"Bila ummi nakkan jawapan?" semakin perlahan nada Fatihah.

"Seminggu selepas Fatihah habis haid. Gunakanlah masa suci itu untuk memohon petunjuk istikarah. Ummi minta maaf kalau Fatihah rasa tertekan..." Ummi memerhatikan kerisauan Fatihah. Tangan kekal mengusap lengan gadis itu. Segala kasih dan cinta mahu disalurkan kerana sememangnya Fatihah kehausan perhatian seorang ibu.

"Tak..." nafi Fatihah. "Ummi tak pernah tekan Fatihah... Ummilah sebaik-baik ibu yang Fatihah perlukan... Yang tak pernah marah dan sabar mengajar. Fatihah dah lah lembap bila ummi ajar ilmu agama."

"Jangan kata macam tu. Fatihah tak lembap, Fatihah masih belajar. Nanti bila dah pandai, insya Allah Fatihah juga yang akan ajar zuriat Fatihah." Lembut balasan tidak pernah lekang.

"Ummi..." terkebil-kebil si bunga memandang. Hati rapuh Fatihah semakin membungkam. Dia memandang bonda Mahfuz dengan kacaan mata. Bergenang titis tangisan sebak. Wanita setengah abad ini sering membuatkan dia dikelilingi satu rasa yang tak dapat digambarkan.

"Fatihah tetap anak ummi walaupun mungkin Allah tidak takdirkan jodoh Fatihah bersama Mahfuz. Jangan risau, ya? Ummi dan walid sentiasa menyambut kedatangan Fatihah, biar pun Fatihah akan berpindah ke tempat lain nanti. Tujuan ummi datang malam ni cuma nak sampaikan yang... Mahfuz bersedia untuk menjadi suami. Mahfuz pun dah buat istikarah beberapa hari. Insya Allah, Allah akan permudahkan mana yang terbaik... " sambung ummi.

"Ummi... Insya Allah, Fatihah akan buat istikarah dan berusaha untuk persiapkan diri..." kata Fatihah dalam linangan air mata.

"Jangan menangis, sayang. Dah malam ni, kan? Nanti pedih mata nak tidur..." Puan Munirah gembira melihat anak itu sudah berubah sejauh ini. Nak dibandingkan dengan kali pertama bertemu, sungguh lain sekali. Detik pertama pertemuan, wajah Fatihah kusam sahaja dek seri yang hilang akibat maksiat zina. Kini, wajah yang sama semakin berseri walaupun kelihatan pucat dek gangguan makhluk halus. Serinya lain sekali.

 FATIHAH : MAHFUZ ✓ [C] حيث تعيش القصص. اكتشف الآن