14 Tahan Reman

3K 325 23
                                    

Semalaman Mahfuz tidak melelapkan mata. Dia kekal duduk memeluk lutut di dinding dan termenung. Zikir menemani detik yang berlalu. Tindakan Khairul yang sebegini menandakan lelaki itu tidak bergurau. Apa yang ditutur pasti akan ditunaikan. Kes rogol ini bukan gurauan. Seorang anak dara sanggup dirogol syaitan itu buat memerangkap Mahfuz di lokap. Kemudian, Fatihah pula akan dihidu lelaki durjana itu.

Mahfuz menurunkan kelopak mata. Dada kirinya disentuh. Dia tidak tahu yang malam telah berganti siang. Waktu subuh berlalu begitu sahaja, tak siapa solat di sini. Persekitaran yang hancing dan menjijikkan yang terbentang tidak pantas buat menjadi tempat beribadah. Pandangan kosong dijatuhkan pada tirai besi.

Hatinya yakin Arif sedang melindungi keluarganya. Barangkali peguambela akan diusahakan. Sungguh dia terlalu banyak berhutang dengan segala budi Arif. Arif kawan yang baik, amat baik. Susah dan senang ditempuh bersama-sama selama persahabatan terjalin dari zaman hingusan lagi.

Polis penjaga lokap melangkah ke laluan antara sel dengan bawaan makanan. Mahfuz melihat sahaja pegawai itu yang diumpama sebagai warden penjara. Dia tidak punya selera. Tahanan reman yang lain sedang menikmati makanan percuma itu dengan lahap sekali. Mungkin di sini mereka tidak perlu gusar memikirkan lauk kais pagi. Mahfuz tahu ada yang bernasib kurang baik setelah terjebak dengan dunia dadah. Mereka dibuang keluarga dan menghadapi getir kehidupan berseorangan.

Hantaran makanan pagi dipandang sepi. Air mineral sahaja yang diambil lelaki itu. Langsung selera tidak ada dalam keadaan hancing dan tengik bau badan tahanan. Lagipun Mahfuz memang tidak boleh menikmati makanan dengan tenteram jika isterinya tiada di hadapan mata.

Mata hazelnya memerhatikan langkah seorang pegawai polis yang membelanya semalam. Mujurlah dia tidak dipaksa berbogel. Maruahnya sedang dipelihara Tuhan.

Pegawai polis itu berhenti benar-benar berdekatan pintu keluar sel.
Dia mencatat sesuatu ke dalam buku. Kemudian, kehadirannya ke pintu tirai besi diperhati warden tadi.

“Ustaz, sinilah,” panggil polis itu.

Mahfuz bangkit segera. Hatinya bertaut lega, dapat pun beredar dari tempat kotor itu. Gerangan polis berbudi itu tidak pun diketahui hinggalah dia memerhatikan tag nama yang tertera.

Hassan.

Nama yang indah maknanya iaitu baik. Mahfuz menghampiri polis itu tatkala pintu sel terbuka.

"Dah boleh keluar ke?" soal Mahfuz polos. Dia yang tidak tahu menahu prosedur tahanan hanya inginkan kebebasan segera. Inilah kali pertama dirasakan sekatan kebebasan, ternyata itulah nikmat yang selama ini lupa untuk disyukuri.

Hassan mengeluarkan gari besi daripada simpanan.  "Belum lagi, ustaz. Kita nak ke tempat lain dan sambung siasatan. Nanti ustaz tahulah."

Kedua-dua tangan dihulurkan Mahfuz memberi kerjasama. Namun, sebelah sahaja yang digari lalu dia diiring ke suatu ruangan di luar. Sehelai baju berwarna unggu diberikan buat menutup badannya yang terdedah semenjak semalam. Dia pun menyarungkan baju sebelum sebelah pergelangan tangan lagi tergari.

Warna ungu ini merujuk kepada banduan reman yang akan menjalani proses perbicaraan mahkamah. Selagi hukuman tidak diputuskan, kumpulan ini akan kekal direman kecuali jika diikat jamin.

Mahfuz mengunci mulut dan membuka mata. Dia menjadi pemerhati di sekeliling. Langkah Hassan diikutnya hingga ke kawasan luar balai. Di situ, satu pacuan telah menunggu Mahfuz. Di dalam perut kereta terdapat tiga orang pegawai polis berpakaian lengkap dan kemas. Salah seorang daripadanya barangkali berpangkat inspektor jika dilihat pada pangkat di bahu.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] Where stories live. Discover now