Bab 27

148 17 1
                                    

DEBU kerisauan berterbangan mengusik kalbu Zafran. Perutnya kosong menahan lapar, batang tekaknya kering menahan dahaga. Dia menekan perut, berharap agar berhenti berbunyi.

Semua pengorbanan ini demi pemeriksaan kesihatan kelak. Biarlah dia berlapar sekarang, asalkan Farhad dapat membuka mata seperti sediakala. Asalkan juga senyuman terlukis di bibir Isya yang kini terlalu mahal untuk tersenyum.

Posisi perbaringannya serba tak kena. Sebentar ke kiri, kanan dan menelentang. Malamnya dikurung gelisah. Atmanya laksana dimangga.

"Betul ke keputusan yang aku buat ni?"

Rasanya masih belum terlambat untuk dia menarik kata-katanya kepada Doktor Uzair sore tadi.

"Awak yakin nak jadi penderma hati kepada Farhad?" soal Doktor Uzair tidak main-main.

"Ya, saya yakin. Saya mempunyai tahap kesihatan yang baik, insya-Allah saya boleh mendermakan sebahagian hati saya."

"Baiklah, kalau itu keputusan awak. Bermula malam nanti, awak kena berpuasa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan esok." Terngiang-ngiang pesanan Doktor Uzair.

Buah fikiran Zafran membolak-balikkan hati.

"Aku tak boleh terus-menerus macam ni."

Dia mengayun langkah menuju ke bilik yang lain. Sesuka hati dia sahaja menceroboh bilik Datin Wati.

"Mommy ...." Zafran bersuara lirih.

Datin Wati tercelik. Sangkanya suara tersebut sekadar khayalan mimpi. Ternyata realiti.

Sebelah badan Datin Wati yang masih mempunyai kudrat untuk bangun, dipaksa bergerak. Manakala sebelah badannya lagi sudah lumpuh akibat impak daripada strok.

Zafran membantu Datin Wati sebelum merebahkan badan di sisi wanita itu.

"Kenapa ni? Dah pukul satu pagi tak tidur lagi?" tanya Datin Wati mengagak ada beban di pundak puteranya.

"Zaf laparlah, mommy ...."

"Kalau lapar ... makanlah. Mommy ada tinggalkan sedikit lauk kat dapur. Itulah, tadi mommy ajak makan, tak nak." Leteran kedengaran.

"Tak boleh ... Zaf puasa." Mulut Zafran terkatup. Dia terlepas bicara!

"Puasa?" soal Datin Wati dalam kehairanan. "Puasa apa pukul satu pagi macam ni?"

Dia terseringai menafikan, "Tak ada apalah, mommy. Zaf masuk tidur dulu. Mommy sambunglah tidur, sorry ganggu."

Bergegas Zafran beredar dari bilik itu. Datin Wati berasa kepelikan dengan gerak laku anaknya. Menggelabah seolah-olah ada sir yang tersirat di hatinya.

Pejam celik, keputusan pemeriksaan telah keluar. Debaran bersambung. Hasil keputusan daripada pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ke atas diri Zafran, didapati bahawa dia ialah penderma yang sepadan. Tambah pula, lelaki itu tidak menghidapi sebarang masalah kesihatan dan memiliki hati yang bersaiz besar.

Doktor Uzair cukup berpuas hati dan bersyukur lantaran doa mereka sekeluarga telah terjawab. Namun doktor itu tetap harus mendapatkan persetujuan daripada pihak berkuasa sebelum pendermaan dilakukan.

Ulas delima Zafran mengorak senyum tipis. Dia ikhlas, namun bibit gentar berterusan menghentak dada.

"Saya harap, doktor boleh rahsiakan siapa penderma tu," suara Zafran setelah lama berfikir.

"Baiklah. Tapi kenapa pula kalau boleh saya tahu?"

"Saya cuma tak nak buat mereka rasa terhutang budi dengan saya," khabar Zafran.

Janji SetiaWhere stories live. Discover now