48

7.3K 549 34
                                    

MATTHEO tersedar dari lena yang panjang saat bunyinya menangkap bunyi deringan telefon yang menjerit-jerit meminta diangkat. Terasa lengannya berat membuatkan kepalanya segera dihala ke sisi, sempat dahinya berkerut melihat Orked yang sedang tertidur nyenyak berbantalkan lengannya.

Kelopak mata digosok sekilas sebelum lengannya ditarik dengan berhati-hati agar tidak membangunkan Orked dari alam mimpi. Baru sahaja hendak dicapai telefon pintarnya, deringannya mati membuatkan Mattheo mematikan niatnya hendak mengambil telefon tersebut.

Kepala yang masih terasa sedikit berpinar disentuh. Suhu badannya terasa hangat.

Lama Mattheo terdiam. Cuba mengingatkan kembali kejadian semalam. Selepas sahaja dia pulang, memorinya terasa kabur. Dia ingat Orked ada datang memeriksa keadaannya dan kemudian dia menarik wanita itu ke dalam pelukan.

Selepas itu, memorinya serta-merta berubah menjadi hitam. Mattheo tidak dapat mengingat lagi apa yang terjadi seterusnya.

"Macam mana aku boleh demam ni?" Gumamnya perlahan. Pelik dengan keadaan badannya yang tiba-tiba sahaja demam. Mattheo bangkit, beberapa plastik ubat yang terletak kemas di atas meja dipandang sebelum dicapai ubat tersebut.

"Alahan?" Sejak bila dia ada alahan? Soalannya sendiri.

Lama dia berfikir sendiri sebelum mengeluh perlahan. Plastik ubat-ubatan yang berada di tangannya dicampak semula ke atas meja. Dia malas hendak berfikir lebih lanjut memandangkan kepalanya terasa pusing tika ini.

Telefon pintar dicapai. Terlihat beberapa panggilan terlepas dari orang suruhannya sebelum waktu dipandang. Jam sudah hampir menuju pukul 10 pagi. Dia sudah terlewat ke pejabat. Namun di saat memikirkan keadaan tubuhnya yang masih terasa hangat, Mattheo putuskan untuk berehat sahaja harini.

Telefon diletak kembali di atas meja kecil di sisi katilnya sebelum kotak rokok dicari. Laju tangannya mengambil sepuntung rokok keluar dari kotak rokok tersebut.

Tubuhnya disandar ke kepala katil. Baru sahaja hendak disatukan ke bibir merah delimanya, matanya terarah pada Orked yang masih tertidur pulas di sisinya. Memori wanita itu terbatuk kerana asap rokoknya kembali berlayar di fikirannya.

Lama sepasang anak mata berwarna kelabu itu merenung wajah jelita Orked yang masih lena di alam mimpi sebelum lelaki itu berdecit perlahan. Segera dicampak puntung rokok yang masih tidak berusik ke atas meja di sisi katilnya.

Rambut diraup kasar. Dia sendiri hairan dengan dirinya. Kenapa dia perlu peduli tentang Orked? Sepatutnya dia seksa wanita itu sekarang ini. Fikiran Mattheo bagai berlawan sesama sendiri tika ini. Andai sahaja apa yang sedang berada di kepalanya ini boleh dilihat. Mungkin terlihat mereka sedang berperang di antara satu sama lain.

"Encik dah kebah ke demam?" Suara lembut itu kedengaran mematikan lamunan Mattheo. Dia sendiri tidak sedar bila Orked bangun dari tidurnya. Pantas dia berdehem perlahan sebelum wajah jelita Orked dipandang.

"Belum... kepala aku masih rasa pening sikit." Balasnya, nada suara tidaklah dingin, tidak pula sekasar selalu. Hanya biasa, mendatar.

Orked terdiam sejenak sebelum mengigit bibir bawah pelan. Rasa seakan apa yang ingin diluahkan ini terasa beratnya. Dia takut jika Mattheo akan memarahinya.

"Apa kau nak cakapkan?" Suara garau itu menegur. Riak wajah Orked jelas kelihatan seakan ragu-ragu.

"K-kalau encik tak keberatan, saya boleh urutkan kepala encik. Mungkin boleh kurangkan sakit kepala encik sedikit. T-tapi kalau encik nak. Kalau taknak, saya boleh turun sediakan bubur untuk encik supaya encik boleh makan ubat." Lama Mattheo merenung Orked sehingga wanita itu sedikit gelisah sebelum dia akur membaringkan badannya semula.

MRS MATTHEO KNIGHTWhere stories live. Discover now