Bab 35

1.2K 126 19
                                    

"AKAK, kenalkan inilah ibu Ati. Namanya Salwa. Ibu, inilah akak yang Ati selalu cerita tu, nama dia Zinnirah." Kata Atiya sambil memeluk erat lengan ibunya. Dia tersenyum gembira menatap gerangan bergelar ibu itu.

Zinnirah hanya mampu tersenyum kecil. Bila situasi itu akan terjadi antara dirinya dan mama?

"Salam perkenalan, awaklah orang yang Ati selalu cerita tu ya?" Teguran daripada Puan Salwa itu mematikan lamunan Zinnirah. Huluran salam disambut dan dicium hormat kura tangan wanita itu.

"Duduklah, puan." Zinnirah cuba mengawal riak wajah dan beramah mesra walaupun jantung sudah berdegup laju.

"Jangan panggil saya puan, panggil ibu ja."

Serentak itu, mata Zinnirah membesar dek kerana terkejut. "I-ibu?"

"Ya, ibu." Terus tergelak kecil Puan Salwa melihat reaksi terkejut itu. Polos dan comel.

"Ati, tolong belikan air untuk kita bertiga di kafe. Tadi ibu terlupa." Duit bernot RM10 dihulurkan kepada Atiya. Gadis itu hanya menuruti arahan itu dan neninggalkan Zinnirah bersama Puan Salwa.

Suasana secara tiba-tiba menjadi sangat sunyi. Zinnirah diam, Puan Salwa juga turut diam.

Hening.

"Awak...tahu?" Wanita itu merenung ke arah wajah pucat yang sentiasa menunduk sambil memainkan jarinya.

"Tahu?" Soalan dibalas soalan.

"Kenapa secara tiba-tiba awak rapat dengan anak saya?" Soalan itu menyebabkan Zinnirah mengangkat wajahnya. Cuba membalas pandangan curiga daripada wanita bernama Salwa di depannya.

"Sebab saya nak ada kawan."

"Tipu. Apa motif awak rapat dengan Atiya?" Giginya diketap, cuba mengawal intonasi suara.

"Saya suka berkawan dengan Atiya. Tiada motif lain." Lembut Zinnirah menjawab. Langsung tiada getaran dalam nada suara kerana dia benar-benar memaksudkannya. Dia suka berkawan dengan Atiya. Dia sudah jatuh sayang pada gadis itu.

"Awak buat semua ni sebab nak balas dendam kepada anak saya? Anak saya tak salah, tolonglah jangan ganggu dia." Omongan Puan Salwa itu dalam tidak sedar seperti membuka satu rahsia besar yang telah disimpan lama.

"Saya tiada sebab nak berdendam dengan Atiya. Atiya gadis yang baik. Dia tak pernah sesekali pun buat salah dengan saya." Nafas Zinnirah mula turun naik dengan cepat.

"Ibu... Kenapa saya perlu berdendam dengan Atiya? Kenapa perlu curiga dengan saya? Apa salah saya pada ibu?" Sambung Zinnirah lagi. Anak matanya menikam tepat pada mata Puan Salwa.

Wanita itu terus melarikan matanya. Kerana dia sedar, dirinya hampir kantoi disebabkan bicara sendiri.

Puan Salwa hanya diam tidak menjawab.

"Jawab saya Puan Salwa, kenapa perlu ada rasa curiga terhadap saya? Saya ni nampak seperti orang jahat ke? Saya ni nampak seperti bawa pengaruh buruk pada Atiya ke?"

Bicara itu terhenti.

"Atau sebab... saya ni anak Khalidah, isteri pertama Alwie?" Bergetar suara itu menyuarakan kebenaran di hadapan wajah Puan Salwa.

Air muka wanita itu terus berubah. Dia terkejut dengan ayat gadis pucat itu.

"Macam mana...awak tahu?" Soalan dibalas soalan.

"Saya ternampak puan, baba dan Atiya... pada hari yang sepatutnya seorang ayah meraikan kejayaan anak-anaknya." Tiada lagi perkataan 'ibu' keluar daripada bibir itu kerana dia tahu, dia tidak layak.

"Sejak hari tu, saya siasat dengan cara saya yang tersendiri. Dan paling saya tak sangka, saya satu sekolah dengan Ati. Kecil saja kan dunia ni?" Zinnirah tergelak kecil setelah mengucapkan ayat itu.

Hatinya bagai ditoreh berkali-kali apabila perlu menyebutkan kenyataan berdarah itu.

"Jadi betullah awak rapat dengan Ati sebab nak balas dendam pada saya?" Mencerlung mata itu menikam mata Zinnirah. Badannya terasa panas mendengar tawa mengejek itu.

"Saya sayang Ati sebagai adik saya. Ati tak salah, sama juga seperti saya. Jadi kenapa saya nak balas dendam pada diri yang tidak tahu apa-apa itu? Lagi-lagi apabila saya tahu, Atiya tu adik kandung saya. Puan ingat, saya sanggup nak cederakan adik sendiri?" Gebar selimut digenggam erat bagai dapat memberikan semangat kepada dirinya.

"Orang macam awak ni, tidak boleh dijangka. Saya risau, anak saya mati di tangan awak!"

"Saya bukan orang gila yang nak balas dendam seperti orang yang tiada agama! Kenapa puan paranoid sangat dengan diri saya? Apa salah saya pada puan? Kewujudan saya turut mengganggu hidup puan ke? Bukankah kewujudan saya merupakan permulaan kisah percintaan puan dan baba? Kenapa saya yang dianggap buruk setiap masa? Kenapa saya puan?" Bibir bawah digigit menahan rasa. Mata mula berkaca.

Puan Salwa hanya terdiam mendengar ayat Zinnirah. Dia tersedar, apa yang dikatakan oleh gadis itu adalah benar.

Kenapa dia perlu paranoid pada gadis itu sedangkan dialah gerangan yang banyak membantu Atiya dalam pelajaran. Namun, siapa saja yang tidak paranoid jika mereka hidup aman tanpa gangguan selama 15 tahun dan secara tiba-tiba muncul anak daripada isteri pertama yang seperti mahu berbuat masalah. Siapa saja yang tidak paranoid?

"Puan...salah ke kalau saya pun teringin nak rasa perasaan dihantar dan diambil oleh baba di sekolah? Salah ke kalau saya teringin nak baba senyum kerana saya walaupun sekali. Salah ke saya nak merasai sambutan hari lahir saya?"

"Hari lahir saya hanya dipenuhi dengan hal yang boleh menjatuhkan semangat saya selama 18 tahun saya hidup. Baba tak pernah sekali pun ingat birthday saya apatah lagi nak beri hadiah?" Air mata mula jatuh ke pipi. Suara bergetar.

"Saya... Bila Atiya cerita perihal layanan baba terhadap dirinya, saya jadi sedih. Saya ralat sangat. Kenapa cara baba layan saya sangat berbeza dengan cara baba layan Atiya? Saya juga anak perempuan baba. Kenapa berbeza?" Kali ini, setiap ucapannya diselangi dengan esakan yang dia tidak mampu kawal lagi.

Genggaman pada selimut dikuatkan lagi. Mata Puan Salwa turut berkaca mendengar luahan daripada remaja ini.

"Kadang-kadang saya terfikir, saya ni anak haram ke? Saya ni anak luar nikah ke? Kenapa layanan baba dan mama berbeza sangat? Kenapa mereka boleh layan abang-abang saya dengan baik tapi bila dengan saya, terus diherdik seperti saya tiada hati."

"Puan tahu tak...kewujudan saya dianggap sebagai pembawa malang kerana baba curang ketika mama mengandungkan saya. Dan... saya dibenci sepanjang hidup saya oleh gerangan yang sepatutnya membelai dan memberi kasih sayang pada saya. Salah saya ke puan? Salah saya ke baba curang? Salah saya ke?" Kali ini lengan Puan Salwa digenggam oleh tangan Zinnirah yang ketar.

"Bu-bukan salah awak, Zinnirah. Bukan salah awak." Tergagap-gagap Puan Salwa menjawab soalan itu. Air matanya sudah membasahi pipi mendengarkan rintihan itu.

"Kalau bukan salah saya, kenapa saya perlu menjadi mangsa? Saya hanya budak kecil yang dahagakan kasih sayang. Saya juga teringin mahu dilayan seperti anak-anak lain. Saya tak minta banyak, saya hanya mahukan usapan diubun saya. Saya hanya mahukan ciuman sayang di dahi saya. Saya tak minta banyak pun, puan. Kenapa susah sangat. Kenapa saya yang kena hadap dengan perkara yang terang-terangan bukan salah saya. Kenapa saya?!" Serentak ayat terakhir, branula ditangan ditarik kuat sehingga memancutkan darah sebelum Zinnirah cuba turun dari katilnya.

Puan Salwa terus bertindak pantas dengan memeluk gadis yang meronta dengan penuh perasaan itu. Zinnirah, sebuah jiwa yang sudah teruk dihancurkan.

"Sabar sayang, ibu ada. Sabar, ibu ada." Ayat itu diulang ditepi telinga Zinnirah yang masih tersesak kuat di dalam pelukannya.

"Ibu minta maaf. Ibu punca awak sakit sampai macam ni, ibu minta maaf." Sekali lagi, pipi wanita itu basah dek kerana gerangan gadis bernama Zinnirah. Belakang Zinnirah diusap berkali-kali untuk menenangkannya.

"Sa-saya cuma ma-hu baba sa-yang-kan sa-saya sama seperti A-Ati." Tersekat-sekat suara itu kedengaran di telinga Puan Salwa.

"Maafkan ibu..." Ubun gadis itu dicium dengan hati yang ikhlas.

Ya Allah, kenapa gadis ini diuji seperti ini. Kasihanilah jiwa remajanya, Ya Allah. Dia layak bahagia.

SEMI;KOLON [✔]Where stories live. Discover now