𝟒𝟕. 𝐀𝐫𝐥𝐮𝐧𝐚

15K 807 48
                                    

SKRIN telefon bimbit ditenung. Satu pesanan daripada kumpulan sembang pensyarah Ellington Private College di aplikasi WhatsApp itu dibaca berkali-kali.

Tuan Firash kemalangan.

Hanya itu yang perkara terakhir yang tertulis di dalam kumpulan itu dan tiada orang lain membalas mesejnya. Kening aku berkerut. Nak cakap pensyarah di kolej itu sombong, mereka ramah sahaja antara satu sama lain dan selalunya kumpulan itu meriah dengan pensyarah yang berjual beli serta bergurau senda.

Tetapi kali ini lain pula yang berlaku. Sepertinya berita Tuan Firash kemalangan itu tidak memberi kesan kepada mereka. Kepala yang tidak gatal digaru. Sekarang ini, tak tahulah aku patut rasa gembira atau kasihan tentang apa yang terjadi kepada Tuan Firash.

"Tengok apa tu, sayang? Berkerut je mukanya?" Suara Adrian yang tiba-tiba muncul di sebelah mengejutkan aku. Segera telefon bimbit dimatikan lalu disimpan semula ke dalam beg. Kewujudan Adrian di sebelah, tidak diendahkan. Aku merebahkan diri ke atas tilam dan menyambung semula membaca buku yang dibeli oleh Ammara siang tadi.

Baby Namepedia, sebuah buku yang terdapat nama-nama Islam untuk bayi di dalamnya. Nama-nama yang aku berkenan, ditanda dengan pen.

Tanpa segan silu, Adrian membaringkan dirinya di sisi kemudian membaca buku yang aku baca. Aku berdecit ketika pipi kami bersentuhan. Jarak dijauhkan tetapi Adrian terus mendekat. Keluhan dikepaskan. Kerana terlalu malas mahu melayan karenah lelaki itu, aku membiarkan sahaja dia di situ.

Sedang aku membaca setiap nama di helaian muka surat itu, Adrian tiba-tiba mengambil pen di tanganku dan menanda salah satu nama yang berada di helain itu.

Aurora.

Aku menoleh ke arah Adrian dan serentak itu mata aku dan dia terkunci. Pucuk hidung kami bertemu lalu satu senyuman manis dia ukir. Tangannya dengan penuh berhati-hati mengusap perutku.

"Mesti cantik macam mama dia." Bisik Adrian lembut. Matanya terarah kepada perutku. Aku cuma merenung dia tanpa berkedip. Mata itu...nampak sayu...tapi kenapa? Kenapa dia bersedih?

Adrian kembali menatapku. Senyumannya masih mekar terukir. Perlahan-lahan wajah itu didekatkan. Aku memejam mata menunggu bibir lembut itu menyambar bibirku. Walau masih kecewa akan sikap Adrian, aku masih rindukan setiap belaian lelaki itu.

Tok! Tok!

Suasana romantik itu musnah. Mataku kembali terbuka. Adrian sudah bangun dari katil dan menuju ke pintu. Aku duduk sambil memerhati Adrian. Pintu dibuka dan figura Ammara muncul. Dia tersenyum mesra kepadaku sebelum riaknya berubah serius apabila memandang Adrian.

"Dia dah sampai." Ujar Ammara kemudian berlalu pergi begitu sahaja. Selepas kelibat Ammara menghilang, Adrian hanya berdiri kaku di muka pintu selama beberapa saat sebelum tubuhnya dibalikkan, menghadap aku semula.

Dia bergerak mencapai kardigan panjang kemudian kardigan itu disarungkan pada tubuhku.

"Jom."  Tangannya dihulur. Aku masih tidak memahami tetapi huluran itu tetapi disambut. Terasa tangan hangatnya menggenggam erat tanganku. Kami jalan beriringan turun ke ruang tamu. Langkah aku terhenti buat seketika apabila terpandang akan satu susuk tubuh asing yang sedang duduk di sofa membelakangi aku bersama-sama Dad dan Ammara di ruang tamu itu.

Adrian terus menarik tanganku mendekati mereka bertiga. Semua mata-mata hanya terpaku kepada aku. Lelaki asing yang tidak aku kenali itu tersenyum saat pandangan kami berlaga. Dia berdiri dari sofa lalu menerpa ke arahku. Belum sempat aku mengelak, tubuhku sudah berada di dalam dakapannya.

"Arluna, my princess." Bisik lelaki itu. Aku terpaku saat mendengar suara yang sangat familiar bagi aku itu. Suara itu kedengaran seperti...rumah.

Tanpa sedar, genggamanku pada tangan Adrian sudah lama terlerai. Kini, pelukan daripada lelaki itu dibalas erat. Aku masih tidak kenal siapa lelaki ini tetapi bagi aku, hangat pelukan dan suaranya sangat familiar.

ARLUNA ©️Where stories live. Discover now