Bab 20

193 21 13
                                    

BANG maghrib menjejali ke ruang udara tepat sahaja Tengku Aariz meletakkan kereta di petak parkir. Dua wanita bertelekung keluar dari sudut kereta melalui pintu yang berbeza. Kalimat-kalimat azan terus bergaung dari pembesar suara di menara masjid.

Isya dan Che Puan Medina memugar berjalan menuju mesegit. Cekatan mereka masuk ke dalam saf wanita. Manakala Tengku Aariz bergegas mengambil air sembahyang semula, wuduknya batal tegal terbuang angin sebaik-baik beredar dari pekarangan rumah.

Lima minit ke depan, alunan iqamat menyusul. Para jemaah bangun sebaik sahaja seruan terakhir untuk memdirikan sembahyang tersebut dilaungkan. Sementara mengamati bacaan iqamat, Isya menunduk menoleh ke arah budak perempuan di sebelahnya.

‘Anak siapalah agaknya? Kecil-kecil dah pandai solat di masjid. Berbeza dengan zaman aku, seusia ni aku masih merengek nak tengok wayang.’ Hatinya berdetik terharu. Riak durja anak kecil itu tampak sukacita apabila dapat solat berjemaah.

‘Sejuk perut mak awak, mengandungkan awak.’ Isya menggumam sepanjang suara bilal membaca iqamat. ‘Tapi ... aku macam pernah tengok muka budak ni.’

Persoalan yang menujah fikiran, dicampak keluar. Dia mengosongkan kotak fikiran, dia harus khusyuk. Selawat ke atas junjungan nabi terkumat-kamit diucapkan perlahan pada delima merekah itu sebelum melafazkan niat solat fardu maghrib mengikuti imam.

Lafazan takbiratulihram 'Allahuakbar' kedengaran lantang. Lalu diikuti oleh semua jemaah yang hadir. Selesai bacaan doa iftitah, imam yang memimpin solat membaca surah al-Fatihah dengan tajwid yang kemas. Begitu juga dengan surah al-Kafirun yang dibacakan pada rakaat pertama.

Surah al-Fatihah dibaca wajib pada setiap rakaat.

Tamam memberi salam pada rakaat akhir, Isya menoleh ke kiri. ‘Mana budak tadi?’

Jantungnya berdegup laju. Matanya melingas-lingas memandang ke belakang. Pantas dia membingkas. Dia yakin, budak itu datang berseorangan.

Isya berlalu pergi dari situ, Che Puan Medina terpinga-pinga. Bacaan doa pun belum selesai, si kenya itu sudah beransur pergi. Tergeleng-geleng kepala Che Puan Medina.

Isya memakai selipar miliknya. Dia membuka langkah seribu seolah-olah dikejar jembalang. Dia cepat kaki membuntuti budak perempuan itu.

“Hai meow ...,” suara budak perempuan yang memakai telekung bercorak strawberi itu.

Isya memerhati dari sela-sela daun-daun. Deruan nafasnya mengap-mengap. Budak perempuan itu membelai seekor kucing berwarna oren.

Perlahan-lahan Isya mendekati budak itu. “Hai oyen ....”

Budak perempuan itu sedikit terperanjat sejurus seseorang bertinggung di sebelahnya. Isya turut membelai haiwan kesayangan nabi itu dengan jari-jemarinya.

“Comel kan dia?” Budak kecil itu menyoal.

Cute, like you,” jawab Isya sambil memuji.

Budak perempuan itu menguntum senyum. Namun, senyuman yang agak bergula itu kian mengendur. Kecewa.

“Tapi mama, Sofea tak suka kucing.”

Sofea? Isya sedikit terkejut. ‘Itu bukan ke nama anak ....’

Bunyi perut menggerodak menghentikan monolognya. Di sini, hanya ada mereka berdua. Sudah pasti bunyi itu datang dari perut mereka berdua.

Sorry, auntie ...,” tutur Sofea lalu tersengih.

Hungry?

Si kecil itu menggerakkan kepalanya ke atas dan ke bawah.

Janji SetiaWhere stories live. Discover now