BAB 4

3.8K 44 0
                                    

"SAYANG, duduk dengan Mama Su sekejap, ya? Mama dan Mama Najwa nak pergi beli makanan." Alia yang berada di dalam dukungan Nurin Aira diserahkan kepada Suraya yang sudah melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Sempat bibirnya mencium pipi montel Alia.

Hari ini merupakan hari minggu. Sengaja dia mengajak Suraya dan Najwa berjalan-jalan di sekitar kawasan Sintok. Bosan juga asyik duduk di rumah. Ketika ini mereka berada di restoran makanan segera KFC.

"Fuhhh, penatnya beratur. Ramainya orang hari ini," rungut Najwa sambil meletakkan talam berwarna coklat di atas meja. Terus dia menghenyakkan punggungnya di atas kerusi kuning.

"Mana Nurin?" tanya Suraya apabila tidak nampak kelibat Nurin Aira.

"Ambil sos... Alah, sayang... Sukanya dia." Najwa mengagah Alia yang berada di dalam dukungan Suraya.
Alia terkinja-kinja di dalam dukungan Suraya sebaik sahaja ternampak kelibat Mama Najwanya. Faham dengan situasi itu, Suraya terus menyerahkan Alia kepada Najwa. Suka punya pasal, sampai terjatuh puting yang disumbat ke dalam mulutnya. Cepat-cepat Suraya mengambil kembali puting itu lalu pergi membasuhnya di singki.

"Nakalnya..." ujar Najwa lantas mencium pipi Alia. Makin montel budaknya.

Pipi montel Alia sering menjadi mangsa ciuman ketiga-tiga mamanya. Alhamdulillah, Alia kini sudah berusia lima bulan. Beratnya macam bayi yang berumur setahun. Pantang diletak, pasti akan meraung. Jadi mereka kena dukung dia selalu.

"Lambatnya Nurin ni. Pergi ambil sos ke, buat sos?" rungut Suraya.
"I am coming..."
Panjang umur.

"Sorry, orang ramai sangat. Aku terpaksa beratur," ujar Nurin Aira. Dia saja beritahu sebab dia tahu pasti Suraya atau Najwa akan bertanya.

"Tak tanya pun," ujar Suraya dan Najwa serentak.
Nurin Aira mencebik.

"Nurin, kau perasan tak yang Alia ada lesung pipit macam kau?" soal Suraya. Suraya sebenarnya baru perasan akan hal itu. Ketika dia menggeletek Alia semalam, sempat matanya menangkap lekukan yang berada di pipi kiri dan kanan Alia. Comel.

"Tahu. Kenapa?"
"Aku baru perasan sebenarnya Alia ada lesung pipit. Mesti bila dia besar nanti, dia cantik, kan? Orang selalu cakap, siapa yang ada lesung pipit mesti cantik. Tak sabar aku nak tunggu dia besar," luah hati Suraya.

"Haah, cantik macam aku. Aku kan ada lesung pipit," ujar Nurin Aira lalu dia tersenyum sehingga menampakkan kedua-dua lesung pipitnya. Cantik, dalam pula tu.

"Perasan." Suraya dan Najwa berkata serentak. Tetapi dalam hati masing-masing mengakui yang Nurin Aira memang cantik.

"Eh, semalam kau kata ada benda nak cerita." Najwa teringat janji Nurin Aira semalam.
Nurin Aira yang baru sahaja ingin menggigit ayam menghentikan perbuatannya. Air Milo sejuk dihirupnya perlahan.
"Mak aku telefon semalam."

"Tanya pasal Kak Nora ke?" Suraya memotong.
"Haah."

"Dia tanya, Kak Nora dah ambil ke belum anak dia. Dia cakap dah dekat empat bulan Alia duduk dengan aku." Lemah suara Nurin Aira memberitahu.

"Kau cakap apa?" Giliran Najwa pula bertanya.
"Aku cakap ajelah tak lagi. Aku tak suka menipu. Lebih-lebih lagi tu mak aku. Tak berkat hidup aku nanti."
Tangan Nurin Aira mencapai kentang goreng lalu disuapkan ke dalam mulutnya.

"Mak kau tak marah ke?" celah Suraya.

"Mula-mula marah, lepas tu okeylah. Dia pelik masalah apa yang Kak Nora ada sampai sekarang belum selesai."
Najwa mencuit sedikit aiskrim lalu diletakkan ke mulut Alia. Sampai terjelir-jelir lidah anak kecil itu. Nak lagilah tu. Suraya dan Nurin Aira hanya ketawa melihat telatah manja Alia. Mereka bertiga sudah mula sayang kepada Alia.

KERANA DIA MANUSIA BIASAWhere stories live. Discover now