[17]

329 70 4
                                    

DALAM kesuraman malam, Nell mengekori langkah pantas perempuan di hadapannya. Mereka sudah berjalan beberapa blok menjauh dari rumah Kaio dan kini berada di bangunan rumah pangsa yang lain. Bangunan itu tidak terasa jaraknya kerana dibina dengan rapat sekali.

Ada hampir 600 buah bangunan di kawasan itu dan semuanya kelihatan seakan-akan melekat antara satu sama lain. Kawasan itu dibina sendiri oleh penduduk di situ tanpa kontraktor yang sah. Binaannya jadi tidak seragam dan berbahaya.

Nell dan Azaka menaiki lif yang begitu usang ke tingkat 17. Mereka melalui sebuah koridor yang kelam dan berbau kepam. Hanya ada satu lampu yang rosak, berkerdip-kerdip di laluan itu. Akhirnya, mereka tiba di sebuah unit bernombor 1715.

"Selamat datang ke istana aku. Masuklah. Buat macam rumah sendiri." Pelawa Azaka. Mereka masuk ke ruang yang gelap dan sempit itu.

"Besar istana kau." Perli Nell.

Azaka tersengih. "Ya, mungkin rumah yang paling kaya kat sini. Sebab rumah aku ada tingkap dengan pemandangan menghala ke laut. Sewa agak mahal."

Perempuan itu memetik suis lampu  yang berada di sebelah pintu. Di ruang tamu yang begitu kecil itu, hanya ada sebuah tilam buruk, televisyen dan sofa yang mungkin sudah berusia belasan tahun.

Azaka pantas menghempaskan dirinya ke atas sofa yang berada di sebelah dinding. Dia menghembuskan nafas lega kerana akhirnya dapat berbaring. Nell melabuhkan punggungnya di atas tilam sambil memerhatikan Azaka.

"Kau tinggal sorang kat sini?" Soal Nell Sambil membuka kain penutup di mukanya dan jaket kulit biru gelap yang dipakainya. Jaket itu telah diambil Azaka dari almari pakaian Kaio tanpa pengetahuannya.

"Yup." Balas Azaka.

"Kau sorang-sorang kat sini... kau tak takut ke dengan aku?" Nell teringat Kaio dan Sonny yang berulang kali menyatakan bahawa dirinya amat bahaya.

Azaka ketawa. Jelasnya dia tidak mengambil serius kata-kata budak itu.

"Aku dah pernah jumpa ramai Parabrid. Aku tau yang mana yang baik dan jahat." Gadis itu berkata sambil memandang siling.

Nell diam memikirkan perkara itu. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah berjumpa dengan Parabrid yang lain di negaranya.

"Ada lagi ke Parabrid yang macam aku kat sini?" Nell rasa ingin tahu.

Perempuan itu berfikir seketika. "Ada la beberapa orang. Operasi kerajaan makin kerap, banyak yang dah kena cekup. Lagipun, orang ramai akan dapat hadiah lumayan kalau berjaya bagi maklumat atau tangkap Parabrid. Sekarang ni, makin berkurangan la diorang."

Nell senyap seketika. Nasib Parabrid di sini juga sama buruk.

"Kenapa kau tak serahkan aku? Mungkin dengan ganjaran tu kau boleh naik taraf 'istana' kau ni." Tanya budak lelaki itu.

"Sebab aku baik." Azaka tersengih. "Dan aku tak bercadang nak tinggal kat sini selama-lamanya pun."

Nell masih tidak sepenuhnya percaya pada Azaka. Dia masih sangsi tentang tujuan perempuan itu. Namun dia hanya mendiamkan diri.

Azaka bangun dari sofa itu. Dia pergi mengambil senaskhah surat khabar dan alat kawalan jauh televisyen. Kemudian, perempuan itu duduk bersila di hadapan Nell.

"Aku rasa kau patut tengok ni." Azaka menghulurkan akhbar itu kepada Nell. Kemudian, perempuan itu menekan alat kawalan jauh dan menghidupkan televisyen.

Nell meneliti akhbar itu. Perasaan berdebar menerpa sebaik sahaja dia terlihat berita utama di muka depan.

Beberapa kali dia membaca tulisan besar yang berbunyi 'PEMBERONTAK GANAS' beserta gambarnya yang begitu kabur, seperti diambil dari kamera litar tertutup. Isi artikel itu menceritakan dengan agak terperinci tentang kejadian di rumah mayat sehari yang lepas.

Saat itu juga, berita di televisyen memaparkan cerita yang sama. Kali ini mereka menayangkan sepotong rakaman dari kamera litar tertutup itu.
Dia dapat melihat aksi pergelutannya dengan para pekerja dan askar-askar di dalam bilik pembakaran mayat tempoh hari. Wajahnya tidak begitu jelas kerana pergerakannya yang pantas.

Azaka mematikan televisyen.

Mata Nell yang buntang masih terlekap pada skrin yang sudah gelap itu. Peluh memercik.

"Sekarang kau tahu kan... kau dah jadi orang yang paling dikehendaki." Jelas Azaka. "Sebab tu mulai dari hari ni, aku nak kau pakai penutup muka tu." Dia menunjuk ke arah kain bandana yang tergantung di leher Nell.

Budak itu terkesima, hanya menunggu bait seterusnya daripada perempuan di hadapannya itu.

"Aku nak kau dengar apa yang aku nak cakap ni betul-betul." Perempuan itu berkata tenang, namun ada sedikit ketegasan. "Dalam masa terdekat ni, kerajaan akan membuat operasi besar-besaran untuk cari kau. Sistem sekuriti akan ditingkatkan 200%. Kalau kau nak juga keluar dari sini esok, risiko kau untuk ditangkap adalah sangat tinggi. Perkara yang terbaik kau boleh buat adalah tinggal di sini sampailah segala kekecohan pasal kau reda."

Fikiran Nell berkecamuk. Dia tidak pasti apa yang harus dilakukan. Perlukah dia mendengar nasihat perempuan itu?

"Apa jaminan kalau aku tinggal kat sini, pihak kerajaan takkan dapat tangkap aku?" Dia mengutarakan keraguannya.

"Tak ada jaminan tentang benda tu. Cuma aku nak kau tahu satu benda." Azaka memandang tepat wajah Nell. "Aku pun tak sampai setahun kat negara ni. Aku datang ke sini lepas perintah sekatan dikenakan. Kau tau apa maksudnya, kan?"

Perlahan-lahan Nell menggerakkan bola matanya ke arah perempuan tersebut. "Kau pun menceroboh masuk negara ni...?"

"Pandai." Gadis itu senyum lebar. "Jadi, kau dan aku dalam situasi yang lebih kurang sama. Aku pun nak keluar dari sini. Aku akan tolong kau jugak. Macam mana pun caranya, aku akan pastikan kita semua selamat keluar dari sini. Itu jaminan aku."

Nell membalas renungan yang kelihatan benar-benar meyakinkan itu. Separuh dari hatinya ingin membenarkan apa yang baru sahaja didengarinya tadi.

"Kenapa kau nak sangat tolong aku sedangkan kau tau risikonya? Kau sanggup bahayakan diri kau, padahal kau tak kenal aku pun..." Nell cuba menguji Azuka.

Azaka membalas persoalan itu dengan bersahaja. "Kau yang tak kenal aku. Tapi aku kenal kau siapa. Masa aku nampak muka kau kali pertama tadi, aku terus dapat cam kau."

"Apa maksud kau...?" Wajah Nell berkerut seribu.

"Alamat surat menyurat aku dulu adalah di negara Empayar Barat. Apartmen Bandar Tengah, Blok B, Unit 21." Dia tersenyum kecil. "Ada ingat apa-apa?"

Nell terbeliak. Dia sungguh arif akan alamat itu kerana dia sudah selalu membacanya. Mungkin sudah ratusan kali. Lokasi itu sudah dihafalnya, sudah terpahat di dalam otaknya.

Azaka tersenyum luas, rasa terhibur dengan reaksi budak itu.

Nell rasa dia hampir mendapat serangan jantung akibat kejutan yang berterusan daripada perempuan itu. Sekarang semuanya masuk akal. Dia tidak menyangka, akhirnya dia berjumpa dengan orang yang sering disebut Irena.

Budak itu menelan air liur. "Kau... 'Uza'?!" 

PARAGONWhere stories live. Discover now