16 Muntah

3.7K 308 22
                                    

Tempias keadaan sahabat baik yang bermalam dilokap juga diterima Arif. Hatinya tidak tenang selagi tidak dapat membuktikan bahawa Mahfuz bukanlah seorang pesalah.

Mengikut kertas pertuduhan, Mahfuz didakwa merogol mangsa berusia 24 tahun enam bulan ketika malam kejadian di sebuah hotel pada 11.45 malam. Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan.

Kenyataan ini amatlah bertentangan dengan alibi Mahfuz. Pada detik dan saat kejadian, lelaki itu sedang berada di bilik dengan isteri tercinta. Fatihah telah banyak kali menafikan bahawa kenyataan itu sungguh mencurigakan dan tidak berasas. Tambahan pula, mangsa rogol tidak punya saksi dan bukti buat mendukung tuduhan terhadap Mahfuz.

"Mana isteri Mahfuz?" soal peguambela yang berkhidmat buat rakannya.

Arif melirikkan mata ke sekeliling sesaat dua. Dia kekal menongkat dagu dan membaca kertas-kertas yang terdapat nama Mahfuz di atas meja semenjak tadi lagi. "Sekejap," balas Arif sambil mengeluarkan telefon pintar daripada beg sisi.

"Assalamualaikum, ummi. Fatihah jadi ke nak datang jumpa peguam? Saya dah tunggu lama ni..."

"Waalaikumsalam, Arif. Fatihah hilang sejak subuh tadi... Mungkin ada orang pecah masuk rumah. Walid pula tengah cari Fatihah dekat sekitar kawasan..."

"Allahuakbar... Dia hilang?" Terkejut besar lelaki itu mendengar khabaran tersebut. Hati menjadi semakin tidak sedap. Dia benar-benar takut pesanan Mahfuz semalam tidak dapat tertunai. Mahfuz berpesan untuk menjaga Fatihah semasa ketiadaannya. Sudahnya hari ini berita kehilangan Fatihah pula menerpa.

"Ya... Tak tahulah Fatihah pergi mana atau siapa ambil dia..."

Sayu sahaja suara bonda Mahfuz di corong telefon. Arif semakin sakit kepala. Belum lagi hal reman Mahfuz selesai, ujian baru menempa. Dia meraup wajahnya.

"Ummi hati-hati ya duduk rumah? Kunci pintu dan tingkap... Arif nak uruskan hal mahkamah dulu... Nanti petang sikit Arif datang rumah ummi."

Pesanan itu menjadi penamat perbualan. Kadang-kadang Arif panasaran perihal kakak dan abang Mahfuz yang berada di luar negara. Sedikit pun mereka tidak khuatirkan adik sendiri yang ditahan di lokap? Malah perkahwinan Mahfuz pun tiada kelibat abang dan kakak Mahfuz, menjadikan Mahfuz seolah-olah anak tunggal dalam keluarga walid.

"Ada apa-apa berlaku ke?" Lelaki berkemeja di sebelah memerhatikan perubahan riak wajah Arif.

Arif menggeleng dan tersenyum lemah. "Isteri Mahfuz hilang... Ni mesti ada kaitan dengan perogol tu. Kalaulah kita ada bukti untuk heret Khairul ke pengadilan..."

"Kita fokus untuk buktikan Mahfuz tak bersalah dulu. Sekurang-kurangnya dia tak perlu direman lagi nanti. Hal perogol sebenar tu akan sampai juga ke pihak polis lambat laun. Lama mana bertahan kejahatan sedangkan rahmat Allah ada bersama-sama orang yang teraniaya, " bilang peguambela berkenaan. Secebis senyuman tercalit membalas kegusaran Arif.

Arif mengangguk akur pada suratan takdir. Ujian sahabatnya pahit bak hempedu, terpaksa ditelan tekak yang menerima. Bahunya menjadi pergantungan Mahfuz pada saat itu. Andai dibiarkan Mahfuz sendiri dalam menghadapi segala malapetaka cetusan Khairul, lelaki itu tidak akan dapat bertahan lama.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now