HGS 28|Bab 28 - Aku dah jumpa dia!

Start from the beginning
                                    

Dalam hati aku masih mahu menafi apa yang aku dengari.

"Saya minta cik banyakkan bersabar. Mesti ada hikmah kenapa semua ni jadi. Sabar ya, cik."

Terhambur esakan. Pecah tanpa ada kawalan. Kesakitan fizikal yang aku rasai makin giat membantai tubuh. Namun semuanya tak tertara dengan keruntuhan emosi yang aku alami ketika itu.

Kenapa?

Kenapa Tuhan biarkan aku hidup sedangkan Dia ambil kedua-dua insan yang paling bermakna dalam hidupku?

Kenapa Tuhan biarkan aku terkontang-kanting merasai kesakitan ini sendiri?

Kenapa Dia tak ambil sahaja nyawaku sekali?

"Ibu... Kenapa ibu pergi? Sheqa janji Sheqa dengar cakap ibu. Ibu baliklah, ibu... Mun! Balik, Mun!"

Raunganku kian tak terkawal.

Pening kepalaku menanggung beban emosi yang sarat. Hanya raunganku yang kuat, namun sebaliknya tubuhku lemah longlai akibat kemalangan kelmarin.

Ya, kemalangan itulah yang meragut kejam nyawa dua insan yang aku sayang.

Doktor memelukku dengan kejap.

Dalam ratapan dan tangisan yang cuba ditenteramkan oleh jururawat dan doktor, ingatanku ditarik semula ke hari kejadian.

Dimulai dengan pertengkaran aku dan ibu, serta pertemuan aku dan Mun malam itulah yang menjadi asbab kemalangan. Bukan itu sahaja, malah ada...

Bayi!

Ya, memang ada bayi yang aku sempat kendong sebelum kejadian malang itu menimpa.

Aku ingat kini!

"Baby! Baby tu mana, doktor? Mana baby?"

Kebasahan di wajah aku hiraukan buat seketika. Walau hati masih terhiris dengan pemergian ibu dan Mun, aku tetap ingin tahu mana jasad kerdil itu?

"Baby?" Doktor mengangkat wajah. Pelik dia memandangku.

Aku mengangguk. Jika tubuh ini tidak terlantar di atas katil dengan tiub dan wayar yang berselirat di tubuh, mesti sudah aku gagahkan diri untuk bangun dan mencari sendiri. Kepalaku berdenyut sakit manakala separuh tubuh dari pinggang ke kaki terasa seperti dihempap batu.

Ya, bayi itulah maksudku.

Bayi kecil yang bersama kami semasa kemalangan itu. Bayi yang di dalam gendonganku.

Bayi itu.

Mana dia?

"Tak ada baby yang dijumpai dalam kemalangan tu. Hanya cik, Munirah dan ibu cik sahaja." Doktor itu kelihatan serius pula.

Badan yang tadi masih terasa lemah kini seperti direnjat arus elektrik.

Tak. Tak mungkin.

Aku memang ingat lagi. Memoriku masih jelas. Perasaan cuak mula menghempas sudut hati.

Dugaan apa lagi ni?

"A...ada, doktor! Memang ada. Tolong cari dia, doktor. Tolong!" rayuku, kalut. Lengan doktor itu aku capai dengan segera.

"Baby! Saya nak baby tu, Mana dia?!" Mataku mundar-mandir kiri dan kanan bilik.

Perasaan cemas, panik, sedih, sengsara semuanya diadun sebati ketika itu.

Aku menekan siku ke katil dan cuba bangun dari pembaringan, tanpa peduli dengan badan dan kepala yang masih terasa sakit.

Her Greatest Secret [ Editing Process ] | Her Scar Series #1Where stories live. Discover now