Bab 14: Markas

304 58 29
                                    


Malam itu, semua pelatih di kem latihan dikejutkan dan diarah untuk datang ke ruang berkumpul. Wajah serius Hassan dan tenaga pengajar yang lain di tengah-tengah malam membuat mereka tertanya-tanya akan apa yang telah berlaku. Abu Bakar, Abu Usman, serta pelatih yang ditugaskan berkawal malam itu hanya berdiam diri.

Hassan memandang satu-persatu wajah yang ada di hadapannya. Ada anak muda dengan kelopak mata yang masih kuyu, ada yang sedang menggosok-gosok mata, ada juga yang sudah menguap beberapa kali. Lelaki 38 tahun dengan janggut panjang itu berdehem.

"Beri perhatian semua!" Suara keras Hassan serta-merta memecahkan kantuk mereka. Mata masing-masing kini tertumpu pada Hassan.

"Lebih kurang 15 minit tadi, kami dapati ada tentera Assad yang berlegar-legar di kawasan kem latihan kita." Hassan memaklumkan. Seperti yang diagak, pengumuman tersebut mencetuskan riuh-rendah dalam kalangan pemuda di situ.

"Bertenang dan dengar apa yang saya mahu sampaikan!" tegas Hassan, mematikan suara riuh-rendah yang bernada cemas di sekelilingnya.

"Amir arahkan kita untuk tinggalkan kem latihan malam ini juga. Sekarang, kemas barang-barang kamu. Dalam 15 minit lagi, kita akan bergerak ke markas jamaat." Hassan memberitahu.

Dalam keadaan kelam-kabut, pelatih-pelatih di situ mula meninggalkan ruangan berkumpul. Masing-masing bergegas kembali ke bilik untuk mengemas barang.

Abu Bakar masih tidak beralih dari tempat dia berdiri. Dia memerhati sahaja mereka semua berlari melintasinya tanpa sebarang perasaan. Mindanya masih lagi di luar sana, di tempat tewasnya si askar Assad.

'Ya Allah, adakah aku berdosa?' soalnya berulang-kali dalam hati. Jari-jemarinya belum berhenti menggeletar. Dadanya juga masih penuh dengan rasa takut.

Melihat rakannya tidak berganjak, Abu Usman yang berdiri di sebelah Abu Bakar, memaut lengan lelaki itu. "Abu Bakar, mari." Lengan Abu Bakar ditarik perlahan. Abu Bakar yang hanya menuruti.

*****

Abu Usman memasukkan satu-persatu pakaian yang baru dilipat ke dalam beg bagasi. Setelah menutup beg, dia memusing kepala ke sebelah. Abu Bakar sedang mengalami kesukaran untuk menutup beg bagasinya. Zip pada beg bagasi tersangkut bersama baju di dalam. Abu Usman perasan yang jari-jemari Abu Bakar menggeletar. Lalu dia menggenggam erat jari sahabatnya.

"Jangan takut, Aslan." Abu Usman memberitahu. Mata hijaunya memandang ke dalam mata Abu Bakar, ingin memberi semangat.

Seketika Abu Bakar terkedu. Wajah Abu Usman ditatap lama.

Kali pertama mereka bertemu ialah di universiti. Waktu itu Abu Bakar dan adiknya sedang mencari bilik kuliah mereka. Abu Usman datang lalu bertanya arah bilik kuliah yang sama. Itulah permulaan persahabatan mereka.

Deminya yang terpaksa mengulang peperiksaan oral, Abu Usman sanggup tidak tidur malam untuk melakukan sesi soal jawab bersama sedangkan esoknya pemuda itu harus kembali ke Grozny untuk menghadiri majlis pengebumian datuknya. Deminya juga, Abu Usman sanggup menawarkan diri untuk menggantikan kumpulan praktikalnya memantau seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.

Tapi, apa yang dia pernah lakukan untuk Abu Usman?

Keadaannya sekarang ini hanya membuat Abu Usman risau. Dia menyusahkan sahabat karibnya sekali lagi. Bukankah dia seharusnya mengatakan yang dia baik-baik sahaja?

"Jangan takut, Aslan." Ayat Abu Usman tadi terngiang-ngiang di telinga.

'Ya. Apa yang aku takutkan sebenarnya? Zelim ada di sini bersamaku. Itu sudah mencukupi.'

FREESIAWhere stories live. Discover now