21 STD

4.5K 352 39
                                    

"Saya nak buat ujian HIV tanpa nama," kata Khairul yang bersweater hitam. Dia berkeras mahu ke klinik sesudah kebah demam. Badannya sungguh tidak enak.

Sudah berpuluh ribu digunakan buat bayaran ikat jamin, kini dia bebas ke mana sahaja. Namun, kedua orang tua di rumah telah pun naik minyak atas perbuatan satu-satunya anak tunggal. Elaunnya disekat, gaji bulanan pun dipotong, rumah terpaksa dilelong. Mujur sahaja sang ayah masih mahu mengizinkan Khairul menginap di rumah.

"Sejak bila ada ujian HIV tanpa nama?" lancang kata-kata jururawat senior di kaunter klinik swasta berkenaan. "Cik abang main dengan siapa sampai nak buat ujian HIV?"

Nada suara wanita itu agak kuat hinggakan satu klinik bisa dengar patah perkataannya, maka terdiam sekejap makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang sedang menunggu giliran di atas kerusi tidak jauh daripada kawasan kaunter.

Terus berubah air muka Khairul. Ayat kurang ajar itu didengarkan pada beberapa orang di ruangan menunggu. Dia menahan malunya, hati berkeras hendak dibuat ujian HIV. Sungguh khuatir keterlanjurannya merogol dua orang gadis empat bulan yang lalu telah meninggalkan virus di badan. Kini, berat badannya susut sedikit berbanding sewaktu penangkapan pihak polis. Lama juga tidak mencari Fatihah, hatinya seakan perlahan-lahan melepaskan gadis cinta hatinya pergi. Pengalaman di lokap adalah satu neraka dunia buat Khairul, dipukul beramai-ramai dan dibogelkan. Makanan basi dihidangkan dan pelbagai lagi. Lelaki itu amat bersyukur pada kedua orang tua yang sanggup mengikat jaminnya.

Hadir pula jururawat kedua dan mencelah, "Eh, adalah test tanpa nama kak."

Pandangan beberapa orang di situ berubah. Mereka menilik Khairul atas dan bawah. Barangkali membuat sangkaan bahawa dia lelaki gila seks yang dihukum penyakit HIV.

Akurlah Khairul untuk mengikuti langkah seorang jururawat. Dia dipersilakan duduk ke atas kerusi. Beberapa penerangan diberikan sebelum ujian diambil.

"Alhamdulillah," bisik Khairul. Senyuman nipis terpampang. Dia tidak pun diazab dengan sakit yang tiada ubat. Setitis air mata jatuh ditubir. Segera mendongakkan wajah tak mahu doktor di hadapan sedar akan perlakuannya.

Simptom HIV ini persis seperti demam selesema.  Pesakit akan mengalami pembengkakan kalenjar, lesu dan panas badan. Ada juga sesetengah pesakit yang mungkin mendapat sakit kepala, tekak, sakit badan, muntah atau cirit-birit. Disebabkan itulah Khairul jadi tidak senang duduk.

"Saya nak buat ujian STD juga hari ni. Boleh?" soal Khairul pada seorang doktor lelaki.

Sexual transmitted disease, penyakit kelamin yang berpindah melalui hubungan seks.

"Boleh," balas doktor berkenaan.

Pemeriksaan klamidia dan gonorea dilakukan melalui ujian air kencing dan juga melalui swab dari dalam zakar. Darah Khairul juga diambil untuk membuat pemeriksaan antibodi. Keputusan tidak akan diperoleh pada hari itu, maka dia harus datang pada minggu berikutnya.

"Encik dah kahwin?" Sesudah Khairul melepasi ujian dan ingin pulang, doktor lelaki itu bertanya.

"Belum. Tapi saya memang ada buat hubungan dengan perempuan," jujur Khairul. Zip sweater hitamnya ditarik ke atas hingga ke dada apabila rasa sejuk menyucuk diri.

"Encik bertukar-tukar pasangan?"

"Mungkin... Saya tak pernah tukar pasangan selama lapan tahun. Tapi lima bulan lalu, saya buat hubungan seks dengan dua orang perempuan asing. Saya tak tahu sejarah dorang... Kebelakangan ni pun asyik demam. Zakar saya sakit dan ada kudis. Ya, itu jugalah kali terakhir saya buat hubungan. Saya rasa badan saya dah tak normal. Selalunya kebiasaan lelaki bila bangun pagi zakar akan tegang, tapi saya dah tak macam dulu. Tengoklah video pornografi banyak mana pun, tetap tak berlaku ereksi... tak ada air mani yang keluar," kata Khairul. Dia sudah penat menahan hinaan dan cercaan. Dibuka sahaja bekung di dada kepada doktor itu.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now