Bab 29: Isi Hati

263 45 39
                                    


Markas Dzhamaat Halifat

Abu Bakar memasukkan satu-persatu barang keperluan ke dalam beg galas. Malam esok, dia diberi tugasan ribat bersama Abu Usman dan rakan-rakan yang lain. Lokasi mereka ialah salah satu bukit luar dari Qastal Ma'af. Kedudukan tepat bukit tersebut hanya akan diberitahu dua jam sebelum ribat bermula untuk mengelakkan kebocoran maklumat.

Abu Bakar menutup beg galas lalu mengikat gulungan tikar khemah kecil di atasnya. Sebaik terasa bahunya disentuh seseorang, dia berpaling ke belakang.

"Abu Bakar, amir cari awak. Katanya ada hal penting." Abu Safiya memaklumkan.

"Oh, okey. Saya jumpa dia sekarang. Terima kasih sebab beritahu," ujar Abu Bakar. Tanpa berlengah, dia keluar mendapatkan amir mereka.

Mata Abu Safiya terpandang sesuatu yang kelihatan seperti gambar di bawah beg galas Abu Bakar. "Dia tercicir agaknya." Beg Abu Bakar diangkat sedikit. Abu Safiya mengambil gambar yang terselit di bawah beg, lalu mengamatinya.

Terbit senyuman di bibir Abu Safiya. "Betul kata Zafirah. Awak lelaki yang baik, Aslan." Dia menghela nafas panjang sambil memikirkan sesuatu. "Israfil perlukan orang macam awak dan Zelim ... hmm."

"Sekali-sekala, tak salah untuk kita bergantung pada orang lain." Kata-kata Abu Ishaq minggu lepas kembali ke ingatan Abu Safiya.

"Kalau aku tak sempat, sekurangnya Israfil ada orang lain untuk diharapkan." Abu Safiya kembali memandang gambar di tangannya. "Zafirah pun, mungkin boleh belajar sesuatu daripada semua ni." Gambar tersebut diletak kembali di bawah beg galas Abu Bakar. Selepas mengambil buku dan pen di dalam beg galasnya, Abu Safiya keluar mencari Abu Usman.

*****

Ceria wajah Abu Usman memandang telefon pintarnya. Gambar kiriman Ashura dua hari lalu telah selamat dijadikan wallpaper telefon. Ashura nampak lebih comel tatkala mengenakan hijab ibu mereka. Abu Usman tidak putus-putus memuji adiknya. Dengan harapan agar Ashura akan terbuka hati untuk terus memakai hijab selepas ini.

"Hai, sis con!" panggil Abu Safiya yang baru tiba di loteng dengan senyuman nakal.

"Sis con?" Abu Usman mengulang, tidak faham.

"Sister complex. Cinta yang berlebihan kepada kakak atau adik perempuan," jelas Abu Safiya.

Merah padam wajah Abu Usman. Cepat-cepat dia sembunyikan telefon. "Saya cuma rindukan adik saya."

Abu Safiya ketawa. Telefon dikeluarkan lalu ditayangkan di hadapan Abu Usman. Gambar seorang kanak-kanak perempuan yang memakai gaun kembang merah jambu terpampang pada skrin.

"Ini satu-satunya adik saya, Safiya." Abu Safiya memberitahu.

"Safiya?"

"Ya. Kunya saya diambil sempena namanya," ujar Abu Safiya lagi.

Abu Usman hanya mengangguk.

"Ini rahsia kita berdua, jangan beritahu sesiapa. Sebenarnya, saya pun ada sister complex macam awak."

"Saya tak ada sister complex." Abu Usman membetulkan, walaupun jauh di sudut hati, dia mengaku yang dia sememangnya terlebih sayang dan tersangat mengambil berat akan adik perempuannya.

"Tak apa kalau awak tak nak mengaku. Yang penting awak tahu kita sama." Abu Safiya ketawa terkekeh-kekeh.

"Jangan samakan saya dengan diri awak yang tak betul." Mendatar suara Abu Usman. Sekarang baru dia faham kenapa Abu Ishaq kadang-kala dilihatnya mengerut dahi sewaktu memandang Abu Safiya dari jauh. Mungkin pemuda itu geram dengan Abu Safiya.

Abu Safiya menepuk-nepuk bahu Abu Usman sebelum mengambil tempat duduk di sebelahnya. Pandangan dihala pada dinding kayu di hadapan. Ada beberapa bahagian yang sudah berlubang. Ada juga yang kayunya sudah reput.

"Awak ... doktor, kan?" soal Abu Safiya.

"Macam mana awak tahu?"

"Tekaan."

Abu Usman memasukkan telefon ke dalam poket seluar. "Awak nak cakap saya sepatutnya jadi sukarelawan perubatan dan bukannya askar ke?"

"Tak. Saya hormati pendirian awak."

Abu Usman tersenyum nipis. Apabila Abu Safiya mula bercakap mengenai Safiya tadi, wajah sedih Ashura tiba-tiba terbayang di ingatannya. Dia rindukan ahli keluarganya di Republik Chechen. Rindu mendengar suara mereka, rindu merasai kehadiran mereka di sisinya. Apakan daya, Syria ialah pilihannya. Dia tidak dapat berpatah balik. Memang Republik Chechen ialah tanah lahirnya, tanah tumpah darahnya. Akan tetapi, Abu Usman tidak yakin sama ada republik tersebut bisa menjadi tempat bersemadi jasadnya suatu hari nanti.

"Awak ... mesti tahu tentang glioblastoma, kan?"

Tersentak Abu Usman mendengarnya. Wajah Abu Safiya diamati dengan cermat. Pemuda itu hanya tersenyum.

"Awak ...." Termati kata Abu Usman. Dia faham apa yang ingin Abu Safiya sampaikan tatkala lelaki itu mengangguk.

"Masa saya dah tak lama lagi."

"Sebab tu ke awak datang ke Syria?"

"Ya. Mengarut bunyinya, kan?"

"Tak. Alasan tu masuk akal."

Abu Safiya mengangkat tangan kanan ke hadapan mata. "Penglihatan saya semakin teruk sejak dua minggu ni. Begitu juga dengan sakit kepala saya." Tangan diturunkan. "Asas menembak saya kukuh sebab saya sertai kelab menembak di Kazan. Jadi tembakan saya selalu tepat.

Tapi kebelakangan ni, tembakan saya banyak kali tersasar. Saya dah tak dapat mengagak jarak dan dah tak dapat melihat dengan baik lagi." Pemuda itu menoleh ke Abu Usman. "Untuk ribat kita malam esok, boleh tak awak tolong saya?"

"Maksud awak?"

"Awak juga ada orang yang ingin awak lindungi di sini, kan?"

Riak wajah Abu Usman berubah. Dia memandang jauh ke dalam anak mata Abu Safiya, sebelum menyoal, "Ada sesuatu berkenaan jamaat yang awak dan Abu Ishaq tahu dan sembunyikan, betul tak?"

Abu Safiya tersenyum. Zafirah tidak silap bila memaklumkan yang Abu Usman, atau nama sebenarnya, Zelimkhan Batsaraev ini seorang yang perseptif. Manakala rakan baiknya, Aslan Sakaev yang mereka kenali sebagai Abu Bakar pula memiliki rasa empati yang tinggi. Pasti ada banyak cerita di sebalik kedatangan mereka berdua ke Syria.

Sayang sekali, dia mungkin tidak berkesempatan mendengar kisah hidup mereka.

FREESIADonde viven las historias. Descúbrelo ahora