59

8.6K 640 109
                                    

AZAN yang berkumandang membuatkan Raid yang sedang sibuk berbicara dengan Zamani terhenti seketika. Kedua-dua mereka sama-sama terdiam sebagai tanda menghormati azan zohor yang sedang dilaungkan di masjid tidak yang tidak jauh dari mereka.

Seusai azan selesai dilaungkan, Zamani yang sedang memeriksa kereta jenama Swift kembali ditegur.

"Jadi, macam mana Zam? Rasa malam ni boleh siap tak?" Soal lelaki berkopiah itu, Zamani terdiam sebelum mengangguk.

"In Sya Allah boleh Raid."

"Alhamdulillah." Mikayla yang mendengar bait bicara kedua-dua lelaki itu menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya keretanya boleh bergerak semula.

"Sebelum aku gerak ke bengkel ni, marilah kita solat dulu. Masjid dah azan tu," Raid mengangguk bersetuju. Kopiah di atas kepala sempat dibetulkan sebelum dia berdehem ke arah Mikayla dengan tujuan memanggil gadis yang berada tidak jauh darinya.

"Kayla... sementara menunggu ni, kita solat dulu ya?" Saat soalan itu dilontarkan oleh Raid. Tubuh Mikayla serta-merta kaku. Bibirnya terasa seakan kaku hendak membalas bicara Raid. Solat? Bagaimana dia hendak solat sedangkan ilmu agama di jiwanya kosong. Dia langsung tidak tahu menahu mengenai solat.

"Oh... kalau macam itu, kami berdua minta izin ke masjid sebentar. Sementara menunggu kami berdua, Kayla tunggulah dulu di pondok yang ada di masjid. Sekarang ni cuaca panas, tak elok berjemur panas terik macam ni." Saat Mikayla terlihat diam membisu, Raid sekadar menyangkal bahawa gadis itu sedang di fasa tidak boleh menunaikan solat.

"Okay Raid," perlahan sahaja Mikayla membalas. Sejujurnya dia malu dengan Raid tentang dirinya yang langsung tidak pernah solat. Dirinya terlalu hina. Mikayla merasakan dirinya tidak layak untuk menjejakkan ke tempat suci tersebut.

"Mari Kayla," teguran Raid membuatkan gadis itu kembali berpijak ke dunia nyata. Lambat-lambat Mikayla menjatuhkan kepalanya sebelum kakinya diatur mengikuti Raid dari belakang. Selendang yang ala kadar membalut rambutnya dibetulkan.

"Kayla boleh duduk dulu di sini sementara tunggu saya dengan Zamani solat." Tambah lelaki itu lagi. Selama mereka berbual, belum pernah lagi lelaki itu memandangnya dari mata ke mata. Selalu sahaja pandangannya dihala ke arah lain.

"Yeah, thanks Raid."

"Ustaz... lambat ke masjid hari ini?" Salah seorang jemaah yang baru sahaja tiba menegur Raid. Sempat mereka bersalaman mesra, Raid sudah menarik senyuman manis. Mikayla yang baru pertama kali melihat Raid mengukir senyuman seketika terpanar sebelum suara garau Raid membuatnya kembali ke dunia nyata.

"Iya, hari ini ada urusan sedikit. Itu yang terlewat sikit sampai di masjidnya, Pak Jabir." Lelaki tua yang digelar Pak Jabir itu sekadar mengangguk, bahu Raid sempat ditepuk perlahan.

"Kalau begitu, kita masuk solat dulu ustaz. Para jemaah mesti dah mula." Seketika Mikayla terdiam saat menyedari gelaran yang lelaki tua itu berikan kepada Raid.

Ustaz? Lelaki itu seorang ustaz?

Rasa malu Mikayla semakin bercambah saat mengetahui lelaki yang menolongnya itu merupakan seorang ustaz. Baru dia faham mengapa Raid sedaya-upaya cuba mengelak dari memandangnya.

Batang tubuh yang terlihat masih bersalaman dengan para jemaah yang menegurnya ketika sedang menapak memasuki masjid dipandang lama sebelum keluhan lemah dihela. Cara hidup mereka sangat berbeza. Raid hidup dengan berpaksikan Tuhan, dirinya pula berpaksikan dunia. Andai sahaja dirinya terlahir dari keluarga yang beragama tinggi, dia pasti dirinya tidak sehina sekarang.

Wajahnya diraup bersama hembusan nafas berat.

MIKAYLA segera menarik Puan Fatimah ke dalam pelukan erat, wanita tua itu turut membalas pelukannya Mikayla meski mampu menggunakan sebelah tangan sahaja memandangkan sebelah tangannya harus berpaut pada tongkat.

MRS MATTHEO KNIGHTWhere stories live. Discover now