Perhatian perempuan itu beralih ke arah banduan wanita yang baru sahaja dibawa masuk ke dalam ruang kerjanya. Dia menghela nafas berat.

"Kenapa dia nampak lemah sangat ni? Korang tak bagi dia makan ke?" Soal wanita itu kepada Sarai.

"Dia tak mahu makan." Jawab Sarai sebaris.

Perempuan genit itu mengurut pelipisnya. Kemudian, dia melangkah sedikit menghampiri banduan wanita itu.

"Harap kau berhenti seksa diri kau dan beri kerjasama hari ni, Wulan. Sayang sekali kalau kau pun berakhir macam dia." Ujar perempuan itu. Mata coklatnya memandang ke arah satu sudut yang dipenuhi darah. Dua orang askar sedang memasukkan jasad seorang lelaki berkulit gelap dan berjambang hitam ke dalam beg mayat.

Wulan yang masih lagi dipegang kuat oleh askar-askar itu beransur-ansur mengangkat kepalanya melihat ke arah yang sama.

Saat itu, nadinya seakan terhenti. Ketakutan menguasai setiap inci jiwanya. Dia hampir tidak dapat bernafas.

"Apa yang korang dah buat pada dia?!" Jerkahan Wulan bergema. Dia mula meronta semula.

"Bardeen! Bardeen!!"

Wulan menjerit, melaungkan nama itu berkali-kali. Dia berharap panggilan itu akan menyedarkan rakannya yang sudah terkulai. Dia tidak dapat menerima apa yang dilihatnya sekarang. Wulan cuba meyakinkan dirinya bahawa semua ini tidak benar-benar berlaku.

"Dia yang tikam diri dia sendiri. Kau tak boleh salahkan kitorang atas kebodohan dia." Perempuan yang sedang bersandar pada meja itu berkata lagi.

Air mata Wulan sudah tidak dapat dibendung. Dia meraung-raung tatkala menyaksikan beberapa orang tentera beruniform biru membawa beg mayat berwarna perak itu pergi. Rontaannya semakin ganas.

"Bardeen!!"

Tangisan Wulan semakin tidak terkawal, sehinggalah pintu makmal itu tertutup dan mayat Bardeen lenyap dari pandangan.

Akhirnya, Wulan tertunduk semula. Perlahan-lahan, suara rintihannya semakin tidak kedengaran. Kini, hanya badannya sahaja yang masih terhinggut-hinggut.

Hening. Tiada siapa yang bersuara lagi. Perempuan berkot kelabu menggelengkan kepalanya. Jelas dia semakin jemu menghadapi situasi itu.

Tanpa dijangka, sepi yang sebentar itu sedikit demi sedikit diganti dengan tawa. Semakin lama ia semakin kuat. Gema histerianya memenuhi ruang tersebut. Para saintis berhenti membuat kerja dan memandang ke arah suara itu.

"Kau tak dapat apa-apa daripada dia, kan...?" Wulan merenung perempuan di hadapannya. Masih ada air mata yang mengalir di pipi, namun tawanya semakin kuat.

Perempuan genit itu hanya diam dan membalas renungan Wulan dengan rasa jengkel.

"Kesian kau, Doktor Nina. Kau tak kan dapat apa-apa daripada aku juga!" Wulan terus ketawa seperti orang gila.

Wajah Doktor Nina bertukar masam. "Letak dia kat situ."

Pantas askar-askar itu menyeret Wulan ke tengah makmal, menghampiri sebuah kerusi putih yang besar di lokasi itu. Pada bahagian kirinya terdapat sebuah blok meja dengan papan kekunci pelbagai bentuk dan fungsi. Seorang jurutera lelaki telahpun bersiap sedia, hanya menunggu arahan.

Wulan dipaksa duduk di situ. Secara automatik, pergelangan tangan dan kakinya dibelenggu oleh gelang besi yang merupakan sebahagian daripada kerusi itu. Lingkaran logam seakan halo bergerak dari belakang kerusi ke hadapan dan dipasangkan pada kepalanya.

Seorang saintis mencucuk satu tiub pada urat di pelipat tangan perempuan itu. Cecair jernih meluru masuk ke dalam badannya.

Wulan memandang tajam cermin legap melengkung yang berada di bahagian atas bilik itu. "Kau takkan dapat apa yang kau nak! Kau dengar tak!" Dia melaung geram, begitu pasti ada orang di sebaliknya.

Doktor Nina sudahpun berada di sebelah jurutera tadi. "Program Divinus, percubaan 12." Beritahunya kepada lelaki itu.

Jurutera itu mengangguk faham lantas menekan beberapa kekunci di hadapannya. Skrin hologram lebar timbul di atas meja itu. Satu butang besar ditekan. Lingkaran logam pada kepala Wulan mengeluarkan cahaya kebiruan menandakan ia telah diaktifkan.

Saat itu, tubuh Wulan menjadi kejang seperti terkena sawan. Anak matanya kini bertukar menjadi putih. Mulutnya terbuka tanpa suara.

Doktor Nina fokus meneliti skrin hologram itu. Selepas hampir lima minit, apa yang diharapkan terpapar pada skrin itu masih tidak muncul.

"Tambahkan dos dan frekuensi." Arahnya kepada orang bawahannya itu. Jurutera tersebut terus menurut.

Wulan menggelepar dengan lebih dasyat. Kerusi itu juga turut sama bergoncang. Kedua belah tangannya tergenggam, manakala giginya diketap. Urat-urat jelas timbul terutamanya di bahagian kepala. Seluruh badannya terasa seperti sedang dibakar.

Tidak sampai dua minit kemudian, Wulan tiba-tiba berhenti bergerak.

"Tak guna." Doktor Nina menepuk kuat skrin yang kosong itu. Seperti sebelumnya, Wulan berjaya menghalangnya daripada melihat visual visi di dalam fikirannya.

Doktor Nina melirik kepada paparan nadi Wulan yang masih menunjukkan bacaan. Terkeluar satu keluhan berat. Perempuan ini memang menyusahkan hidupnya.

"Bawa dia semula ke dalam kurungan." Perintahnya kepada empat orang askar yang sedang tegak di tepi dinding.

Tanpa sebarang soalan, mereka akur.  Jasad longlai itu ditanggalkan dari kerusi dan dibawa pergi.

"Inilah sebabnya aku suruh korang jaga dia betul-betul. Macam nilah jadinya bila dia terlalu lemah!" Doktor Nina melepaskan kekecewaannya kepada Sarai yang sedang bersandar di tepi pintu.

"Alat kau tu yang bermasalah. Kau dah banyak buang masa dengan benda merapu tu." Balas Sarai yang sejak tadi hanya menjadi pemerhati.

"Aku tau apa yang aku buat. Kalau kau berani bagi pendapat bodoh kau tu lagi, kau pun akan rasa Cakera Alpha ciptaan aku tu." Nada Doktor Nina tegang.

Sarai mengangkat sebelah keningnya. "Aku tak rasa kau mampu."

Lelaki itu turut beredar dari makmal tersebut. Doktor Nina menjeling dengan perasaan geram berbaur marah.

Satu suara besar dan dalam tiba-tiba datang dari pembesar suara.

"Kau ada satu peluang lagi."

Doktor Nina tersentak dan terus menoleh ke arah cermin satu hala yang terletak di atas makmal itu. Jantungnya berdegup laju. Peluh mula berbutir di dahi.

Perlahan-lahan dia menekan butang interkom.

"Saya... saya akan pastikan ia berjaya selepas ni. Saya janji, Presiden Rengeiz..."

PARAGONWhere stories live. Discover now