[3]

433 82 2
                                    

IRENA mundar-mandir di ruang tamu rumah kecilnya. Sebuah televisyen yang agak buruk terpasang tanpa ada penonton. Leon dan ibunya, Janet duduk di atas sofa. Adik perempuan Leon, Lily yang berusia 12 tahun berada di sebelah Janet. Gadis kecil  itu meletakkan kepalanya di atas bahu ibunya sambil dipeluk wanita itu. Keresahan memenuhi suasana.

"Aku dah tak boleh tunggu dah. Kita dah bazirkan banyak masa..." Getus Irena dengan kakinya yang tak berhenti melangkah. Sudah habis satu ruang itu dikelilinginya. 

"Sabar, Irena. Tunggu Martin. Dia tahu apa yang dia buat." Janet cuba menenangkan rakannya itu. "Tolong duduk, Irena..."

"Martin dah lambat sangat. Aku rasa aku patut berkemas sekarang..." Irena tidak mengendahkan nasihat itu. "Aku tak mau diorang ambil Nell!"

"Irena, bertenang... tolonglah." Janet rasa sesak melihat Irena yang kian tak keruan. "Percayakan Martin."

Irena masih menggigit jari. Mukanya berkerut seribu. Nafasnya tak teratur. Janet memandang Leon, memberikan isyarat pada budak itu. Leon mengerti dan segera bangun dari tempat duduknya, terus menuju ke bilik Nell.

"Boleh aku masuk?" Soal Leon yang mengintai di sebalik daun pintu.

Nell yang sedang duduk memeluk tubuh di tepi dinding menoleh ke arah Leon sebelum mengangguk lemah. Leon masuk dan duduk di sebelah budak itu.

"Aku dah cakap kat kau, jangan bagitau sesiapa..." Ujar Leon.

Nell tunduk, menyembunyikan wajah di antara lengan dan lututnya. "Mak cik Irena dapat teka daripada muka aku. Dia paksa aku bagitau semuanya..." suara Nell begitu perlahan, namun masih dapat didengari Leon.

Leon mendengus kecil. Dia sepatutnya boleh mengagak itu akan terjadi. Membayangkan ketakutan yang dirasai Nell, tak mungkin budak itu boleh berlagak seperti biasa. Siang tadi, belum sampai setengah jam kejadian itu berlaku, ayahnya Martin telah mendapat panggilan Irena yang panik. Pada masa itu, budak berambut kerinting itu sedang dirawat di kliniknya. Martin berjaya menenangkan Irena namun hanya buat seketika.

"Macam mana kalau dia mati?" Nell begitu gugup. 

"Kau dengan Mak Cik Irena ni sama je. Cepat sangat menggelabah. Budak tu tak teruk mana pun." Leon cuba mengurangkan kerunsingan Nell, walaupun hakikatnya dia sendiri tidak tahu sejauh mana keadaan budak yang cedera itu.

Bunyi pacuan empat roda menghampiri rumah. Irena kelam-kabut ke tingkap dan mengintai melalui langsir. Pantas dia pergi membuka pintu.

Di luar, matahari kian menghilang. Martin keluar dari kenderaan itu. Irena gelisah menunggu martin yang menghampiri.

"Apa jadi dengan budak tu?" Irena lekas bertanya.

"Kita cakap kat dalam." Lelaki gempal itu berjalan masuk melepasi Irena.

Pintu dikunci. Martin duduk di sebuah sofa bujang. Irena mengambil tempat di sebelah Janet. Semua perhatian terarah pada Martin.

"Budak tu patah tangan. Dan kepalanya cedera. Mungkin ada trauma sikit kerana hentakan." Martin memulakan bicara.

"Di mana dia sekarang? Apa mak ayah dia cakap?" Janet juga tampak risau. 

Martin menghembuskan nafas perlahan. "Budak tu mungkin alami amnesia sikit akibat hentakan tu. Tapi saya tak rasa ia untuk masa yang lama. Dalam masa 24 jam nanti dia akan ingat balik sedikit demi sedikit kejadian yang berlaku. Saya dah suruh ibu bapa dia hantar budak tu ke bandar untuk buat imbasan di kepala dia, takut ada kecederaan lain yang lebih serius."

Irena memangku dahinya dengan tapak tangan dan mengeluh berat. "Jadi, apa aku perlu buat sekarang?"

"Pindah. Sekarang juga." Martin mencadangkan perkara pertama yang difikirkan Irena tadi. "Perjalanan ke bandar 2 jam. Dan jika budak tu dah ingat segalanya, perjalanan balik mereka ke sini pun ambil masa 2 jam. Jadi kita ada lebih kurang 4 jam untuk pergi tanpa dikesan."

"Okay..." Irena mengangguk beberapa kali. "Korang tak perlu ikut aku kali ni. Cukuplah apa yang korang buat selama ini untuk aku dan Nell." Irena menyatakan fikirannya. 

"Itu bukan keputusan kau. Lagipun aku dah janji pada kakak kau, Ellis untuk jaga kau. Sama ada kau suka atau tak, aku sekeluarga akan jaga kau sampai aku mati." Martin berkeras. 

"Tapi, Martin..."

"Tak ada tapi lagi, Irena." Janet memotong. "Simpan saja pertelagahan ni lain kali. Aku, Lily dan Martin akan balik rumah ambil apa yang patut. Leon aku tinggalkan untuk bantu kau di sini. Kau patut mula kemas sekarang. Dah, pergi!"

Irena bingkas bangun meninggalkan rakan-rakannya di situ. Dia masuk ke bilik Nell. Budak itu dan Leon sedikit terkejut dengan kedatangannya yang tiba-tiba itu.

"Kemas semua barang kau." Arah Irena. Perempuan itu pantas membuka almari baju budak itu dan mengeluarkan semua pakaiannya. Nell mengikut langkah mak ciknya dan turut memunggah barang-barang dari lacinya.

"Saya minta maaf, mak cik..." Nell rasa sungguh berdosa pada Irena.

"Sekarang bukan masanya, Nell. Aku nak dalam setengah jam, kau dah habis berkemas. Faham?" Tegas Irena.

Nell mengangguk sambil tangannya mengasingkan benda-benda penting yang akan dibawa. Ini kali kedua mereka terpaksa lari. Kali pertama dahulu sewaktu Nell berumur 6 tahun. Semasa bermain di taman permainan di tadikanya, dia terjatuh dan kepalanya terluka. Kerana tidak dapat menahan sakit, dia menangis semahu-mahunya. Peristiwa aneh berlaku selepas itu. Semua peralatan di taman permainan menjadi bengkok dan seakan mencair. Ada beberapa orang guru dan kanak-kanak menjadi saksi kejadian tersebut. 

"Bukan salah kau. Kita tak sepatutnya terlalu lama kat tempat ni. Salah aku sebab terlalu selesa..." Ujar Irena perlahan. "Kita patut berpindah lebih kerap lepas ni..."

Nell tidak menerima kenyataan mak ciknya itu. Padanya, dialah penyebab keadaan sekarang. Kerana dia juga, keluarga Leon terpaksa ikut lari bersama.

"Mak cik..." Leon yang sejak tadi berdiri memegang bahu Irena. "Biar saya tolong Nell. Mak cik boleh kemas barang mak cik."

"Terima kasih, Leon." Irena tersenyum tawar ke arah remaja itu. Dia melihat Nell sekilas sebelum berlalu pergi.

Nell diam saja, namun suara bersalahnya kedengaran di dalam kepala. Dia betul-betul rasa seperti beban sekarang.

PARAGONWhere stories live. Discover now