Bab 25

126 17 5
                                    

RALAT. Suara Doktor Uzair yang menyampaikan khabar bahawa keadaan Farhad di tahap kritikal sehingga kini terngiang-ngiang. Sejak subuh tadi, tiada sebarang tindak balas.

Tanda tanya tentang penyakit yang dihadapi oleh Farhad masih belum terjawab. Dia beredar dari butik sejurus mendapat berita ketidaksedaran bakal suaminya. Hanya Tuhan yang tahu apa yang berlegar di kotak fikirannya.

Farhad menderita penyakit apa? Ingatannya mengimbas kembali wajah Farhad beberapa hari yang lalu. Ada sesuatu yang tidak kena pada matanya. Mata putihnya kekuningan.

Air mata Isya berjujuhan. "Barah hati?"

Bersahaja Isya menututurkannya. Dia lalu memecut keretanya. Empat tayar bergolek di atas lebuh. Farhad harus terus hidup.

Dia selamat sampai di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Bergegas kaki melangkah. Mulut mengulum bait-bait doa.

"Tengku Puteri Qalisya."

Isya terhalang daripada meneruskan jangkah.

"Awak buat apa kat sini? Bukan ke sepatutnya awak cuti? Bila orang dah bagi cuti tu, duduk ajelah kat rumah," bebel Doktor Kamarul tidak bertempat. Doktor itu kalau sehari tidak menyakitkan hati, memang tidak sah hidup.

"Saya ke sini bukan untuk bekerja! Ke tepi!"

Doktor lelaki yang berketinggian rendah itu terdorong. Dia terkejut. Doktor Kamarul juga perasan akan air mata yang mengalir di pipi Isya.

Sungguh, di dalam otak Isya hanya fokus terhadap Farhad. Hanya Farhad, tiada orang lain.

Dia melangkahkan kaki menuju ke unit rawatan rapi. Setibanya di ICU, terlihat susuk badan bakal kakak iparnya terduduk rengsa. Mereka berdua belum pernah bersua muka, namun Farhad pernah mengirimkan foto kakak kesayangannya itu.

"Dia ialah kakak yang terbaik buat saya." Suara Farhad yang pernah memberitahu tentang di sebalik kegalakan kakaknya itu, tersembunyi 1001 pengorbanan demi menjaganya.

"Assalamualaikum, Kak Hana."

Hana mengangkat mukanya yang sembap. "Waalaikumussalam."

"Nama saya, Isya," ucap Isya sekali gus melabuhkan punggung di kerusi berhadapan ICU. Dia menguhulurkan tangan untuk bersalaman.

"Aku kenal kau," tutur Hana. "Tengku Puteri Qalisya."

Isya menjadi bisu. Terasa seolah-olah Hana tidak menyukai dirinya. Ada kebencian dalam renungan mata yang menatap tunak.

"Tengku?" Seorang lelaki berkulit putih menyapa Isya yang diam tidak berkutik.

Itulah suara yang di hujung talian tadi. Isya menoleh, serentak itu bangun dari duduknya.

"Farhad, masih belum sedarkan diri," beritahu Doktor Uzair kepadanya.

"Untuk pengetahuan Tengku, dia ... menghidapi penyakit barah hati sejak lima tahun yang lalu."

Isya terduduk kembali. Kalau boleh, dia tidak mahu mendengarkan apa-apa lagi penjelasan daripada doktor itu.

"Akibat Farhad enggan melakukan rawatan lebih lanjut, dia didapati koma sekarang. Tahap kansernya juga, sudah di tahap akhir," sambung Doktor Uzair yang berpakaian lengkap perawat unit rawatan rapi itu.

Kedua-dua belah telinganya ditekup. Hatinya menjerit tidak mahu untuk mengetahui kebenaran. Andai kata, dia mempunyai kudrat untuk membisukan Doktor Uzair, pasti akan dia lakukan. Jujur, kebenaran itu terlampau perit!

Onak dan duri apa lagi yang harus mereka tempuhi? Lebih kurang 4 minggu sahaja lagi mereka berdua bakal disatukan. Adakah perpisahan jalan yang terbaik untuk mereka?

Janji SetiaWhere stories live. Discover now