Tuan Zarief Khairil membuka pintu wad menggunakan kad akses dan membenarkan Datin Farah masuk lalu menghampiri katil Faryna Aireen yang masih koma.

"Assalamualaikum Aireen... mama datang hari ni untuk jumpa Aireen. Mama rindu Aireen sangat." ujar Datin Farah dengan nada sayu.

Dia memegang tangan Aireen lalu mencium dahi wanita itu dengan lembut.

"Maafkan mama sebab tak mampu mempertahankan Aireen bila Alma dan papa selalu sakitkan hati Aireen. Mama cuba nak rapat dengan Aireen... mama cuba nak beri kasih sayang mama pada Aireen tapi Aireen terlalu jauh dari mama. Aireen anggap mama sebagai orang luar kerana amarah Aireen pada papa."

"Tapi mama tak salahkan Aireen pun. Kalau mama di tempat Aireen pun mama akan rasa apa yang Aireen rasa. Sakitnya hati apabila orang yang kita sayang abaikan kita dan terus mencari lain. Mama akui ianya salah mama kerana berkahwin dengan papa Aireen di saat Aireen dan arwah mama Aireen perlukan dia. Mama tahu mama dan Alma sudah merampas zaman kanak kanak dan kebahagiaan keluarga Aireen dengan kehadiran kami tapi mama nak Aireen tahu bahawa mama tak pernah ada niat nak buat macam tu pada Aireen."

"Mama sayang Aireen kerana mama pegang satu janji. Mama akan beritahu Aireen apabila Aireen dah sedar nanti. Mama janji Aireen akan bahagia apabila Aireen dah sedar nanti. Mama akan buat apa saja demi kebahagiaan Aireen dan kasih sayang mama untuk Aireen."

Tuan Zarief Khairil hanya diam namun mendengar segala apa yang Datin Farah katakan. Tak lama kemudian, Datin Farah mencium dahi Faryna Aireen sekali lagi sebelum beredar keluar.

"Mama akan doakan Aireen cepat sembuh. Apa pun jadi Aireen tetap anak mama." katanya.

Kemudian dia terus meleraikan tangannya yang memegang tangan Faryna Aireen lalu keluar dari wad itu.

Di luar wad, Tuan Zarief Khairil dan Datin Farah duduk di lounge sofa. Datin Farah memandang Tuan Zarief Khairil dan mengucapkan terima kasih.

"Terima kasih Zarief sebab izinkan mama tengok Aireen. Mama janji ini kali pertama dan terakhir mama jenguk Aireen dan Zarief. Mama juga akan pastikan papa, Alma dan Haikal tak akan ganggu kamu berdua lagi selepas ini."

"Kenapa Datin tak sebelah kan Alma sepertimana Datuk sebelah kan dia? Alma tu anak kandung Datin manakala Aireen sekadar anak tiri aje."

Soalan Tuan Zarief Khairil ditanya dengan nada hairan.

Datin Farah hanya senyum saja. "Sebab mana suka cara Aireen dibesarkan oleh Tok Ayah. Walaupun Alma dan Aireen adik beradik kandung yang berkongsi ayah namun perangai dan keperibadian mereka nyata berbeza." katanya.

"Alma dibesarkan dengan kemewahan sejak kecil. Dia dimanjakan oleh papa tanpa batasan. Semua yang dia mahukan dia dapat dengan cukup mudah tanpa dia perlu berusaha langsung. Sedangkan Aireen diajar untuk berusaha bagi mendapatkan apa yang dia inginkan meskipun Tok Ayah juga mampu memberikan semua itu dengan mudah. Cara Tok Ayah membesarkan Aireen cukup buat mama kagum."

"Pada usia 16 tahun, dia sudah pergi ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran seorang diri selama tujuh tahun tanpa teman atas nasihat dan arahan Tok Ayah. Tapi dia tak pernah merungut. Dia ikut apa saja cakap Tok Ayah sebab dia faham Tok Ayah nak dia hidup berdikari sendiri."

"Akhirnya, selepas tujuh tahun menetap di Cardiff City, Wales, dia berjaya pulang ke sini dengan menjadi gadis pintar dan terpelajar lalu bertemu jodoh dengan kamu sebagai balasannya."

Datin Farah yang kelihatan bangga bercerita tentang Faryna Aireen bertukar kecewa apabila bercerita pulak tentang Alma.

"Sangat beza dengan Alma. Pada usia 20 tahun sekarang ini dia tidak sambung belajar sebaris dengan gadis seusia dia. Bekerja di syarikat papa pun tiada disiplin dan langsung tidak menghormati orang lain. Dia terlalu ikutkan perasaan untuk mengahwini Haikal sedangkan hidupnya pun masih terumbang ambing. Papa pulak sentiasa menangkan dirinya sehingga dia menjadi angkuh dan pentingkan lalu tergamak menjadi punca Aireen dalam keadaan begitu."

"Tapi mama tak salahkan papa seorang dalam kesalahan mendidik Alma. Mama juga ada salah kerana tidak berkeras dengannya sejak kecil dan tidak menghalang papa untuk berikan apa saja padanya dulu. Akhirnya, dia menjadi manusia yang pentingkan diri, ego dan penuh hasad dengki dalam diri."

Datin Farah memandang Tuan Zarief Khairil.

"Zarief, tolong maafkan salah kami sekeluarga ya? Mama tahu maaf saja tidak cukup untuk buat Zarief dan Aireen hilang rasa benci pada kami tapi mama tak mahu terus hidup di dalam rasa bersalah kerana tidak memohon maaf dengan kamu berdua. Mama sendiri pun dah tua dan dah tak larat untuk terus hidup dalam masalah ini. Maafkan mama juga kerana melanggar peringkat mahkamah yang Zarief dah laksanakan pada kami. Kalau Zarief nak saman, saman ajelah mama seorang. Insya Allah mama akan bayar cuma berilah mama masa untuk mencari duit sebanyak itu."

Tuan Zarief Khairil diam. Datin Farah bangun dari duduk lalu mahu pergi namun suara Tuan Zarief Khairil menghentikan dirinya seketika.

"Saya dan Aireen masih lagi tak mampu nak lupakan dan maafkan papa, Alma dan Haikal tapi kalau mama nak datang jenguk Aireen selagi Aireen masih di hospital ini, datang ajelah pada bila bila masa. Saya tak kisah dan saya tak akan halang kerana saya dah tahu yang mama lebih baik... tak sama macam mereka. Jadi mama layak untuk bersama dengan kami."

Datin Farah tergamam. Betul ke apa yang dia dengar ini?

"Nanti saya akan keluarkan nama mama daripada surat perintah mahkamah itu dan mama bebas untuk berjumpa dengan Aireen malah dengan kami semua juga."

Datin Farah tersenyum terharu. "Ya Allah, terima kasih Zarief."

"Tapi... hanya mama seorang saja yang boleh mendekati kami. Bukan papa, bukan Alma dan bukan juga Haikal. Kalau mama tak ada masalah dengan kata kata saya maka mulai hari ini, mama adalah mama mentua saya dan saya akan jaga mama sepertimana saya jaga Tok Ayah." ujar Tuan Zarief Khairil dengan senyuman manis.

Datin Farah mengangguk.

"Baiklah, mama setuju dengan kata kata dan syarat kamu. Mama janji mama tak akan pernah beritahu mereka tentang semua ini. Mama akan simpan rahsia ni dengan kemas."

Tuan Zarief Khairil menghampiri Datin Farah lalu menghulurkan tangan untuk bersalaman. Dia tersenyum.

"Mama memang mama yang baik. Akhirnya, Aireen bakal merasai kembali kasih sayang seorang ibu."

Datin Farah tersenyum gembira. "Insya Allah."

Tuan Zarief Khairil (Completed)Where stories live. Discover now