Bab 24

1.3K 128 7
                                    

BADAN menggigil teruk apabila disarungkan baju kurung sekolah itu. Sakit dan berbisanya hasil libasan itu hanya Tuhan yang tahu. Sangat sakit sehinggakan dia hanya terlantar di katil selama dua hari ditambah pula dengan demam yang menyerang.

Hari ini, hari permulaan SPM. Zinnirah hanya mengharapkan dirinya dapat mencurahkan segala apa yang terkandung dalam mindanya selama 2 tahun belajar. Walaupun fizikal masih tidak memberi kerjasama, dia akan gagahi juga.

Demi masa depannya. Dia mahu keluar daripada rumah itu, dia mahu jauh daripada mama dan babanya. Jika itu saja cara yang mampu membahagiakan dirinya dan juga orang tuanya.

Almari baju dibuka perlahan sebelum matanya tertancap pada sepasang sarung tangan yang berkain cotton. Handsock itu merupakan pemberian Kak Zulaikha kepadanya berbulan yang lepas.

Namun hari ini adalah hari yang sesuai untuk menggunakannya. Handsock dipakai di kedua-dua belah tangan untuk menutup birat-birat luka yang kelihatan jelas jika tidak disembunyikan.

Dia tidak mahu menimbulkan apa-apa isu atau fitnah buat keluarganya. Cukuplah teruk fizikal dan mentalnya dibelasah, dia mahu fikiran yang tenang sepanjang peperiksaan besar ini berlangsung.

Dia tahu, baba memukulnya sebagai salah satu cara mendidik anak seperti orang-orang terdahulu. Tapi, bagi Zinnirah pukulan itu tidak perlu dilibas ke seluruh badan seperti yang baba lakukan padanya. Tangan, belakang badan dan kaki. Semuanya berbirat dek kerana amarah baba.

Islam juga ada mengajarkan cara memberi hukuman yang sebaiknya untuk sang anak. Tapi tidak untuk baba, dia memukul Zinnirah mengikut nafsu amarahnya. Sedangkan Islam melarang untuk menghukum anak-anak dalam keadaan yang terlampau marah.

Dari Abu Mas'ud al-Badri, dia berkata,

"(Suatu hari) aku memukul budakku (yang masih kecil) dengan cemeti, maka aku mendengar suara (teguran) dari belakangku.

'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud!'

Akan tetapi, aku tidak mengenali suara tersebut kerena kemarahan (yang sangat). Ketika pemilik suara itu mendekat dariku, maka ternyata dia adalah Rasulullah SAW dan Baginda berkata,

'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud! Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud!' Maka aku pun melempar cemeti dari tanganku, kemudian beliau bersabda, 'Ketahuilah, wahai Abu Mas'ud! Sesungguhnya Allah lebih mampu untuk (menyeksa) kamu daripada apa yang kamu seksakan terhadap budak ini,' maka aku pun berkata, 'Aku tidak akan memukul budak selamanya setelah (hari) ini."

(Hadis Riwayat Muslim)

Entahlah, Zinnirah sudah malas mahu menyerabutkan otaknya dengan benda selain daripada pelajaran. Apa yang dia tahu, dia mahu buat yang terbaik walaupun tanpa restu orang tua.

Kata orang, restu ibu bapa itulah yang membuatkan hidup seorang anak senang dan sejahtera. Diiringi doa ibu dan bapa sepanjang kehidupan bagaikan hidup di aliran sungai yang mengalir laju tanpa sekatan.

Tapi, bagaimana pula dengan orang sepertinya? Dibenci dan tidak diinginkan langsung kewujudannya di dunia ini. Adakah hidupnya akan kekal merana kerana tidak mendapat restu ibu dan bapa? Adakah hidupnya akan kekal berselirat bagai tali yang kusut? Adakah kehidupannya nanti tidak akan mendapat keredhaan Allah kerana hidupnya dibenci oleh ibu dan ayah?

Persoalan itu berputar seperti radio rosak dalam minda Zinnirah. Kepala digelengkan beberapa kali untuk mengusir rasa itu.

Tote bag yang hanya ada slip peperiksaan, dompet dan peralatan menulis disandang ke bahu. Semua suis di bilik ditutup sebelum dia bergerak perlahan-lahan ke arah Mustaqim yang sudah menunggunya di ruang tamu.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now