17 Rogol

4.8K 338 57
                                    

Kaki menghayunkan langkah ke suatu kompartment di aras tiga hospital kerajaan. Perlahan-lahan melewati pintu masuk, tidak mahu mengejutkan penghuni bilik itu. Arif hadir kepada Mahfuz sekali seusainya menguruskan reprenstasi mahkamah iaitu satu rayuan rasmi yang dialamatkan kepada Timbalan Pendakwaraya bagi mengkaji semula pertuduhan yang dibuat ke atas OKT. Peguambela Mahfuz telah  menyenaraikan kekuatan dan kelemahan kes pendakwaan rogol yang diutarakan.

Segala pembelaan-pembelaan yang akan digunakan semasa perbicaraan kes juga disenaraikan dengan kemas dan jelas. Jika dilihat, sememangnya mereka mampu mematahkan keterangan serta bukti pihak pendakwaan. Bukannya menidakkan keadilan ke atas mangsa rogol, namun Mahfuz juga punya hak buat membela diri daripada segala pertuduhan berat. Kes rogol bukanlah suatu kes ringan. Namanya asyik menjadi bualan masyarakat, hinggakan ada suara sumbang menokok tambah dan mengeruhkan keadaan.

"Mahfuz," panggil Arif perlahan. Ini bukan kali pertama matanya disajikan  tubuh sahabat sendiri berselirat dengan segala wayar yang tampak asing di mata. Kawasan dada Mahfuz dimonitor dengan baik, degupan jantungnya boleh dikira stabil saat itu. Jika Mahfuz berada dalam keadaan kritikal, pelawat tidak akan dibenarkan menghampiri katilnya.

"Maaf sebab aku selalu susahkan kau..." sapa Mahfuz. Dia terbaring dengan kesan lebam di wajah. Masih mahu mengukirkan senyuman saat badannya sakit dibelasah. Tiada kecederaan serius akibat pukulan, yang ada hanyalah lebam dan bengkak.

"Mahfuz, aku buat semua ni dengan rela hati. Kau pun dah terlalu banyak bantu aku," balas Arif. Lega bertaut di hati, suara Mahfuz kedengaran menandakan kekuatannya kian memulih. Kerusi berdekatan ditarik Arif sebelum dia melabuhkan punggung.  "Aku minta maaf sebab tak dapat bawa kau ke mahkamah sebelum ni... Kalau tak, mesti kau takkan jadi macam ni."

Arif mengusap lebam pada lengan Mahfuz. Tidak tahu apa nasib rakannya ketika di soal siasat. Andaikan ada tulang Mahfuz yang retak atau patah, Arif tidak akan ragu-ragu untuk menfailkan saman ke atas pihak polis yang terlibat.

"Jangan berkalau-kalau... benda dah jadi, Arif. Setidaknya, aku dapat baring atas katil." Mahfuz tersenyum melihat keadaan diri. Dadanya yang terdedah dapat beralun tanpa azab kesakitan seperti semalam. Cuma segala wayar di tubuh terkadang membuatkan dia naik rimas.

"Kes kau akan dikaji semula. Aku dah beri representasi mahkamah. Rehatlah, Mahfuz. Aku tahu yang kau penat sangat sekarang ni..." kata Arif.

"Mana Fatihah?" terdetik nama isteri pula di fikiran Mahfuz. Matanya memandang Arif menanti jawapan. Dia yang terbaring tidak bisa berehat selagi tidak disapa wajah sang isteri.

Diamlah Arif di saat itu. Berkira-kira mahu khabarkan hal yang sebenar atau pun tidak. Fatihah telah menghilang selama 24 jam sejak semalam lagi. Berita ini sangat berat dan akan merosotkan tahap kesihatan Mahfuz. Kadar bacaan jantung Mahfuz dikerling dengan ekor mata. Paparan skrin memperlihatkan angka 130.

"Mana Fatihah?" ulang Mahfuz. Tingkah Arif yang membatu agak menghairankan.

"Dia... Dia ada. Biar aku je yang jaga kau, takut Khairul ambil kesempatan kalau semua keluar rumah. Nanti kalau dah sihat dan bebas reman, kau baliklah jumpa isteri kau." Pahit perbohongan hendak meniti di bibir. Arif terpaksa berbuat begini demi kesihatan rakan baiknya. Tekanan emosi yang sedikit pun saat itu akan meningkatkan bacaan tekanan darah Mahfuz. Tidak ada pilihan lain melainkan menipu.

"Aku rindu dia sangat-sangat. Tiga hari tak jumpa rasa macam tiga tahun lamanya..." Mahfuz tersenyum membayangkan wajah Fatihah. Kalaulah lelaki ini tahu isterinya berada dalam cengkaman binatang, tidak akan ada senyuman lagi di wajah.

"Doalah supaya dia sentiasa dalam lindungan Allah..." bisik Arif. Wajah tidak mahu diperlihat pada Mahfuz lagi. Dia berasa amat berdosa menipu rakan baik sendiri.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now