Genre Fiksyen Penyembuhan Kendiri (Self Healing Fiction)

32 2 0
                                    

Pasca wabak pandemik COVID-19 yang sedang kita lalui beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan pelbagai perkara yang menyesakkan otak berlaku di sekeliling kita. Pelbagai faktor luar turut diambil kira, termasuklah masalah ekonomi, rumahtangga, kesihatan, kemurungan, tekanan perasaan, konflik keluarga, masalah politik negara, keresahan akut dan juga pelbagai lagi masalah yang timbul yang berkemungkinan terjadi akibat terkurung terlalu lama semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sebagainya.

Faktor-faktor ini telah menjadi penyebab kepada peningkatan kadar ketidakstabilan emosi dan juga gangguan psikologi dalam masyarakat, amnya. Oleh itu, untuk mengurangkan impak kepada masalah ini, ramai individu yang sudah mula mencari bahan-bahan bacaan yang menjurus kepada penyembuhan jiwa secara kendiri yang bukan sahaja melibatkan bahan-bahan bacaan bukan fiksyen berunsurkan psikologi dan juga bahan-bahan bacaan berunsurkan spiritual ataupun agama, malahan turut juga melibatkan bahan-bahan bacaan fiksyen berunsurkan psikologi positif dan penyembuhan kendiri.

Apakah itu genre fiksyen Penyembuhan Kendiri ataupun self-healing? Karya-karya fiksyen penyembuhan kendiri ataupun self-healing fiction merupakan sebuah karya fiksyen ataupun novel fiksyen yang boleh dibaca dengan tenang tanpa menggunakan terlalu banyak tenaga mental mahupun fikiran (yang memaksa si pembacanya untuk berfikir) ketika membacanya.

Walaupun tidak menggunakan terlalu banyak tenaga yang berlebihan ketika membacanya, karya-karya yang mempunyai genre penyembuhan kendiri ini masih tetap seronok dibaca, malar segar serta menghiburkan.

Antara ciri-ciri karya-karya yang termasuk dalam genre penyembuhan kendiri (self-healing fiction) ini adalah karya-karya jenis ini kebiasaannya bebas daripada plot penceritaan yang terlalu berat, berjela dan rumit. Makna kata, karya-karya yang mempunyai genre penyembuhan kendiri ini lebih bersifat 'ringan', mudah dihadam serta menghadirkan sebuah perasaan yang selesa buat para pembacanya.

Karya-karya yang mempunyai genre penyembuhan kendiri ini juga turut mengangkat nilai-nilai empati, unsur penyembuhan dalam diri, mengimplimentasikan ayat-ayat positif yang boleh memberi semangat kepada sang pembacanya, menganugerahkan sang pembacanya keselesaan ketika membaca, menonjolkan sisi keberanian watak serta akhirnya menjulang semangat solidariti kebebasan individu dalam mencapai impiannya.

Kebiasaannya, genre penyembuhan kendiri ini menggunakan latar tempat seperti pasar mini, kedai-kedai buku, kedai farmasi, perpustakaan awam atau apa sahaja tempat yang dapat menterjemahkan permasalahan watak utama kepada pembaca dalam ruang lingkup yang lebih baik dan positif.

Suka untuk diingatkan disini bahawa genre penyembuhan kendiri ini tidak menekankan aspek dimana sang pembaca perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada watak utama yang dicipta dalam karya tersebut. Genre penyembuhan kendiri ini lebih kepada sang pembaca sedikit demi sedikit merasa selesa dengan watak utama ketika proses penceritaan berlangsung sebelum terlahirnya perasaan kasihan, empati dan simpati kepada watak utama yang dicipta.

Para pembaca juga dapat melahirkan perasaan 'mutual understanding' yakni perasaan yang boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar mereka di alam realiti ketika momen-momen tertentu dihadirkan dalam bentuk perkataan. Perasaan 'something familiar' juga dapat dilahirkan dalam minda pembaca tatkala mereka membaca latar-latar tempat yang dijadikan latar utama dalam sesebuah karya bergenre penyembuhan kendiri ataupun self-healing ini.

Kebiasaannya, genre penyembuhan kendiri ini dibaca ketika mereka sedang bersantai ditepi laut ataupun pantai, ketika kepala sang pembaca sedang berserabut dengan pelbagai masalah dan juga di kedai-kedai kopi premium. Karya-karya ringan sebegini bisa membuatkan sang pembacanya dapat melupakan seketika masalah yang menghantui hidupnya seterusnya menghadirkan semangat baru untuk meneruskan kehidupan.

Menurut data daripada beberapa negara seperti Korea Selatan dan Indonesia, karya-karya dengan genre penyembuhan kendiri (self-healing) sedang mendapat tempat dan laku keras di kalangan para pembaca di negara masing-masing. Berdasarkan pemerhatian penulis ketika berada di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL2022) yang berlangsung pada bulan Jun tahun 2022, buku-buku dengan genre self-healing ini turut mendapat tempat dalam kalangan komuniti pembaca tempatan.

Ini turut dipacu oleh aplikasi media sosial TikTok yang menjadi antara platform media sosial terpenting waktu ini dalam usaha mengangkat genre ini ke tempat yang lebih tinggi selain mencetuskan fenomena buku-buku bergenre penyembuhan kendiri ataupun self-healing ini pada tahap yang tidak pernah diperlihatkan sebelum ini.

   Oleh itu, ayuh kita meriahkan industri buku negara kita dengan genre baharu yang sedang mendapat tempat ini!

     Oleh itu, ayuh kita meriahkan industri buku negara kita dengan genre baharu yang sedang mendapat tempat ini!

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Tema Yang Takkan DitulisWhere stories live. Discover now