Bab 30

332 19 18
                                    

SURIA memancarkan teriknya. Terik yang menyengat seluruh anggota tubuh. Pakaian trek Farhad kibaskan menghantar sedikit kesejukan pada luaran. Pokok-pokok juga tidak menari terliang-liuk dengan ketiadaan angin.

Dia duduk untuk melepas kecungapan. Kemudian ia menenggak air untuk membasahkan tekak. Jemala mendongak ke arah durja Zafran yang berbalam-balam dalam kesamaran mentari.

Wajah maskulin itu, berjaya mencuri perhatian para gadis yang lalu-lalang di taman. Zafran menyedari hal tersebut. Sementelahan dia merupakan duda terhangat di pasaran, dia harus bijak berpura-pura.

“Kau kena selalu bersenam, Far. Jangan terlampau taasub dengan kerja, sampai badan binasa,” ujar Zafran sembari melakukan regangan.

“Aku pengsan semalam bukan sebab kerja. Tapi sebab kau.” Farhad menuding jari ke arah Zafran sesudah bangun.

“Aik, aku pula yang dipersalahkan?”

“Betullah. Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba aje cakap nak pindah luar negeri. Kau dah kenapa?”

Zafran mengorak senyum sumbing. Tegangan diteruskan. Lalu ia berlari setempat.

“Aku nak mulakan hidup baru dengan mommy aku. Aku nak pergi jauh dari Sally, aku nak pergi jauh dari bayangan anak aku, aku nak pergi jauh dari ....” Ujarannya mati di situ. Lantas Zafran memajukan langkah beberapa tapak, membiarkan Farhad terselingar.

“Aku nak pergi jauh dari kisah silam aku.”

Farhad maju mendekati Zafran, lalu menyentuh bahu lelaki itu. “Apa maksud kau? Kau masih cintakan isteri aku?”

Membulat biji mata Zafran. Tuduhan itu berasas. Sememangnya Isya memegang watak di dalam kisah silamnya.

“Tak adalah. Kau jangan salah faham pula,” jawab Zafran. Sekarang gilirannya pula menyentuh bahu Farhad.

“Tapi,” koma menghiasi pertuturannya, “Aku nak kau berjanji yang kau akan setia menjadi seorang suami yang terbaik untuk Isya, serta menjadi ayah yang terbaik untuk anak-anak kau. Janganlah jadi macam aku.”

Aktiviti berjoging telah selesai. Farhad ketinggalan tiga meter di belakang. Hatinya mengeluh berat lantaran tidak lama lagi dia bakal kehilangan seorang sahabat sekali gus penderma yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu ketika dahulu.

Zafran melangkah ringan menuju ke kereta yang terletak jauh sedikit dari kawasan taman. Bibirnya terukir bahagia sepanjang melangkah. Lega kerana dapat menitipkan amanah kepada Farhad.

Biarlah hanya dia seorang, yang pernah memungkiri janji setia pada Isya.

“NAH, susyi.”

Terangkat sebelah kening Isya yang nipis itu. Menyambut perlahan lalu gesit memeriksa inti yang dikatakan. “Wah ... susyi tuna! Ada coffee latte lagi! Terima kasih, Far!”

“Jangan berterima kasih pada Far, tapi berterima kasih pada Zaf.”

Jungkitan semakin tinggi. “Berterima kasih pada Zaf? Kenapa pula?”

“Sebab dia yang belikan susyi tu. Ha ... coffee latte ni Far punya. Ibu mengandung tak baik minum kopi,” ujar Farhad seraya mengambil alih secawan coffee latte itu.

Isya menjebir. Banyak pantang larang yang perlu dia patuhi.

“Zaf masih tekad nak pindah ke luar negara. Huh ... Far dah tak ada kawan joging,” keluh Farhad panjang sambil melabuhkan duduk di sebelah Isya.

“Alah ... Azad kan ada,” kata Isya yang masih mengambek.

“Azad tu boleh harap masa lepak mamak aje. Dengan Zafran anytime.”

Janji SetiaWhere stories live. Discover now