Bab 22: Tenang

294 52 53
                                    


Abu Safiya memerhatikan Abu Ishaq yang ralit membaca mesej berkenaan kedudukan operasi. Berkali-kali dilihatnya pemuda itu mengetap bibir menahan rasa sakit hati. Mesej-mesej yang terpapar pada telefon pintar Abu Safiya menyesakkan dada Abu Ishaq. Tidak lama kemudian, dia mengembalikan telefon pintar Abu Safiya. Wajah diraup dengan penuh kecewa.

"Kenapa awak tak beritahu amir tentang ni?" Suara Abu Ishaq meninggi. Jika mereka tahu akan adanya pengkhianat dalam jamaat mereka lebih awal, pasti operasi mereka tidak digagalkan. Ramai nyawa akan terselamat.

Abu Safiya memandang kawasan sekeliling. Mereka berdua berdiri jauh dari khemah jamaat. Setelah yakin yang perbualan mereka tidak didengari sesiapa, dia menjawab, "Saya pasti si pembocor maklumat dah padamkan mesej yang dia hantar. Walaupun saya beritahu amir hal ni, tak ada apa yang amir boleh lakukan untuk cari si pembocor maklumat. Kalau saya beritahu juga, amir dan mujahidin veteran lain pasti curiga dengan semua mujahidin baru. Saya tak nak rasa curiga mereka sampai ke pengetahuan orang yang tak terlibat. Jika itu berlaku, perpaduan dan kepercayaan dalam jamaat akan goyah. Struktur jamaat kita akan hancur dari dalam." Abu Safiya menerangkan rasional di sebalik keputusannya. "Lagipun saya lihat amir dah lebih berhati-hati sekarang ni."

Abu Ishaq menyandar tubuh pada batang pokok. Anak mata dihala ke arah khemah-khemah yang tersusun rapi. Teringatkan yang mereka semua selama ini hidup bersama seorang pengkhianat membuatkan dia beristighfar.

Enam operasi besar dalam masa dua bulan, tiga daripadanya dibocorkan kepada pihak Assad. Termasuklah operasi menggempur kubu musuh bersama Ansar Sham di Kesab bulan lalu. Operasi yang menyaksikan kekalahan teruk di pihak pasukan pemberontak. Ramai mujahidin Ansar Sham terkorban. Di pihak Dzhamaat Halifat pula, lima orang ahli jamaat gugur dan dua ahli berada dalam keadaan kritikal. Kedua-duanya meninggal tiga hari kemudian. Begitu juga dengan operasi seterusnya. Tiga rekrut baru terkorban dalam serangan gas kimia yang langsung tidak dijangka.

Begitu murahnya nyawa mereka dalam pandangan si pengkhianat. Mengapa dia tidak menyedari hal ini dari dulu lagi?

"Israfil ...." Abu Safiya memanggil. Dia duduk berlutut di hadapan Abu Ishaq. "Jangan risau," ujar Abu Safiya. Bahu pemuda itu disentuh perlahan. Abu Ishaq mengangkat kepala memandangnya. "Tak lama lagi, saya akan dapat cari siapa pembocor maklumat tu."

*****

Markas Dzhamaat Halifat,

Latakia, Syria

Ketukan pintu bertalu-talu pada pukul 8 pagi membangunkan Abu Usman daripada tidur lenanya. Sambil menggosok-gosok mata, dia duduk di atas tilam. Kepala ditoleh ke kiri dan ke kanan, melihat rakan-rakan sebilik yang masih lena dibuai mimpi selepas solat Subuh tadi.

Ketukan di pintu masih belum berhenti. Abu Usman mendengus geram. Dalam ramai-ramai orang di situ, mengapa dia yang terbangun akibat ketukan tersebut? Bukankah hari ini hari Sabtu dan mereka tiada latihan? Siapa pula yang mencari mereka pagi-pagi begini?

Dengan rambut yang masih kusut-masai, Abu Usman bangun dan menuju ke arah pintu.

"Ya?" soalnya sebaik membuka pintu bilik.

"Abang! Saya nak minta tolong!" Abu Muhammad pantas memberitahu dengan wajah resah.

"Hah?" Terangkat kening Abu Usman.

"Ada tak sesiapa dalam bilik ni yang ada tugasan mencuci tandas hari ini dan esok?" soal Abu Muhammad.

"Ada, Abu Bakar. Kenapa?"

FREESIAWhere stories live. Discover now