Fiksyen Pseudosains Kuasa Ajaib, Magik, Mistik & Sihir

34 0 0
                                    

Kuasa ajaib atau kebiasaannya disebut sebagai magik ini boleh didefinasikan sebagai sesuatu perkara yang menghairankan, aneh, ganjil, pelik, luar daripada kebiasaan dan tidak boleh dibuktikan dengan kajian saintifik. Apa-apa perkara yang tidak dapat dibuktikan melalui kajian saintifik akan di label sebagai 'pseudosains'. Kuasa ajaib di alam Melayu pula kebiasaannya dikaitkan dengan sebuah alam lain seperti alam ghaib, alam bunian ataupun yang bersangkutan dengan ritual animisme yang pernah diamalkan oleh masyarakat Melayu zaman dahulukala sebelum kedatangan Agama Islam ke Tanah Melayu ini.

Kepercayaan animisme ataupun lebih dikenali sebagai kepercayaan kepada makhluk halus dan roh dipercayai merupakan sebuah kepercayaan asas bagi konteks agama yang mula-mula muncul dalam kalangan manusia primitif zaman purbakala. Kepercayaan animisme mempunyai falsafah dengan mempercayai bahawa setiap benda di bumi ini seperti kawasan tertentu, gua, pokok, ataupun batu besar mempunyai semangat yang tertentu dan haruslah dihormati agar semangat tersebut tidak mengganggu manusia.

Semangat ini juga turut dikenali dengan pelbagai nama seperti jin, mambang, roh, tuan dan penunggu. Kadangkala, roh semangat ini juga dianggap sebagai roh keturunan mereka yang telah meninggal dunia dan dipercayai menetap di sesebuah lokasi.

Manakala sihir pula adalah merupakan satu perbuatan menyakiti atau mempengaruhi badan, hati ataupun akal orang yang disihir secara tersembunyi yang melibatkan makhluk halus dan dilakukan di luar hukum agama Islam. Penggunaan sihir dalam alam Melayu pada kebiasaannya merujuk kepada ilmu hitam.

Walau bagaimanapun, haruslah diingatkan disini bahawa walaupun mempercayai kewujudan makhluk ghaib di atas muka bumi ini adalah sesuatu yang dituntut oleh Agama Islam, namun, penggunaan sihir adalah amat bertentangan dengan syariat Islam, akan menyekutukan dan mensyirikkan Allah SWT lalu menyalahi ajaran yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. serta mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah jikalau kita menggunakan sihir demi memenuhi tuntutan tertentu.

Jadi, jikalau kita menulis karya berkenaan hal-hal magik, kuasa ajaib ataupun sihir ini dengan satu tujuan yang murni dan baik seperti mahu memberikan pengajaran kepada sekelian pembaca, ianya adalah sesuatu yang amat digalakkan. Namun, jikalau kita mengarang karya berasaskan kepada tema-tema diatas dengan tujuan mahu menyoal kuasa tuhan, mensyirikkan Allah SWT dan dengan tujuan untuk menggalakkan penggunaan sihir dalam kehidupan masyarakat, pastinya perbuatan itu adalah amat ditegah sama sekali disisi agama Islam.

Dalam karya fiksyen dan fantasi di luar negara pula, karya-karya bergenre ahli sihir kebiasaannya mempunyai target market khusus kepada pembaca dalam kalangan kanak-kanak yakni dalam lingkungan umur 7 sehingga 13 tahun. Ahli sihir kebiasaannya digambarkan sebagai seorang wanita berusia yang kelihatan menyeramkan dengan pakaian yang compang-camping, mempunyai agenda yang tidak baik, kulit yang berkedut, topi yang dipakai berbucu tajam, berbaju hitam ataupun ungu, dengan hidung yang berketuat dan kadangkala keadaan kukunya yang kotor dan tajam.

Ahli sihir kebiasaannya menaiki sebatang penyapu ajaib yang mempunyai kebolehan untuk terbang seperti di dalam karya 'Harry Potter' dan juga 'Snow White'. Ahli sihir ini selalunya akan didampingi oleh seekor kucing hitam. Namun pada karya-karya tertentu, ahli sihir juga diceritakan sebagai seorang insan yang mempunyai sisi yang baik seperti dalam filem 'Bewitched', 'Charmed' dan 'The Craft'.

Walaupun kebanyakan karya-karya yang mempunyai pengaruh magik, sihir dan kuasa ajaib ini diklasifikasikan sebagai karya fantasi semata-mata, namun genre ini sebenarnya masih sesuai di padukan dengan genre-genre yang lain khususnya seperti genre fiksyen sains, romantik, thriller, seram, kerohanian dan juga young adult (YA).

Tema Yang Takkan DitulisWhere stories live. Discover now