15 Pukul

3.2K 299 60
                                    

Perbuatan Mahfuz yang tidak menjamah apa-apa hanya akan memudaratkan diri. Air kosong membilas tekak selama bertahan di sudut memikirkan keselamatan cinta hati. Dia lesu di situ. Diikutkan hati, sekarang juga hendak melarikan diri. Namun mengenangkan tubuh sasa para pegawai polis, Mahfuz hanya mampu bermimpi sahaja. Dia akan mengeruhkan keadaan jika mengambil tindakan bodoh kali ini.

Di pagi yang hening, seorang pegawai polis hadir berdekatan sel yang menahan Mahfuz. Masa dan tarikh dicatat pada satu buku berhampiran warden. Mahfuz bingkas berdiri, sedar dirinya dipanggil lagi seperti semalam.  Mata melihat ke sekeliling, ternanti-nanti kehadiran Hassan. Polis yang sedang menggarinya ini bukanlah lelaki budiman itu.

"Tuan, mana Hassan? Bukan ke dia yang akan iringi saya ke mana-mana?" soal Mahfuz. Pintu sel dikatup rapat oleh warden penjara.

"Kau ingat kau anak raja ke nak kena iring ke mana-mana? Hassan pun ada kerja lain juga," jawab pegawai polis itu selamba. Tidak berminat untuk memanjangkan perbualan dengan tahanan. Sikap tegas bagaikan sudah tertanam pada setiap pegawai di situ.

Mahfuz mengerti dan membatukan diri. Dia berjalan seiring dengan pegawai polis itu. Tidak pasti juga apa yang akan berlaku pada pagi itu.

Di sebelah kiri laluan terdapat sel No. 3 dan sel No. 2 yang dipisahkan dengan sebuah stor yang berkunci. Sel No. 1 pula berada berdekatan sekali dengan pintu ke ruangan lain. Kebanyakan penghuni di situ hanyalah penagih dadah. Mungkin beberapa hari ke belakang, pihak polis telah melakukan Ops Dadah di kesemua daerah. Deria bau Mahfuz pun bagaikan telah sebati dengan bau hancing di situ. Kedudukan sel-sel adalah dalam bentuk U menghadap ke tempat pengawal bertugas, di mana adanya pintu keluar.

Banyak lamunan Mahfuz pagi itu. Dia terpinga-pinga melihat keadaan sekeliling berubah sekelip mata. Kakinya telah pun memijak ke suatu bilik, yakin itu bilik semalam. Cumanya, hanya seorang sahaja lelaki berbadan tegap sedang menanti. Tidaklah telinga akan sebingit semalam, tebak Mahfuz.

"Kau nak berikan alasan 'tak tahu' lagi?" herdik lelaki itu dengan jelingan tajam. Mahfuz dibiarkan berdua dengan lelaki berkenaan sedang pengiringnya akan menjaga pintu keluar.

"Saya memang tak tahu, tuan. Saya tak tahu..." kata Mahfuz.

Mendengar sahaja alasan yang sama, pegawai polis itu meminta sesuatu dari rakannya. Satu guni hitam sebesar kertas A4 diperhatikan Mahfuz kehairanan. Lelaki itu terus menyarungkan kepala Mahfuz dengan guni itu. Tangan yang tergari ke belakang mematikan segala tindakan.

Mahfuz dihuni satu rasa ketakutan. Mainan psikologi hanyalah bertujuan untuk menukarkan jawapannya. Hati ditenangkan dengan zikrullah di kala pandangan menjadi gelap kesemuanya.

"Jawablah, bodoh. Sampai bila kau nak berdalih?" Ditunjal kepala Mahfuz ke tepi.

"Bukan saya yang buat. Saya tak kenal siapa mangsa rogol tu..." terang Mahfuz.

"Aku dah penatlah dengar jawapan yang sama. Orang lain pun bila ditanya, tak habis pura-pura tak bersalah. Kenapa takut sangat? Kau takut?" balas suara garau itu pula. Nadanya seakan menempik. Setiap kali ayat dilantunkan, bergema bunyi lantunan dinding kiri dan kanan.

"Tak tahu," kata Mahfuz. Dia mula menundukkan wajah. "Saya tak tahu."

"Pandanglah aku. Kenapa nak tunduk? Tak cukup kena penyepak semalam?" Satu penumbuk mula dilayangkan pada perut tahanannya. Senyuman kepuasan terukir.

Sekelip mata Mahfuz jatuh melutut ke lantai. Guni di wajah menghalang segala cahaya menerjah ke retina hazelnya. Dunia Mahfuz gelap gelita. Sakit di perut berdenyut hebat.

Hadir pula buku lima bertemu tulang rahang, tersembamlah lelaki itu ke lantai simen. Hanyir darah dapat ditangkap di hujung deria rasa. Bibirnya pecah akibat penumbuk itu.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now