Bab 19: Malik

289 52 65
                                    


Rawwad membawa mereka masuk ke sebuah kawasan perumahan. Seterusnya dia memasuki sebuah lorong kecil. Timbunan batu-bata yang bersepahan di lorong membuat Abu Bakar dan rakan-rakannya terpaksa melangkah dengan berhati-hati. Keluar dari lorong, mereka tiba di suatu kawasan yang menempatkan deretan rumah-rumah batu sederhana besar. Rawwad terus merapati salah sebuah rumah di situ.

"Assalamualaikum." Rawwad mengetuk pintu.

"Waalaikumussalam," jawab satu suara dari dalam rumah. Pintu kayu dibuka. Seorang lelaki berjanggut putih dan berbadan besar muncul di muka pintu. Kedutan yang banyak di wajah menandakan usianya yang sudah menginjak senja.

"Apa khabar, saudaraku?" Rawwad menyoal ramah.

"Alhamdulillah, baik," jawab Malik. Mereka berdua berpelukan seketika. Lelaki tua itu menepuk-nepuk tubuh Rawwad.

Setelah pelukan terlerai, Malik mengalih pandangan pada tiga orang lelaki di belakang Rawwad. Cepat-cepat dia mempersilakan Rawwad masuk.

"Masuklah, Rawwad. Kamu bertiga juga," arahnya pada Abu Bakar dan yang lain.

Mereka melangkah masuk ke rumah Malik. Selepas menanggalkan kasut, Malik membawa mereka ke ruang tamu.

Lantai dilapik dengan permaidani biru. Televisyen pula diletak di penjuru ruang tamu, berhampiran dengan rak buku. Tiga buah sofa warna coklat bersama meja kecil melengkapkan lagi ruang tamu Malik.

"Duduklah dulu."

"Maaflah menyusahkan saudara pula," ujar Rawwad. Malik meminta diri lalu menuju ke dapur.

Sebaik melabuhkan punggung di atas sofa, anak mata Abu Bakar terus tumpah pada bingkai gambar sederhana besar yang tergantung di dinding. Malik, seorang wanita dalam lingkungan 60-an, dan empat orang lelaki sedang tersenyum ke arahnya dalam foto tersebut. Spontan fikiran Abu Bakar melayang pada keluarganya di Ufa. Saat itu, dia benar-benar ingin mendengar suara ibu bapanya dan Ruslan.

Lamunan Abu Bakar terhenti ketika Abu Muhammad menguis lengannya.

Dengan suara yang hampir berbisik, anak muda itu menyoal dalam bahasa Chechen. "Agaknya dia pergi ke mana?"

"Entahlah. Mungkin dia nak hidangkan kita sesuatu agaknya." Abu Bakar menjawab separa membisik.

"Waktu-waktu macam ni saya rasa laparlah pula. Boleh tak beri saya sebiji roti yang abang beli tadi?"

"Kamu ni ... apa pula kata Malik nanti bila dia nampak kamu makan makanan lain di rumahnya?"

Abu Muhammad mengeluh perlahan. Perutnya mula membuat bunyi.

Beberapa minit kemudian, Malik kembali ke ruang tamu bersama dulang berisi biskut dan lima cawan kopi panas. Dulang tersebut diletak di atas meja.

"Silakan makan. Jangan malu-malu." Malik mempelawa sebelum turut duduk di atas sofa.

"Saya pasti saudara tahu kenapa kami datang ke sini." Rawwad membuka bicara.

"Ya." Pemilik tubuh tua itu diam seketika. "Mereka semua ni dari jamaat Abdul Azim, kan?" soal Malik. Dia maklum benar yang Rawwad menawarkan khidmat mengajar bahasa Arab kepada beberapa kumpulan mujahidin yang berasal dari luar Syria.

"Ya, mereka dari Dzhamaat Halifat. Rekrut baru." Tenang Rawwad menjawab.

Malik memerhatikan Abu Muhammad yang sedang makan biskut. Tatkala terpandangkan mata lelaki tua itu, Abu Muhammad cepat-cepat menundukkan kepala. Malu dia dipandang ketika sedang makan. Pandangan mata Malik beralih pada Abu Bakar. Mata bertemu mata. Abu Bakar menunduk kepala sebagai tanda hormat. Malik seterusnya memandang Abu Usman. Pemuda tersebut mengukir senyum kepadanya.

FREESIAWhere stories live. Discover now