TW: Domestic Violence / Dera
DEMAMNYA masih tidak kebah. Kini sudah masuk minggu yang ketiga. Berbanding minggu-minggu yang lepas, badannya pada hari ini terasa sangat-sangat lemah.
Sakitnya makin teruk, dia tidak tahu kenapa. Kepala yang diserang pening sekali-sekala membuatkan dirinya terasa mual.
Jam di meja sisi dijenguk, 11.48 pagi. Dia perlu bangun dan masak makanan tengah hari. Hari ini hari cuti, jadi semua ahli keluarganya ada di rumah kecuali Zhafran.
Zinnirah menjeling sekilas ke arah cermin sebelum langkahnya terpaku ke lantai bilik. Meja solek didekati dan wajahnya disentuh perlahan. Ruam merah telah memenuhi di kedua-dua pipinya. Sekali lihat seperti bentuk rama-rama.
Kenapa pula tiba-tiba naik ruam ni? Zinnirah mengerutkan dahi tanda pelik. Jemarinya juga semakin bertambah saiz disebabkan bengkak. Sekali lagi, dia tidak tahu kenapa.
Dapur dituju, kesakitannya diabaikan buat seketika. Telinganya akan lebih sakit jika mendapat bebelan daripada mama yang seronok lepak di ruang tamu. Oleh kerana hari minggu, baba mengambil alih menjaga kedai dan mama dapat berehat di rumah.
Mustaqim? Entah ke mana perginya manusia itu. Mungkin ada latihan hoki di sekolah.
Ayam yang dikeluarkan sesudah subuh tadi sudah lembut. Jadi, Zinnirah mengasingkan kepada dua bekas. Satu untuk dimasak asam pedas dan sebekas lagi disimpan kembali ke dalam peti sejuk.
Ayam itu dibilas sekali lagi sebelum ditoskan. Bawang merah, bawang putih, cili kering yang direbus, serai, kunyit hidup, sedikit belacan dan air secukupnya dimasukkan ke dalam mesin pengisar lalu dikisar halus.
Minyak di dalam kuali dipanaskan sebelum dilempar masuk sebatang serai yang diketuk lalu dituang bahan kisar tadi. Beberapa asam keping dimasukkan untuk memberikan rasa masam.
Bahan dibiarkan menggelegak sebentar sebelum dimasukkan ayam dan ditambah air secukupnya.
Sementara menunggu ayam empuk dan mendidih, Zinnirah mencuci kacang bendi dan kepalanya dan ekornya dipotong sedikit.
Akhirnya, kacang bendi dimasukkan dan asam pedas itu turut diperasakan dengan garam dan MSG. Kuah di sudip dicalit dengan jari sebelum dibawa ke lidah untuk merasa. Keluhan di bibir terlepas juga akhirnya, deria rasanya tidak berfungsi ketika ini.
Api dikecilkan. Sudu diambil dan dengan berhati-hati, ruang tamu ditujui. Gerangan mamanya dilihat dengan dada yang berdebar-debar.
"Mama, tolong rasa kejap boleh?" Tegurannya itu menyebabkan Puan Khalidah mengalihkan pandangan daripada televisyen ke arah dirinya. Sudu disua berdekatan mamanya.
"Lidah kau tu dah mati sel ke sampai suruh aku rasa bagai?" Pedih sampai ke tulang ayat wanita itu tapi Zinnirah hanya mampu tersenyum menahan rasa.
"Dah okay." Sudu dikembalikan tanpa melihat wajah pucat tidak sihat anaknya itu.
"Terima kasih, mama." Terus dia berlari anak ke dapur. Tak sanggup berlama di situ. Karang orang makan nasi, dia makan hati.
Api ditutup dan Zinnirah terus mencari bekas untuk menyimpan asam pedas itu. Kabinet bawah dibuka sebelum matanya tertancap pada satu bekas kaca berwarna putih yang bercorak bunga kecil merah jambu.
Bekas itu diangkat dan apa yang Zinnirah rasakan ialah berat. Ya, bekas itu berat dengan keadaan sendi jemarinya yang sakit ketika itu.
Baru saja dibawa mendekati dapur gas, bekas kaca itu terlepas daripada tangan Zinnirah dan hancur berkecai di lantai. Dia tergamam, bawah bibir digigit perlahan.
YOU ARE READING
SEMI;KOLON [✔]
General Fiction2023. Zinnirah, gadis yang penuh dugaan dan ujian dalam hidupnya, tak seperti abang kembarnya, Mustaqim yang agak bahagia berbanding dirinya. "Apa hadiah birthday yang Ji nak untuk tahun ni?" - Mustaqim "A forehead kiss from baba and a warm hug fro...