[2]

501 88 13
                                    

HARI ini panas. Nell melepaskan lelah di bawah sebatang pokok yang rendang. Budak itu perlahan-lahan meneguk air kosong dari botol seraya memandang ladang jagungnya yang menguning. Dia menikmati angin yang mengusap wajahnya, hanyut dalam fikiran sendiri.

Dalam kedamaian itu, terdengar beberapa tapak kaki menghampiri. Nell mulai tersedar daripada lamunannya. Dia segera memandang ke arah itu.

Tiga orang budak yang sering mengganggunya sedang berdiri dengan sengihan nakal. Kali ini, mereka membawa dua orang lagi ahli tambahan. Masing-masing memegang sebatang kayu. Jelasnya mereka masih tidak berpuas hati dengan insiden dua hari lepas.

"Sorang nampak?" Si gigi rongak mengucapkan 'salam'nya.

"Kita tengok siapa yang boleh tolong kau hari ni..." kata si gempal sambil memukul-mukul batang kayu di telapak tangannya.

Tanpa disangka, Nell segera berlari ke dalam rimbunan pokok-pokok jagung yang menebal di hadapannya. Dia perlu mengelakkan masalah yang tidak diundang itu.

"Tunggu apa lagi, kejar la!" pekik budak berambut kerinting.

Mereka berlima juga menerpa ke dalam ladang itu dengan penuh tekad untuk mendapatkan Nell. Kekalahan mereka yang memalukan itu mesti ditebus.

Nell meredah rimbunan tangkai yang menjulang tinggi itu. Lariannya semakin laju. Dia langsung tidak menoleh ke arah pekikan-pekikan yang mengekori di belakangnya. Sekejap-sekejap dia membelok menukar arah untuk mengelirukan mereka.

Budak itu tidak sedar entah berapa jauh dia berlari. Suara-suara mereka tidak lagi kedengaran. Beransur-ansur langkahnya terhenti. Nell tercungap-cungap sambil matanya melilau menelliti sekeliling. Kepalanya ligat memikirkan cara untuk melepaskan diri dari mereka.

Pada masa itu, dia ternampak sederet silo serta sebuah bangsal binatang ternakan yang berada berdekatan lokasinya. Dia segera menuju ke situ. Dengan penuh waspada, Nell menyelinap masuk ke dalam bangsal tersebut. Ruang dalamnya kosong tetapi dipenuhi dengan bau haiwan. Budak itu segera menyorok di balik timbunan jerami.

Lama Nell berada di situ. Budak itu merasakan mungkin keadaan sudah selamat buatnya. Nell keluar dari tempat persembunyian. Dia melepaskan nafas lega kerana dapat mencegah pergaduhan pada hari ini.

Sebaik sahaja Nell menjenguk di pintu bangsal untuk keluar, Budak berambut kerinting sudah berdiri di situ. Nell tidak sempat mengelak tumbukan di pipinya. Dia terundur sedikit ke belakang.

Nell menolak daun pintu di hadapannya sekuat hati. Pintu kayu itu menghentak budak berambut kerinting yang berada di belakangnya dan menyebabkan budak itu terjatuh ke tanah. Nell terus berlari menuju ke jalan besar.

Belum sempat dia melangkah jauh, bajunya ditarik dari belakang. Dia hampir terjatuh. Sekali lagi tanpa amaran, buku lima pembuli itu singgah beberapa kali di pipinya.

Nell segera membalas dengan tumbukan bertubi-tubi pada perut budak itu. Budak di hadapannya berjaya disungkurkan. Nell menindih budak itu dan mencekak leher bajunya.

"Berhenti kacau aku, bodoh!" Kata Nell penuh geram sambil mengangkat penumbuknya tinggi. "Kalau tak, aku belasah kau cukup-cukup! Kau dengar tak?!"

Budak berambut kerinting itu kelihatan sedikit terkejut. "Okay... Okay..." ujarnya sambil melindungi muka dengan tangannya yang menggeletar.

Nell melepaskan kolar baju budak itu dengan kasar dan terus bangun. Dia berjalan pergi dengan perasaan marah.

Tidak semena-mena, satu hentakan kuat menerjah belakang kepalanya. Nell tersembam ke tanah. Segera dia memegang bahagian yang mulai berdenyut itu. Wajah Nell berkerut menahan sakit. Tatkala melihat darah di telapak tangannya, bara di hatinya telah bertukar menjadi api yang marak.

Budak berambut kerinting yang sedang memegang seketul batu itu tersenyum puas kerana berjaya mencederakan Nell. "Rasakan habuan kau!" dia menyeringai gembira.

Nell tidak tahu entah bila dia sudah berada di hadapan pembulinya. Leher budak itu dicekak kuat.

"Pergi matilah!" Nell berkata penuh dendam.

Sekelip mata, Nell membaling musuhnya ke udara. Budak berambut kerinting itu melayang laju dan terhempas ke dinding silo yang berada agak jauh dari situ. Dinding silo itu kelihatan sedikit kemek, manakala budak berambut kerinting itu jatuh terkulai di tanah.

Nell terkesima. Dia sendiri terkejut dengan perbuatannya.

Perlahan-lahan dia melangkah ke arah deretan silo tersebut. Nell memandang budak yang sudah langsung tidak bergerak itu. Saat ini, timbul satu penyesalan.

Tiba-tiba, kedengaran motorsikal mendekati. Nell menoleh ke arah bunyi itu dengan gelabah.

"Nell! Kat sini pun kau. Puas aku cari!" ujar Leon sambil mematikan enjin kenderaan itu. "Kau buat apa kat sini?" soalnya yang bertambah hairan apabila melihat Nell yang berdiri di situ dengan rupa yang ketakutan.

Leon dapat meneka ada sesuatu yang tidak kena. Dia turun dari motorsikal itu dan mendekati Nell. Terus dia ternampak budak yang terbaring di tepi silo itu.

"Apa yang dah berlaku?" Soal remaja itu kaget.

"Aku...aku tak sengaja..." Nada Nell penuh getaran.

Leon melihat Nell dengan rasa tidak percaya. Kemudian, dia melutut disebelah budak berambut kerinting itu lalu mencari nadi di lehernya. "Dia masih hidup..."

Leon kembali berdiri memandang Nell. "Kau guna kuasa kau?"

"Aku...tak tau..." Nell masih keliru dengan perbuatannya itu.

Leon memegang kedua-dua belah bahu Nell. "Kau dengar sini. Kau balik rumah sekarang dan jangan cakap langsung benda ni kat sesiapa. Faham?" Dia merenung tepat mata budak itu. 

Nell membalas pandangan itu sebelum akhirnya mengangguk.

Nell melirik sekilas pada budak yang dipukulnya itu sebelum pergi. Langkahnya yang teragak-agak pada mulanya menjadi kian laju. Dia masuk semula ke dalam ladang jagung dan terus menuju ke rumahnya.

Leon mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia membuat satu panggilan.

"Ayah, ada kes kecemasan. Boleh hantar ambulans ke sini?" 

PARAGONWhere stories live. Discover now