Rasuk - Penyebab

3.2K 127 8
                                    

"Cakap sapa hantar kau?!!"

Pertanyaan Cikgu Rosdi dijawab dengan jeritan yang membingitkan telinga. Tangannya masih lagi mengepit ibu jari kaki budak perempuan yang dikatakan dirasuk. Adakalanya dia meronta-meronta untuk melepaskan diri dari tambatan pada tiang pondok sementara.

David, Bala dan Peng ditugaskan untuk menghantar peserta perempuan yang lain balik ke kawasan kem. Rata-rata semuanya panik dan ketakutan. Cikgu pengiring wanita juga bertungkus-lumus menenangkan perasaan mereka.

Aku dan Nabil hanya melihat dari jarak selamat adegan drama ala Tanah Kubur. Nabil tampak risau dan kerap kali mencuri pandang kepadaku. Aku beserta beberapa peserta lelaki yang lain hanya menjadi penonton. Tak berani nak datang dekat. Yang mana tadi tolong untuk tambat pun sudah hilang entah ke mana.

Cikgu Rosdi kelihatan risau. Sudah pelbagai surah dibaca sebagai ikhtiar. Yang lazim mahupun tidak lazim. Yang pendek dan favourite dalam solat atau yang panjang dan susah nak hafal. Semuanya bagai tak lut.

Akhirnya ibu jari budak perempuan berkenaan dilepaskan. Budak perempuan yang tadinya tiba-tiba menangis perlahan-lahan mendiamkan diri. Kedengaran nafasnya yang kuat dengan dada yang berombak.

Suasana hening seketika. Bunyi malam seperti bisu bak menahan nafas menyaksikan apa yang berlaku. Perasaan aneh dan kurang sedap diantara dua tulang belikat aku semakin menjadi-jadi. Mataku walau memandang ke arah Cikgu Rosdi, tapi pandanganku sebenarnya kosong. Peluh dingin mula memercik di dahi.

"Kau ok bro?" Nabil bertanya kerisauan. Tangannya memegang bahuku. Belum sempat aku menjawab, aku sudah dipintas dengan hilaian ketawa yang kuat. Budak perempuan itu mula menggila kembali.

"Heeey kau!!! Mari sini!!" laungnya keras memandang ke arah kami. Tiada siapa yang tahu siapa yang dipanggil kecuali diriku yang secara tiba-tiba sudah memulakan langkah ke arahnya. Cikgu Rosdi yang masih melutut sebelah kaki di sisi budak itu kelihatan bertambah risau bila aku merapati. Aku akhirnya berdiri betul-betul di depan perempuan yang malang itu.

"Kanda... Marilah kita mulakan senggama... Dinda sudah tertambat... Mahukan kanda memberi nikmat" suara yang keluar begitu gemersik indah, matanya layu menggoda dalam kelam. Budak perempuan itu cuba mengangkang dan membuka aib sebelum ikatan di pergelangan kaki menghalangnya berbuat demikian. Hilaian ketawa bergema kembali.

Aku terkejut sehingga terundur-undur sebelum badanku terlanggar seseorang. Aku segera berpaling. Kelihatan seorang lelaki pertengahan umur memandangku aku dengan tenang. Dia diringi dengan empat orang yang lain. Dua antaranya adalah pelajar lelaki yang menolong tambat.

"Ni diorang cikgu, orang masjid kampung terdekatan" kata salah seorang dari mereka.

"Kau diri sana dulu" pintanya dengan tenang sebelum melangkah ke arah medan pertarungan paranormal. AKu terundur-undur lagi. Kepala aku tiba-tiba pening dan berat. Terasa seperti ada tangan yang mencengkam kepala untuk memaksa otakku meletus keluar.

Mata aku berpinar dan tidak dapat fokus. Aku rasa dunia sedang berpusing laju walhal aku masih tegak berdiri. Segala deria aku bagai terlucut keluar. Aku terdengar juga pertarungan mereka. Telinga aku putus-putus mendengar antara jeritan dan perbualan. Yang paling jelas adalah pertanyaan "Apa sebab kau masuk dalam budak ni?' dan suara keras yang menjawab 'Kau!'

Tak semena-mena aku rasa ada tangan menepuk kuat bahagian belakang antara dua belikat. Serta-merta aku muntah lalu terjelempok ke tanah. Aku tak nampak apa yang keluar dan yang pastinya bukan kopi dan biskut kering yang aku makan tadi. Bunyi berdesing mula menguasai pendengaran. Terowong gelap merangkak perlahan dalam mata lalu menelan segala pandangan.

Aku pengsan.

<bersambung>


Koleksi Seram dan Mistik sepanjang zaman - Slow updateWhere stories live. Discover now