Bab 2: Zelimkhan

1.2K 114 158
                                    


Deringan telefon pintar membangunkan Aslan daripada tidur. Dengan mata yang belum celik sepenuhnya, dia mengambil telefon. Panggilan daripada Zelimkhan segera dijawab.

"Assalamualaikum," ucap Zelimkhan di hujung talian. Suaranya terdengar ceria.

"Waalaikumussalam," balas Aslan. Dia bingkas duduk.

"Marah ke?" Zelimkhan menyoal sebelum ketawa terkekeh-kekeh, sengaja mahu menguji kesabaran sahabatnya.

Aslan mencebik geram. "Ya, marah sangat."

"Maaflah, kereta api ada masalah sikit tadi. Sekarang saya di hotel." Zelimkhan terbatuk-batuk sebelum menyambung, "Awak nak datang melawat?" Dia melepaskan batuknya lagi. Sungguh, dingin musim luruh Rusia membuat dia yang menghidap asma sering sahaja ada masalah tekak dan pernafasan.

"Hotel mana?" Aslan menyoal.

"Azimut." Sepatah Zelimkhan menjawab. Batuknya kembali.

"Zelim, Ventolin. Awak tak lupa bawa, kan?" Terdetik risau di hati Aslan mendengar batuk Zelimkhan.

"Ada ekstra 4 unit dalam beg."

'4 unit? Dia ni ...' gerutu Aslan dalam hati. Dia melepaskan keluhan. Aslan bangun lalu melangkah ke meja tulis. Laci paling atas ditarik keluar.

"Hotel Azimut tu dekat dengan supermarket Bayram ke?" Aslan menyoal. Ubat sedut asma berlabel 'Ventolin' milik Zelimkhan diambil dari dalam laci.

"Ya."

"Okey. 20 minit. Saya bawa bersama beg pakaian. Sebab ahli keluarga saya tak ada di rumah sekarang." Aslan menyorong laci ke dalam semula.

"Baik. Jumpa nanti," putus Zelimkhan. Talian dimatikan.

Aslan menguap. Mata yang masih mengantuk digosok-gosok. Dia mengambil kunci kereta di atas meja.

Beberapa minit kemudian, Aslan sudah berada di luar rumah bersama beg galas dan beg pakaiannya.

*****

Honda Civic putih itu dipandu melintasi deretan bangunan di Jalan Oktyabrya. Walaupun dengan keadaan jalan yang agak licin, kereta-kereta lain masih meluncur laju di sebelah kirinya. Aslan memberhentikan kereta yang dipandu sebaik lampu isyarat bertukar merah.

Di hadapannya, ada beberapa orang pejalan kaki sedang melintasi zebra crossing. Gelagat mereka diperhatikan dengan penuh minat. Ada ibu yang sedang memimpin tangan anak perempuannya, ada gadis berambut hitam yang berjalan sambil bermain telefon, ada juga wanita berambut perang yang berpegangan tangan dengan seorang lelaki berbadan sasa. 'Pasti lelaki itu seorang ahli gusti.' Aslan meneka. Senyuman terukir di bibir.

Uniknya ibu negeri Republik Bashkortostan itu. Ia didiami golongan masyarakat berbilang kaum seperti Bashkir, Tatar, dan Slavic. Ada juga sebilangan kecil kaum Chechen sepertinya.

Terkenangkan kehidupan warga Syria sekarang, senyuman Aslan laju mengendur. Dia tidak pasti jika tempat tinggalnya di Syria nanti memiliki zebra crossing yang menjadi tumpuan pejalan kaki. Apa yang dilihatnya di internet hanyalah jalan-jalan raya yang hancur akibat bedilan bom.

Sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, Aslan memasukkan gear dan menekan pedal minyak. Kereta yang dipandu membelok ke kanan apabila tiba di satu simpang sebelum bergerak melintasi bangunan 5 tingkat. Keretanya masuk ke simpang kiri, berhadapan sebuah restoran terkenal Ufa. Di hujung jalan, Aslan membelok kereta ke kanan. Logo merah dari bangunan Hotel Azimut terpampang di sebelah kanannya.

FREESIAWhere stories live. Discover now