan badan kau pada mana-mana lelaki, siap kau. Memang mati kau, aku kerjakan." Kepala Zinnirah ditujal berkali-kali. Dahi itu yang berdarah dek kerana penangannya, Puan Khalidah hanya buat tidak tahu.

"Astaghfirullah mama, Ji tak akan sanggup gadaikan maruah Ji. Ji masih tahu batas agama, mama. Janganlah bersangka buruk dengan Ji. Ji ni anak mama..." Tangannya cuba menggapai lengan Puan Khalidah. Cuba untuk mencuri hati mamanya untuk cuba menyayangi dirinya ini.

Serentak itu, Puan Khalidah cepat-cepat menarik lengannya daripada pegangan Zinnirah. "Perempuan seperti kau ini tak dapat dijangka." Terus dia meninggalkan Zinnirah berseorangan di ruang tamu dan menuju ke biliknya.

Zinnirah mengeluh kecil.

"Mama kalau rindu Ji, janganlah sampai begini layanan mama pada Ji. Mama kalau nak tatap wajah Ji, janganlah menikam dengan pandangan bengis itu. Mama kalau nak perhatian Ji, janganlah sampai nak baling mug tu pada Ji. Sakit ma..." Kata-kata terus terpacul secara perlahan daripada bibirnya tanpa sempat didengari oleh mama.

Badan dibongkokkan sebelum mengutip kaca yang beterabur di lantai. Penyapu dan penyodok turut dicari sebelum disapu sehingga bersih tanpa ada sisa kaca.

Pintu bilik mamanya dipandang lama. "Sampai bila kita nak jadi begini, mama?"

Sekali lagi, keluhan terhambur daripada bibirnya. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Untuk menangis dan meraung, dia sudah tiada tenaga. Dia penat. Fizikal dan mentalnya sudah penat.

Bilik terus dimasuki dan dikunci. Beg galas diletakkan di tepi sebelum tudung dibuka dan dimasukkan ke dalam bakul. Kerusi meja solek diduduki sebelum melihat wajahnya di cermin.

Pucat. Tiada seri. Kulit kering. Bibir pecah merekah. Mata lebam.

Zinnirah benar-benar kelihatan seperti zombie.

Dahi yang masih mengeluarkan darah daripada luka itu disentuh. Kapas dikeluarkan sebelum dilap sehingga kering. Alcohol pad yang selalu ada di dalam lacinya dikoyak dan dicuci luka itu tanpa ada perasaan.

Plaster sebesar dua jari diletakkan di dahi bagi menutupi luka. Seusai itu, terus Zinnirah membaringkan diri ke atas katilnya.

Mata itu berkelip-kelip melihat siling putih biliknya.

Jiwanya terasa kosong.

Entah kenapa.

Yang dia tahu, dia terlampau lelah.

Dia rindukan Mustaqim yang sentiasa ada di sisi.

Terus keluhan terluah daripada bibir apabila mindanya terfikirkan Mustaqim.

Keropok pedas lelaki itu, dia belum sempat buat.

SEMI;KOLON [✔]Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang