Bab 15: Ashura

326 57 69
                                    


Grozny, Republik Chechen, Rusia

Buaian dihayun perlahan. Angin pagi yang bertiup menerbangkan rambut coklat muda Ashura sehingga menutupi wajah. Gadis itu menyelak rambut ke belakang telinga. Sepasang anak mata hijaunya kini memerhati kawanan burung yang berterbangan di dada langit. Semakin lama, kawanan burung tersebut semakin jauh dari pandangan. Dia menghela nafas lalu mengalih tumpuan ke persekitaran taman permainan yang sunyi dan diselimuti salji.

Buaian dan gelongsor sentiasa menjadi permainan kegemaran Ashura dan Zelimkhan. Dia akan duduk di atas buaian dan abangnya itu akan menghayunkan buaian dengan kuat untuk menggembirakannya. Apabila dia bosan dengan buaian, Zelimkhan mengajaknya bermain gelongsor. Kadang-kadang, serangga dan rama-rama menjadi bahan kejaran mereka.

Malangnya, taman permainan ini musnah oleh bedilan bom askar Rusia ketika perang Chechen kedua.

Ashura dan Zelimkhan kehilangan tempat bermain mereka. Tempat yang menjadi saksi kepada gelak ketawa mereka. Tempat yang melihat mereka merasai hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Taman permainan ini dibina semula pada tahun 2010.

Namun mereka berdua tidak pernah kembali ke taman ini lagi.

Ashura bangun dari buaian.

Kali terakhir. Ini kali terakhir dia datang ke sini, tekadnya.

Dengan hati yang berat, Ashura menapak pergi dari taman permainan itu.

Bukan dirinya sahaja meninggalkan taman permainan yang menyimpan 1001 memorinya bersama Zelimkhan. Ashura turut melepaskan taman permainan itu jauh dari hati. Sudah tiba masanya dia menerima kenyataan yang dia harus hidup tanpa Zelimkhan di sisi. Abang kesayangannya tidak akan kembali lagi. Dan dia, harus melepaskan Zelimkhan kerana itu jalan yang dipilih Zelimkhan. Zelimkhan berhak menentukan hidupnya sendiri.

Ashura menguntum senyum.

Ya.

Inilah yang terbaik. Untuk dia, dan juga Zelimkhan.

*****

Mairbek mundar-mandir di ruang tamu rumahnya, resah menanti khabar gembira yang bakal menyusul. Minggu ini, Mairbek pasti dia akan berkahwin dengan Ashura. Persediaan sudah dibuat. Tidak ada apa-apa yang bisa menggagalkan rancangannya. Sama ada gadis itu bersetuju atau tidak, gadis itu tetap akan menjadi miliknya. Dia akan mendapatkan Ashura dengan apa cara sekalipun.

Mata Mairbek melirik pada jam di dinding. Menurut rakan-rakannya, Ashura keluar dari rumah awal-awal pagi lagi. Mereka sedang mengekori gadis itu dan cuma menunggu peluang untuk mendapatkannya, atau lebih tepat lagi, menculiknya.

Mairbek senyum sinis sambil membayangkan perkahwinannya dengan si gadis manis.

'Kau tak suka bila aku tanya dengan baik, sekarang aku buat cara kasar pula. Padan muka kau, Ashura!'

*****

Ashura mempercepatkan langkah. Sejak beberapa minit tadi dia sudah perasan akan kehadiran kereta yang mengekori. Semakin lama hatinya semakin tidak keruan. Dia menyeluk tangan ke dalam beg sandang, mencari sesuatu. Setelah menemukan benda yang dicari, Ashura berhenti lalu berpusing ke belakang. Matanya curiga memerhati sebuah kereta berwarna merah. Bagaikan mengikuti langkahnya, kereta itu turut berhenti di tepi jalan. Ashura memandang ke kiri dan kanan. Tidak ada orang lain di kawasan itu. Yang ada cuma deretan pangsapuri tidak berpenghuni.

FREESIAWhere stories live. Discover now