Rumah No 10 - Akhirnya sempurna

7.1K 209 10
                                    

Al kisah rumah No 10 sempurna berpuluh tahun selepas aku pindah dari situ. Ia sempurna pun secara tidak sengaja. Pada suatu hari, binku berperasaan sedikit nostalgik. Dia rindu untuk menghadiri kuliah selepas maghrib di sebuah surau di Bangi. Pada malam yang aku menemaninya, aku terserempak dengan Pak Ngahku yang tinggal tak berapa jauh dari situ. Mungkin ada benarnya jika aku adalah golongan anak buah tak sedar diri kerana tak ingat mana rumah Pak Ngahnya.

Moreh teh O dan karipap surau bertukar menjadi satay dan teh tarik berbumbungkan rumah Pak Ngah beserta bau-bauan kucing. Sesi tazkirah yang begitu kompleks bagi orang yang jarang ke surau disambung dengan sesi ziarah rumah Pak Ngah. Tak mengapa, ia masih kategori mengerat silaturrahim. Dari kisah nama lama Putrajaya, harga rumah yang mencanak naik, entah macam mana Pak Ngahku boleh buka cerita Rumah No 10, dan ia menjadi pelengkap cerita ini.

Selepas kejadian penampakan yang berlaku ke atas diri aku, rupa-rupanya masih ada lagi gangguan lain. Penampakan... Bau-bauan... Sentuh-sentuhan... Gegar-gegaran; eh dah macam lagu dangdut.

Diceritakan yang Kak long aku juga pernah nampak. Pada malam yang dia study sehingga lewat malam, dia ternampak sesuatu yang mewujudkan kemusykilan di dalam hati. Siapakah yang duduk memeluk lutut di bawah meja?

Kak longku hendak ke tandas sebenarnya. Tandas yang berada di ruang tamu memaksanya untuk keluar bilik dan melintas ruang meja makan. Dalam balam-balam cahaya lampu dari bilik yang cuba menerangi kegelapan di ruang tamu, dia ternampak figura berambut panjang duduk memeluk tubuh di bawah meja makan yang sedia sempit. Naluri ingin tahu dimatikan kerana dia tahu itu bukan Kak Langku; adik perempuannya merangkap kakak aku juga. Dia masih tidur lena di dalam bilik. Kak Longku lebih rela meneruskan qada hajat daripada terkucil dalam kain semata-mata melunaskan kesangsian logika akal.

Lebih menggerunkan penampakan tersebut berulang kali di bawah meja yang sama; di celah-celah kaki kerusi dan meja. Kak long masih mampu mengawal perasaan setiap kali kemunculan. Mungkin jika ia bersuara menegur 'study malam ke dik?' atau sebagainya, mahu menjerit berfrekuensi tinggi Kak Longku.

Lain pula kisah Abang Ngahku. Bukan penampakan yang dia hadapi. Tapi sentuhan direct. Mungkin dia berada di bawah kategori hensem bukan kepalang. Ditambah dengan lesung pipit bila tersenyum, aku tak terkejut warga alam lain juga berminat untuk sakat. Nasib baik aku bawah kategori tak hensem walaupun kerap kali dicubit pipi oleh kawan-kawan kakak aku.

Abang Ngahku bukan terkena dengan cara ia muncul dari belakang pokok lalu minta nombor rumah (zaman ini handphone masih lagi belum popular). Dia terkena dengan cara yang lebih menggerunkan. Sewaktu dia tidur, dia akan rasa seperti ada orang kejutkan dia dari tidur. Bila bangun melihat-lihat, tiada orang disekeliling. Mungkin nak ajak borak-borak bantal agaknya. Kerap kali juga dia menghadapi perkara ini. Nak kata aku yang sakat, aku tidur dalam bilik mak aku!

Entah berapa kali kejadian ini berlaku, abang aku tak pula sebut. Tapi yang pastinya lama kelamaan, sentuhan lembut ala ajak orang bangun untuk subuh bertukar kepada goncangan kuat katil dan tarikan selimut tiba-tiba. Bila bangun tengok, tak siapa pun yang berada bersama. Tiada bunyi. Tiada penampakan. Yang ada cuma gangguan fizikal tatkala abang aku memejamkan mata. Ini adalah gangguan paling hardcore pernah aku dengar. Mungkin ia bengang dah dengan abang aku bila dia dah lali dengan gangguan lembut.

Nasib baik abang aku lelaki. Kalau kena gangguan macam ni ke atas awek, sure taubat tidur pakai full set luar dalam. Aku yakin korang boleh bayang tiba-tiba kita tengah syok tidur layan mimpi dating dengan orang yang kita crush, selimut kita ditarik keras oleh makhluk yang tidak dapat dilihat. Kalau diberi opsyen antara benda yang tak nampak dan Orang Minyak, aku yakin korang lebih prefer benda yang tak nampak.

Kak Langku pula tiada cerita. Walaupun aku dan mak aku setuju yang dia empunya deria yang lebih sensitif dari biasa, tapi tidak pula dia ceritakan apa-apa hingga sekarang. Kemunculan bau-bauan ganjil seperti bau bunga-bunga, bau kemenyan sudah dianggap biasa. Maka kejadian ke atas abang ku adalah ultimatum sebenar!

Pak Ngahku cerita yang mak aku menghubunginya. Dengan nada yang sudah tiada harapan lagi (sebab ayahku tak percaya paranormal), dia meminta agar dicarikan orang or so callled para ustaz yang boleh menghalau gangguan-gangguan dari alam lain ini. Dia cerita lagi yang dia tidak dapat join sekali ketika malam 'pembersihan' dulu. Tapi dia tahu pula yang rumah serta kawasan sekitarnya itu dihuni oleh ratusan makhluk ghaib. Aku yang sudah nak masuk 30 tahun hanya mengiakan sahaja ceritanya. Tapi aku ambil sebagai pelengkap cerita yang pernah menghantui keluarga kami

Setelah sesi 'pembersihan', keluarga aku tiada lagi menghadapi masalah gangguan. Dapatlah kami tinggal di rumah itu selama 5 tahun sebelum berpindah ke rumah lain. Namun di luar kawasan rumah masih lagi berlakunya penampakan, bunyi-bunyian dan kelibat.

Pernah suatu malam aku berada di luar rumah. Niat untuk test run teleskop terpakai yang diterima percuma oleh ayahku. Excited bukan main bila dapat teropong sang bulan. Jelas nampak kawahnya bak kata warga pencerap langit malam. Dalam keseronokan itu aku seolah-olah ternampak kelibat benda terbang berhampiran dengan pagar tepi. Aku melihat-lihat juga ke arah kegelapan. Jiranku tidak pula memasang lampu di porch depan.

Mata aku tertumpu pada kedudukan pokok pinang yang di tanam jiran, berdekatan dengan buaian. Aku tidak nampak apa-apa yang menakutkan. Sekadar bentuk pokok pinang dalam samar-samar malam. Aku buat tidak tahu tapi hatiku mula berdegup laju. Minda kuat mengatakan ia adalah mainan cahaya. Aku menoleh sekali lagi untuk mendapatkan kepastian. Nampak seperti ada orang bertenggek atas pagar tapi bentuk pokok pinang dan buaian masih jelas.

Aku kembali kepada teleskop aku. Ketika ini, mindaku lebih memikirkan logika benda yang terbang tadi. Aku masih tidak dapat brain. Akhirnya aku menerima logika akal yang kelibat tadi adalah mainan cahaya. Akal aku memujuk hati dengan sains. Tapi hati aku memujuk akal untuk lihat sekali lagi.

Kali ini jelas. Aku melihat benda terbang berwarna putih meluncur di udara melintas jalan lalu menghilang di celah-celah rimbunan pokok pisang. Sehingga kini aku tak tahu adakah ia sejenis burung hantu atau sememangnya hantu!

-Tamat kisah Rumah No 10-

p/s : Next, kisah-kisah di sekolah pula!


Koleksi Seram dan Mistik sepanjang zaman - Slow updateWhere stories live. Discover now