Bab 24

115 14 0
                                    

HUJUNG bulan ini. Beberapa minggu sahaja lagi. Kembang kempis dada Isya menahan getaran kebimbangan. Kendatipun solat istikharah telah dilaksanakan, bibit kerisauan tetap ada.

Benarkah Farhad itu seorang yang setiawan dengan cinta? Mirip seperti apa yang dikatakan oleh orang tuanya? Adakah benar dengan berlakunya perkahwinan, reputasi kerjanya juga tidak akan terjejas? Tidak terlalu awal?

Satu per satu tanda tanya menghunus isi kepala. Semakin kuat bunyi tapak kasut berderap, semakin ligat otak benaknya bertukar soalan.

Fail pesakit dihulurkan kepadanya. Kebimbangannya tumpas. Isya tercenung dengan kehadiran Doktor Kamarul. Paras doktor senior itu bengis seperti kebiasaan. Langsung tidak pernah memaniskan wajah.

Isya menelan air liur, dia ada melakukan sebarang kesilapan di luar kawalan?

"Tengku Puteri Qalisya, saya dapat khabar yang awak selalu datang lewat. Cis, baru jadi doktor pelatih tapi dah pandai berlagak."

Isya melongo. "A ... apa? Datang lewat? Doktor nak kata yang saya ada masalah disiplin ke sekarang?"

Kesinisan Doktor Kamarul amat menjengkelkan. Isya mengaku, benar dia terlewat hadir ke hospital hari ini. Namun, hari ini merupakan pertama kali. Bukan 'sering kali'.

"Awak ingat, awak anak Tengku awak boleh buat hospital ni macam bapak awak punya?"

Keluasan mulut Isya bertambah. Doktor Kamarul ini ada masalah rumah tangga agaknya sampai perlu membuli doktor pelatih? Sikap sebenar doktor senior itu, sememangnya sudah meniti dari satu lidah ke satu lidah.

Cengki doktor itu seorang yang kuat membuli!

"Hei, doktor. Jangan nak libatkan nama bapak saya pula dalam kes ni ya. Be profesional," tegas Isya seraya menuding jari.

"What do you know about 'be profesional'?"

Isya menarik nafas seberapa dalam yang mungkin. Kemudian ditiupkan lembut. Dia mengimbas semula pesanan yang pernah dipantakkan oleh Irwan.

'Doctors are heroes. To be a hero, Isya pun tahu kan? Sentiasa bersedia menghadapi ujian yang bakal mendatang.'

Isya memalingkan tubuhnya ke belakang. Tiada faedahnya berdiri di situ lama-lama.

"Tengku Puteri Qalisya."

Nama penuhnya diseru sekali lagi. Terpaksa berpusing semula ke arah tadi.

Buk!

Sebuah fail dilemparkan ke wajahnya. Komen pedas turut dilemparkan, "Jangan baru jadi doktor pelatih, dah berani naik kepala."

Sudah puas menyakitkan hati, doktor lelaki itu beredar tanpa mengucapkan maaf.

Isya mencangkung untuk mencapai fail tadi. Setitis air jernih mula membasahi pipi gebunya.

"Zaf, nampak apa yang terjadi tadi. Berhentilah menangis."

Pantas Isya menyapu titisan jernih yang pecah berkeping-keping itu. Dia bangkit dari kesedihan. Teragak-agak bibirnya mengukir senyuman.

Sofea menengadah melihat Isya sambil senyum menyimpul di bibir. Dia melambaikan tangan ke arah doktor yang telah merawatnya sehingga dia kebah daripada demam.

"Terima kasih, doktor. Sofea dah boleh balik rumah sekarang," ujar Sofea dengan penuh rasa gembira.

"Alhamdulillah ... Sofea memang budak baik. Bila dah sampai rumah nanti, jangan lupa makan ubat tau," ujar Isya sambil membelai rambut Sofea.

Sofea menganggukkan kepala. Dia pasti akan menuruti nasihat tersebut.

"Jangan layankan sangat Doktor Kamarul tu. Dia aje doktor senior yang banyak tunjuk lagak kat sini. Zaf dulu pun pernah dimalukan depan pesakit, semuanya sebab dia."

Janji SetiaWhere stories live. Discover now