[32]

267 58 5
                                    

SEBUAH bilik konferensi dipenuhi oleh hampir 100 orang lelaki dan wanita yang berpakaian kemas dan lengkap berkot. Mereka semua mengambil tempat masing-masing di atas kerusi kulit berwarna gelap.

Sejumlah 200 buah kerusi-kerusi tersebut mengelilingi meja hitam berbentuk empat segi tepat dengan ruang kosong di bahagian tengahnya. Terdapat sebuah lampu berbentuk bulat yang agak besar tergantung di tengah-tengah bilik. Lampu putihnya menerangi kawasan tengah bilik yang agak suram. Skrin-skrin leper dan lebar terpancar di setiap permukaan dinding yang juga berona hitam.

Suara-suara yang tidak terlalu bising memenuhi ruang. Mereka berbincang sesama sendiri. Perbualan mereka perlahan-lahan menghilang sebaik sahaja seorang lelaki melangkah masuk.

Lelaki yang agak cengkung itu duduk di kerusi utama yang berada di hujung meja. Dia membetulkan sedikit tali lehernya sebelum mengeluarkan cermin mata dari poket, lalu memakainya. Wajahnya yang dipenuhi kedutan itu dihalakan kepada mata-mata yang sedang memerhatikannya.

Lelaki itu berdehem sedikit, membersihkan tekaknya sebelum berbicara. "Selamat malam. Maaf kerana terpaksa menganggu masa kalian."

"Safan, Mana Presiden Rengeiz?" Soal seorang lelaki berkulit gelap separuh botak yang berada di barisan sebelah kiri.

Lelaki itu ialah Brondolf, Presiden baharu Dataran Besar.

Safan, lelaki berwajah cengkung yang merupakan setiausaha Presiden Rengeiz itu hanya menghalakan tangannya ke arah meja besar di hadapan mereka.

Perlahan-lahan satu hologram muncul dari bahagian kosong di tengah meja itu. Imej 3 dimensi seorang lelaki berambut putih menjelma. Suasana tiba-tiba diam.

"Selamat malam. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa." Ujar lelaki hologram itu. Suaranya tenang dan dalam, namun ada aura yang tidak menyenangkan.

"Ada apa kami dipanggil ke sini, Presiden Rengeiz?" Soal Seorang wanita berambut kerinting dengan baju serba merah dan memakai banyak barang kemas. "Adakah ini sebab kumpulan pemberontak Katalis tu lagi?" Wanita berusia 50-an yang bernama Hallbera itu terus bertanya.

"Tak perlu terburu-buru, Presiden Minapura. Semua akan dijelaskan satu persatu." Rengeiz membalas. "Pertama, pastinya tentang Dataran Besar."

"Huh... Terima kasih sebab masih ingat pasal Dataran Besar..." Gumam Brondolf.

Namun Rengeiz dapat mendengarnya.

"Saintis-saintis akan mengedarkan penawar wabak D45 itu." Balas lelaki berambut putih tersebut.

"Tapi... dah terlalu lama kami menunggu..." Lelaki itu takut-takut membantah.

Safan mendengus, rimas dengan rungutan itu. "Kalau kamu tak sabar, apa kata kamu sendiri yang keluar dari 'istana persembunyian' kamu dan pergi buat penyelidikan di negara tercinta kamu tu? Jangan lupa, Brondolf. Siapa yang meletakkan kamu di tempat sekarang ni?"

Lelaki separuh botak itu terus terdiam.

Dia tahu dia tidak layak bersuara. Jawatannya sekarang juga diperoleh selepas mereka menjatuhkan Presiden sebelum ini, atas alasan kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh wabak itu.

Presiden lama juga telah diperangkap dengan pelbagai kesalahan, lalu hukuman mati dijatuhkan ke atasnya dan pengikut-pengikutnya.

Brondolf mendapat kuasa dan harta. Namun negaranya dipegang oleh Rengeiz.

"Presiden Rengeiz, saya yakin tuan dah tahu cerita berkenaan budak lelaki yang menghempaskan kapal terbang kargo tu kat negara saya, Lembah Besi." Kata seorang lelaki gemuk berambut hitam dengan misai tebal yang melentik. "Saya gembira kerana tuan ada memberikan pertolongan. Tapi beberapa hari lepas tu, budak yang sama telah timbulkan masalah yang lebih besar lagi."

Rengeiz mengalihkan pandangannya ke arah Golwado, lelaki yang baru sahaja bersuara tadi.

"Itulah agenda utama perjumpaan kita hari ni." Nada Rengeiz serius.

Waktu itu, beberapa skrin hologram timbul di sekeliling Rengeiz. Wajah Nell yang begitu kabur muncul di skrin-skrin tersebut.

Kedengaran suara-suara orang yang berada di dalam bilik itu bertutur sesama sendiri sebaik terlihat imej budak itu.

"Tak sangka budak mentah ni yang buat semua huru-hara tu," komen Hallbera.

"Ya. Parabrid." Balas Safan.

Beberapa orang mengangguk. Ternyata masuk akal.

"Dia berseorangan? Atau dia ni ahli pemberontak jugak?" Tanya seorang wanita kurus yang duduk bersebelahan dengan Hallbera.

Dia adalah Estrid, Presiden Benteng Agung.

Beberapa buah skrin lagi muncul.

Safan meneliti tablet di tangan dan menekan skrinnya beberapa kali.

"Ini maklumat yang baru sahaja kita perolehi dari perisik kita. Macam yang anda semua dapat tengok, ada empat orang yang membantu budak ni." Ujar si setiausaha. "Dua daripada mereka ialah rakyat Lembah Besi sendiri."

Safan membesarkan skrin yang memaparkan wajah Kaio dan Sonny. Imej mereka juga agak kabur kerana diperolehi dari kamera litar tertutup.

"Kaio Valaska, mekanik. Dia pernah ditawarkan ke Sekolah Prodigi Muda ketika umur dia 13 tahun, tapi telah ditolak."

Kemudian Safan beralih ke wajah Sonny. Satu lagi gambar mugshot milik lelaki itu muncul.

"Dan ini Rakannya, Sonny Radfen, penganggur dan pernah lima kali ditangkap atas kesalahan mencuri. Lelaki ini juga disyaki Parabrid."

Imej Kaio dan Sonny dibawa ke belakang, lalu paparan Auvo dan Azaka dibesarkan. Imej mereka merupakan gambar passport yang lebih jelas, dengan pandangan hadapan dan pandangan profil. Tetapi ia seperti gambar yang lama. Auvo dengan rambut pendek yang berceracak, manakala Azaka pula botak.

Lelaki berwajah cengkung itu menyambung. "Berdasarkan maklumat Talon beberapa jam sebelum dibunuh, dua orang lagi yang membantu budak itu ialah mereka ini, iaitu Nombor 27 dan Nombor 118. Mereka pernah diisytiharkan mati, sehinggalah ditemui semula beberapa hari yang lalu. Dua orang ini adalah bekas 'Skuad A'."

Hadirin yang ada menarik nafas dengan terkejut.

"Setakat ini kita sedang mencari maklumat yang lebih terperinci tentang Kaio Valaska dan Sonny Radfen. Tapi kita masih gagal mendapat sebarang maklumat lengkap tentang budak ini." Safan menunjuk ke arah imej Nell. "Saya yakin kamu semua dah dapat lihat betapa bahayanya mereka. Dalam masa beberapa hari saja, mereka telah berjaya melepasi dua sempadan yang telah dikawal rapi dan membunuh ramai tentera kerajaan.

Keadaan menjadi senyap.

Suara Presiden Rengeiz memecah sunyi. "Kerahkan semua tentera yang kamu ada. Cari mereka di segenap pelusuk. Jangan biarkan mereka membuat onar di negara kalian."

Rengeiz meneliti mereka satu-persatu sehinggalah pandangannya berakhir pada seorang lelaki 50-an yang berambut jingga.

"Terutamanya kamu, Presiden Kelopak Tujuh... kerana mereka sedang berada di negara kamu sekarang." Sambung Rengeiz.

Presiden Rengeiz dan lelaki berkaca mata itu berbalas pandangan.

Lelaki yang bernama Alric Marquess itu hanya bisu. Dia dan Rengeiz sememangnya tidak pernah sebulu.

"Sesiapa yang cuba melindungi mereka ini adalah pembelot. Dan kita semua tahu apa yang akan berlaku pada pengkhianat." Ujar Rengeiz sebelum Hologramnya menghilang.

Bilik itu senyap.

Ya, mereka cukup tahu.

Manusia yang ingkar akan Rengeiz tidak akan pernah muncul lagi.

PARAGONWhere stories live. Discover now