"Boleh, dah larat," Dek kasihnya pada anak, sakit tadi terus hilang ditenggelami rasa sayang. Fatihah mula meleraikan pelukan suami. Dia disuruh Mahfuz untuk bersandar pada bahu katil beralaskan bantal yang disediakan Mahfuz. Masih sakit tulang belakang yang menampung bayi lelaki 3.5kg itu. Namun, sakit segera dilupakan tatkala Mahfuz mengangkat tubuh si kecil. Mata Fatihah berkaca-kaca melihat anak lelaki kemerahan itu.

Satu lagi bantal empuk dialaskan pada riba Fatihah sebelum Mahfuz meletakkan anaknya di situ. Tujuannya mahu menyokong dukungan Fatihah yang tidak kuat mana.

Fatihah diselubungi rasa takut. Tidak percaya pun yang diribanya ini anak kandungnya bersama Mahfuz. Air mata yang hampir menitis pantas diseka tangan kasar suami yang setia di sebelah.

"Jangan risau, abang ada," bisik Mahfuz.

Setelah dikumpul segala kekuatan yang ada, barulah Fatihah menyelak bajunya atas bantuan Mahfuz. Kena sahaja puting pada mulut merah kecil itu, terus ia bergerak-gerak kerana kelaparan. Mata bayinya dipejamkan menikmati rasa susu ibu yang selama ini di alam rahim, dia hanya bergantung pada tali pusat tuk menyerap makanan dan nutrisi daripada Fatihah.

Mahfuz tersenyum kecil. "Nanti  sayang bagi susu dada yang sebelah kiri pula. Biar dua-dua terlatih keluarkan susu," kata lelaki berkenaan. Itu pun pesanan ummi juga beberapa jam yang lalu. Payu dara ibu itu hendaklah terlatih untuk menghasilkan susu di kedua-dua belah, jika tidak hanya sebelah sahaja yang berfungsi baik.

Fatihah leka mengelus pipi anak sulungnya. Kali pertama menyusu, rasa takut itu ada dan rasa geli turut hadir. Fadhilat menyusu badan itu terlalu banyak dan disarankan oleh ummi dan walid. Mata dialihkan pada suaminya yang masih memandang mahu meneman si isteri.

"Abang... Kita dah setuju kan nama hari tu..." Fatihah tersenyum kecil.

"Ya, nama itulah yang akan kita guna untuk anak ni..." sambung Mahfuz. Lengan dilingkarkan pada belakang bahu Fatihah. Seluruh kekuatan mahu disalurkan tanpa putus buat gadis cinta hati.

"Uwais... Anak soleh ummi dan abati..." ujar Fatihah. Nama yang diambil daripada seorang anak soleh di zaman Nabi SAW. Tak banyak yang Mahfuz dan Fatihah harapkan melainkan anaknya besar menjadi anak soleh dan mampu memberikan manfaat kepada orang lain.

Uwais Qarni bin Mahfuz.

Usai memberi susu pada anaknya hingga kekeyangan, Mahfuz meletakkan si kecil ke katil bayi setelah meminta izin isterinya. Fatihah pun sudah lama menilik anak itu dan mahu berehat.

Gadis yang masih sengal badannya itu berbaring di katil. Mahfuz dipinta untuk mendakap seperti tadi kerana dia masih belum puas dipulihkan dengan kasih sayang lelaki ini. Badan dikecilkan pada lindungan Mahfuz.

"Lembik sangat ni... Macam mana nak mengandung anak kedua.." usik Mahfuz. Dia tidak kisah Fatihah mahu bermanja saat itu. Malah lagi dilayan sebolehnya. Kucupan asyik dilabuhkan pada pipi, Fatihah memang suka begitu.

"Sayang dah boleh dah nak mengandung anak kedua, dah rasa kuat," bibir pucat Fatihah membalas.

Mahfuz tersenyum dan menggeleng. "Rehatlah sayang... Nanti Uwais dah besar baru kita fikir tambah anak..."

"Besar mana tu," gumam Fatihah.

"Bila sayang dah putus nifas dan pulih rahim. Rehatlah dulu ya Fatihah... Uwais pun tak besar lagi, ummi dia dah sebut nak tambah anak... Kecil hati Uwais," kata Mahfuz. Kening Fatihah dielusnya lembut.

Pipi Fatihah berona merah bak tomato. Malunya menjerut rasa. Dia cepat-cepat menundukkan pandangan dan menyorokkan wajah di sebalik dada suami.

Mahfuz hampir ketawa dek terhibur, namun ditahan saja. Mengada si isteri hanya suami yang tahu. Masih terlalu awal untuk fikir anak kedua, jiwa seorang ayah belum lagi bersedia. Mahu dibesarkan dahulu Uwais Qarni dalam keberkatan, bertambah anak maksudnya bertambah jua amanah di bahu.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now