Bab 5

173 21 3
                                    

MEJA yang berselerak segera dibersihkan. Semua pinggan dan gelas yang kotor dikutip untuk dicuci. Lalu dia membawa langkah ke bahagian dapur restoran. Kebersihan di restoran ini dijamin 'A'.

Ditambah pula wujudnya Farhad sebagai pelayan paling tampan. Jadinya, berlipat kali ganda laku Restoran Ikan Bakar itu.

Daya penarik yang ada pada pelayan itu berjaya menarik minat pelanggan untuk merasai hidangan ikan bakar yang tersedia. Sambil menjamu selera, boleh pelanggan cuci mata.

Budi bicara dan roman wajahnya yang tenang, sentiasa mendamaikan hati para gadis. Sejurus kemudian, Farhad mengambil pesanan. Buku nota kecil dan juga pen dikeluarkan dari saku.

"Ya cik? Nak makan dan minum apa?" Farhad menyoal tanpa memandang muka pelanggan. Dia lebih fokus kepada mencatat pesanan.

"Ikan tilapia ada?"

Catatan Farhad terhenti. Dia mengangkat kepala. Anak mata mereka bertembung.

"Sally?" Bibir Farhad mengelopakkan senyuman. Tidak disangka yang mereka akan bertemu di sini. Ini merupakan kali pertama Farhad dan Sally berjumpa ketika waktu tengah bekerja.

Sally tak senang duduk. Muka surat menu makanan ditutup. Terus patah seleranya.

Lengannya disiku orang sebelah. Serentak membuatkan Sally tersentak.

"You kenal dia ke?" tanya Lina, rakan sekelas Sally. Bercantum habis kening Lina tatkala Farhad tidak lekang tersenyum.

"Saya teman ..." Farhad cuba menyampuk.

"No ... I tak kenal dia. Memang taklah I nak berkawan dengan waiter," komen Sally sinis.

Hati Farhad terguris. Lelaki segak itu terkedu. Sedikit demi sedikit dia lakarkan senyum tawar. Tangan kidal kembali mencatit pesanan.

"Bagi I ikan tilapia. Minuman pula, fresh orange dua. Thanks," ucap Sally acuh tak acuh. Perbualan dia bersama rakannya diteruskan. Kehadiran Farhad di sisi seolah-olah tidak wujud.

Farhad melangkah pergi dengan hati yang lara. Tanda tanya berlegar-legar di benak fikiran. Ada sebarang kesalahan yang dia lakukan? Mengapa Sally tiba-tiba memulaukan dirinya?

Dia tolehkan kepala sedikit ke belakang sejurus menekan loceng di kaunter. Buat kali kedua mata mereka bersabung, sekalipun dari jarak yang jauh.

Farhad mengorak lingkar, dia tak nak dirinya disebut sebagai makan gaji buta.

Sally keserbasalahan. Sekiranya dia tahu di sini adalah tempat Farhad bekerja separuh masa, semestinya dia tidak akan singgah di restoran ini. Dia bukan apa, cuma malu jika ketahuan yang teman lelakinya bekerja sebagai pelayan.

"Beb, handsome kan guy tu? Tengah lap meja pun sweet," bahas Lina tentang pelayan tadi. Disenggol lengan Sally meminta agar berhenti melamun.

Sally mengerling sekilas ke arah susuk tubuh yang dikatakan Lina. Diketap giginya sekuat mungkin. Teman lelaki aku juga yang kau minat, desis hati Sally.

Bengang.

Salah dia juga, siapa suruh tak mengaku yang dia mengenali Farhad?


KAKI LANGIT kelam dan luas terbentang. Gugusan bintang menerangi keluasan langit. Maha suci ciptaan Allah. Tiada rembulan yang bersinar kini.

Dia mengira gugusan bintang yang membentuk corak atau lebih dikenali sebagai 'buruj'. Isya sendiri kurang pasti apa nama buruj tersebut. Sudah bertahun dia meninggalkan alam persekolahan.

Janji SetiaWhere stories live. Discover now